Hubungan Sulit Siber Mejejaskan Perkahwinan
Note:
" writes "            Oleh Marhamah Abdul Wahid


“ SAYA bingung, ustazah, hati saya terasa hambar dengan suami. Suami
sibuk dengan kerjayanya. Dia hanya pulang apabila matahari terbenam dan
ke pejabat esoknya sebelum matahari muncul.

“Saya hanya bahagia
apabila mendapat SMS, panggilan telefon dan apabila bersembang dengan
si dia di alam siber. “Kami walaupun tidak pernah bersua muka, perasaan
saya seolah-olah bercinta dengan bayang-bayang masing-masing. Hampir
empat tahun berlalu, akhir-akhir ini, saya berasa bersalah, berdosa dan
bingung, apabila si dia mencadangkan agar kami bertemu untuk menentukan
masa depan.” Begitulah keluhan seorang ibu muda kepada saya pada suatu
hari. Masalah itu sebenarnya biasa bagi seorang ibu yang kesunyian,
terasa terabai, banyak masa terluang di depan komputer serta tidak
punya kekuatan diri untuk melawan nafsu.


Namun,
akhirnya dia sedar kesilapannya. Begitupun, sesi kaunseling terarah
perlu untuk mengembalikan semula rasa harga diri dan maruah seorang
wanita Islam. Bagi isteri yang menghadapi kemelut jiwa yang sama, saya
ingin berkongsi bersama beberapa cadangan untuk keluar daripada
permasalahan ini.Untuk lebih memahami masalah seumpama, beberapa
langkah perlu dilakukan seikhlas hati dan iman serta difikir dengan
penuh kesedaran.


Langkah pertama, sila jawab soalan penerokaan diri berikut:-

1. Apakah sebenarnya tujuan anda berhubung dengan lelaki itu?

2.
Sejauh manakah anda ingin membina perhubungan itu? Adakah hubungan
cinta, sebagai sahabat atau teman berbincang? (Islam tidak terus
melarang perhubungan berlainan jantina asalkan dalam batas, tujuan dan
cara selayaknya).

3. Contohnya, bagi kes isteri muda ini, dengan
usia perkahwinan menjangkau 12 tahun, mempunyai tiga anak serta suami
bertanggungjawab, puan mendakwa memiliki keluarga teramat bahagia.
Setakat manakah benar pernyataan itu?


Jawapan boleh berpandukan asas
berikut:

a) Puas hati dengan keperluan rumah tangga yang disediakan suami?

b)
Puas hati dengan layanan suami tiada halangan/jurang dari segi
komunikasi dan tiada masalah seksual? (Anda boleh berkongsi perasaan
dengannya)

c) Melaksanakan tanggungjawab rumah tangga dengan baik?

d) Puas hati dengan tingkah-laku anak?

e) Memiliki sahabat/jiran yang baik yang boleh berkongsi pandangan/ bertanya 
masalah?

4.
Anda memulakan perhubungan dengan lelaki itu dengan menipu identiti
sebenar. Selama itu juga anda mengkhianati amanah suami dengan
‘melayani’ lelaki lain hingga dingin dengan suami. Apakah pandangan
anda terhadap dosa dan pahala berkaitan perkara itu?

5. Kalau
anda berasa bersalah/berdosa, adakah ingin mengekalkan diri dalam dosa
atau terus rasa bersalah, seolah-olah ingin terus dalam azab di dunia,
apatah lagi di akhirat?

6. Kalau anda tidak mahu terus berada dalam kezaliman diri dengan masalah ini 
adakah ingin berubah dan bertaubat?

Kalau jawapan ya, ikuti langkah berikut:-

1.
Bayangkan sekiranya suami mengkhianati kesetiaan anda (seperti anda
lakukan). Suami sebenarnya mempunyai lebih banyak peluang untuk berbuat
demikian berbanding diri anda. Apakah perasaan anda?

2. Bayangkan
jika anda berada di tempat isteri lelaki yang dikenali itu, mendapat
tahu suaminya mengkhianati kesetiaannya? Dengan status anda sebenar,
bagaimana perasaan anda sebagai isterinya?

3. Bandingkan
bagaimana kebahagiaan anda dalam keluarga bahagia dengan yang didakwa
bahagia sehingga ‘ghalit’ kata orang Kedah dengan suaranya saja?

4.
Adakah anda mendapat gambaran jaminan kebahagiaan yang lebih baik
dengan lelaki itu yang hanya dikenali melalui e-mel atau SMS berbanding
suami sekarang?

5. Anda masih inginkan perubahan? Ingin
meneruskan keluarga bahagia atau hubungan dengan lelaki itu? Jawapannya
ada pada diri anda. Kalau memilih yang pertama, sila fikirkan nasihat
ini.Sekiranya suami tidak terhidu langsung perhubungan itu dan jika
diceritakan akan menjadikan keadaan lebih buruk, saya cadangkan tidak
perlu memberitahunya.


Sebaliknya ikuti langkah seterusnya.

1.
Berterus terang dengan si dia. Minta maaf di atas kesalahan yang
disengajakan. Sekiranya ingin terus berhubung sebagai sahabat dan tidak
akan mengganggu kehidupan anda atau lelaki itu, ia mungkin boleh
diteruskan. Jika anda berdua tidak dapat mengawal diri, lebih baik
menjauhi dosa daripada perkara yang boleh menyebabkan/mendorong kepada
melakukan dosa.

2. Tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel
bagi mengelakkan anda dapat dihubungi lelaki tadi. Anda juga perlu
mengawal diri daripada menghubunginya.

3. Bertaubat untuk mendapat keampunan Allah dan berjanji tidak melakukannya 
lagi.

4.
Jika anda bermasalah luahkannya kepada suami, mengapa perlu diluahkan
kepada orang lain. Saya yakin kesunyian yang dihadapi boleh difikirkan
oleh anda berdua untuk melakukan sesuatu yang akan terus membahagiakan
anda dan keluarga. Carilah sahabat, saudara dan jiran yang boleh
membantu. Lakukan kerja berfaedah.

5. Berbincang dengan suami
supaya boleh mengikuti kursus yang diminati yang boleh mengisi masa dan
membuka minda sebagai suri rumah.
Akhirnya, bertekad untuk
berjaya mengatasi masalah ini. Bertawakal kepada Allah kerana
sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Memberi Pertolongan kepada
hamba yang memohon kepada-Nya.

Kirim email ke