‘Mamak’ tidak tahu mengucap
Harian Metro 13 Nov 09

BANGI: Mengaku kononnya adalah penganut agama Islam tulen namun rata-rata 
pekerja sebuah restoran ‘mamak’ muslim yang disoal siasat pegawai Jabatan 
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) langsung tidak tahu mengucap dua kalimah 
syahadah atau membaca surah al-Fatihah sekali gus membongkar rahsia identiti 
mereka yang sebenar.

Lebih mengejutkan pemilik restoran berkenaan sengaja menggantung deretan gambar 
ayat suci al-Quran, kalimah Allah dan Nabi Muhammad di dalam premis untuk 
memperdaya pelanggan yang menyangka ia restoran halal.

Taktik itu dibongkar Jakim selepas penyamaran dilakukan kakitangannya di 
restoran berkenaan sejak sekian lama sebelum melakukan serbuan semalam.

Kewujudan restoran `halal’ palsu itu dibongkar selepas sepasukan lima pegawai 
Jakim dibantu enam pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menjalankan serbuan mengejut di restoran 
berkenaan di Jalan Bangi di sini, semalam.

Pemeriksaan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri 
Abdullah, dilakukan selepas mendapat aduan berhubung kesangsian orang ramai 
terhadap sijil halal milik restoran berkenaan.

Sumber Jakim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, pegawai Jakim 
yang menjalankan pemeriksaan menyoal siasat lapan pekerja warga asing restoran 
berkenaan yang ketika itu sedang melayan berpuluh pelanggan Islam.

Menurutnya, kebanyakan pekerja dari India itu pada mulanya mengaku beragama 
Islam, namun gagal membaca surah al-Fatihah atau mengucap dua kalimah syahadah.

“Mereka tiba-tiba menjadi gagap dan hanya menggeleng kepala sekali gus 
membuktikan mereka bukan beragama Islam seperti didakwa.

Menurutnya, pemilik restoran sengaja menggantung kalimah ayat suci Al-Quran, 
Allah dan Nabi Muhammad di dinding premis termasuk ayat seribu dinar untuk 
mengaburi pemilik sebenar restoran berkenaan.

“Semua ayat al-Quran itu sengaja digantung di atas kaunter pembayaran selain 
sijil halal palsu yang turut diguna pakai bagi meyakinkan pelanggan seolah-olah 
restoran terbabit milik orang Islam.

“Siasatan susulan terhadap sijil pendaftar syarikat (ROC) bagaimanapun mendapat 
bukti paling jelas apabila nama pemilik yang tertera pada dokumen bukan Islam,” 
katanya.

Menurutnya, penyelia berusia 30-an yang juga bukan Islam cuba berdolak-dalik 
dan memberi pelbagai alasan tidak munasabah berhubung bukti diperoleh itu 
sambil memberitahu restoran terbabit milik orang Islam.

“Agak mengejutkan apabila seorang lelaki berusia 40-an yang tidak dikenali 
tiba-tiba muncul sebelum memperkenalkan diri sebagai rakan kongsi pemilik 
restoran berkenaan.

“Lelaki itu mendakwa menguruskan restoran terbabit walaupun namanya tidak 
tertera pada ROC. Dia mendakwa restoran itu diuruskan olehnya. Bagaimanapun 
pegawai Jakim percaya lelaki berkenaan hanyalah `wayang’ yang diupah sekiranya 
berlaku apa-apa masalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091113091232/Article/index_html





Kirim email ke