Utusan Malaysia 23 Oktober 2009
Rumah guru: Buat salah, tak buat pun salah

LANGKAH kerajaan melalui Kementerian Pelajaran menyediakan rumah untuk 
guru-guru amatlah dihargai dan dialu-alukan. Malangnya projek perumahan 
tersebut yang telah siap beberapa tahun lalu dianggap membazir sahaja dan tidak 
relevan dengan keadaan masa sekarang.

Ini barangkali disebabkan lambatnya pihak kementerian dan kerajaan khususnya 
bertindak memenuhi permintaan kaum pendidik yang amat memerlukan rumah satu 
ketika dahulu bagi melancarkan tugas yang memerlukan mereka tinggal berhampiran 
sekolah. Kelewatan melaksanakan projek ini menyebabkan apabila ia siap, tiada 
pula orang yang hendak mendiaminya.

Hampir setiap daerah pendidikan di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya 
satu kompleks yang terdiri daripada dua hingga empat blok apartmen lima 
tingkat. Ada daerah yang mempunyai dua kompleks begini mengikut kapasiti 
sekolah-sekolah di situ.

Sekarang ini kompleks-kompleks tersebut kosong sahaja tidak berpenghuni. Ia 
sama ada telah rosak atau usang akibat tidak digunakan. Ada juga yang telah 
dicerobohi kerana tidak ada pengawasan mengakibatkan beberapa peralatan dan 
barang-barang yang disediakan hilang.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku keadaan demikian:

1. Kerajaan lambat memulakan projek ini iaitu selepas hampir 20 tahun 
permintaan para pendidik yang memerlukan rumah akibat kekurangan projek 
perumahan dan juga syarat ketat untuk membuat pinjaman membeli rumah. (Ketika 
itu pegawai mesti berusia 30 tahun ke atas, baru dikira layak memohon pinjaman).

2. Kebanyakan guru sekarang telah mempunyai rumah sendiri sama ada di bandar 
berdekatan atau di kampung masing-masing atau menyewa rumah yang berhampiran.

3. Sekiranya tinggal di rumah yang disediakan ini, dipotong semua elaun 
perumahan dan COLA yang didapati melebihi kadar sewa rumah-rumah persendirian 
yang lain (Contohnya guru DG44 akan kehilangan RM500 sedangkan sewa rumah 
persendirian baru sekitar RM300).

Kesan daripada itu, kita dapat lihat bangunan kompleks perumahan guru ini 
lengang dan usang. Tidak ada penjagaan dan pengawasan sebab tidak ada penghuni. 
Ia dikelilingi semak-samun dan ada yang menjadi sarang kutu rayau dan penagih 
dadah.

Ini dapat dielakkan kalau kerajaan mengkaji semula pemotongan elaun perumahan 
dan COLA pegawai-pegawai yang berkeinginan tinggal di situ. Beri kelulusan 
mereka tinggal di situ dengan kadar sewa yang munasabah bagi satu-satu kawasan 
ataupun satu piawaian yang tidak membebankan. Atau buka pelawaan untuk 
kakitangan jabatan lain untuk menyewa sebagai tempat kediaman daripada 
dibiarkan kosong sahaja.

Dengan cara ini, pembaziran dapat dielakkan dan bangunan tidak usang dan rosak 
begitu sahaja. Semoga perbelanjaan yang telah dikeluarkan itu berbaloi untuk 
kegunaan warga pendidik dan kakitangan Jabatan Pelajaran.

ILHAM SYAKIMA

Taman Guru, Kedah

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
 



      

Kirim email ke