Ustaz Zamihan Betulkan Kesalahan Ustaz Asri Lagi
Sikap suka memperkatakan sesuatu tanpa fakta ilmiah semakin menjadi-jadi.
Lebih-lebih lagi terhadap fakta yang melibatkan sumber perundangan Islam dan
kreadibiliti alim ulamak itu sendiri. Amat malang sekali, apabila Mufti baru
kita kerap kali mengecam para alim ulamak tradisional. Atas alasan kononnya
ulamak tradisional bersifat konservatif, menyampaikan ilmu agama tidak
berfakta, menokok nambah cerita, membawa riwayat Israeliyyat dan hadis palsu.
Bahkan dalam masa yang sama, Mufti Baru itu dengan angkuh mendakwa bahawa
beliau seorang yang berfakta, menekankan aspek kesarjanaan dan membawa tajdid
(pembaharuan) dalam memahami agama. Sebenarnya, inilah sebahagian daripada
manifestasi sikap yang melampau dalam agama. Sikapnya yang suka mengecam orang
lain dan dalam masa yang sama mengangkat diri sendiri sebagai jaguh sarjana
amat dikesali. Manakala prinsip tajdid yang dibawanya pula lebih banyak
mendatangkan kerosakan dari kebaikan. Jika dianalisa, Tajdid ala Wahhabi yang
diperkenalkannya banyak mendatangkan kerancuan di minda masyarakat kita
(* Penjelasan: Ini jelas berlaku di Malaysia, di Indonesia pula jauh lebih
parah. Jemaah-jemaah Islam sedia ada termundur ke belakang apabila sebahagian
ahli-ahlinya bertelagah sesama sendiri hasil dakwah Salafi Wahabi yang dibawa
oleh orang-orang seperti Dr. Asri. Jemaah-jemaah yang dulunya bersatu hati kini
terpecah-belah hati-hati mereka. Musuh-musuh Islam tersenyum lebar … Di
Indonesia terdapat 6 atau 7 jemaah salafi, 4 atau 5 daripadanya adalah Salafi
Wahabi. Yang peliknya jemaah-jemaah salafi Wahabi ini saling sesat-menyesat
antara satu sama lain. Mereka mendakwa Salafi cara merekalah satu-satunya
golongan yang terselamat daripada 73 golongan umat Islam akhir zaman, tapi
Allah menunjukkan bukti jelas apabila mereka yang kononnya satu-satunya jemaah
yang tidak sesat itu saling sesat-menyesat pula sesama sendiri. Senyuman
musuh-musuh Islam bertambah lebar…)
Sebagai contoh, Mufti termuda kita (Mufti Perlis) baru-baru ini membuat
kenyataan di dalam Berita Harian pada 5hb Januari 2007 bahawa ramai di kalangan
ustaz-ustaz kita yang mengajar di masjid dan surau membacakan hadis palsu.
Beliau mendakwa bahawa hadis : “Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China ”
merupakan hadis palsu. Mufti itu mengajak kita supaya merujuk kepada beberapa
kitab yang diisyaratkannya. Tetapi beliau sendiri tidak meluahkan isi sebenar
kandungan kitab-kitab yang menjadi rujukannya itu. Ini satu metodologi
penyembunyian fakta secara terhormat. Dan bukan dari prinsip kesarjanaan dalam
Islam.
Marilah kita sama-sama membuka minda untuk menilai status hadis : “Tuntutlah
Ilmu walau sehingga ke negeri China ” dengan sejelas-jelasnya. Apakah dakwaan
Mufti termuda itu boleh dianggap sebagai satu fakta yang benar?
Sebenarnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Rabi’ di dalam Musnadnya pada
Bab Menuntut Ilmu dan kelebihannya hadis bernombor 18. (lihat al-Rabi’ bin
Habib bin Umar al-Basri, Musnad al-Rabi’, cetakan Dar al-Hikmah : Bayrut,
1415H, tahkik Muhammad Idris, juz 1 m/s 29)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syuab al-Iman, hadis
bernombor 1663. (lihat Abu Bakar Ahmad bin Hussein al-Baihaqi, Syuab al-Iman,
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, 1410H, tahkik : Muhd Sa’id
Basyuni Zaghlul, juz 2 m/s 253). Hadis ini juga disebut di dalam Musnad
al-Bazzar bernombor 95. Akan tetapi al-Bazzar menolaknya dengan menarafkan
sebagai palsu. Atas alasan Abi ‘Atikah merupakan perawi yang tidak dikenalinya.
(Abu Bakar Ahmad bin Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Muassasah Ulum al-Qur’an
: Bayrut, Cet Pertama, 1409H, tahkik : Dr Mahfuz al-Rahman Zainullah, juz 1 m/s
75)
Hadis ini juga disebutkan oleh Abi Syujak Syarawaih al-Hamazani di dalam
Firdaus bi Ma’tsur al-Khitab bernombor 236. (lihat al-Hamazani, Firdaus bi
Matsur al-Khitab, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Bayrut, Cet Pertama, tahkik: Muhd
Sa’id Basyuni Zaghlul 1986M, juz 1 m/s 7
Soalnya, apakah para ulamak yang meriwayatkan hadis ini dan mengabadikan di
dalam kitab karangan mereka boleh kita kategorikan sebagai pemalsu hadis. Masya
Allah, jikalau Tuan Mufti tetap berpendapat sedemikian ternyata Tuan Mufti
tidak menguasai seni ilmu hadis. Maksudnya ialah keupayaan dalam memahami
kedudukan hadis, kecacatan hadis dan feqh al-Hadis itu sendiri. Justeru, apakah
nilai disebalik MA dan PHD hadis yang tuan miliki.
Sekarang marilah kita sama-sama menelusuri perbincangan tentang status hadis
ini. Imam Abd Rauf al-Munawi di dalam Fayd al-Qadhir Syarh Jami’ al-Saghir
ketika membuat ulasan terhadap hadis ini mengatakan : “Al-Baihaqi mengatakan
matannya (hadis ini) masyhur akan tetapi isnadnya dha’if. Dan diriwayatkan
daripada (beberapa) sanad yang lain yang sempurna kedudukannya. Manakala Ibn
Abd al-Barr di dalam kitabnya Fadhl al-Ilmi (Kelebihan Menuntut Ilmu)
meriwayatkan hadis ini daripada Jaafar bin Muhammad al-Zaghuni daripada Ahmad
bin Abi Suraij al-Razi daripada Hamad bin Khalid al-Khayyath daripada Tharif
bin Salman bin ‘Atikah daripada Anas ‘Ad daripada Muhammad bin Hasan bin
Qutaibah daripada Abbas bin Abi Ismail daripada Hassan bin ‘Athiyyah al-Kufi
daripada Abi ‘Atikah daripada Anas.
Bagi saya, apa yang dijelaskan oleh Imam al-Munawi ini hampir sama nadanya
dengan kenyataan Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Lisan al-Mizan (Ibn
Hajar al-Asqalan, Lisan al-Mizan, Muassasah al-A’lami: Bayrut, Cet ke-3, 1986M,
juz 6 m/s 304)
Al-Munawi meneruskan ulasannya : “Dan Ibn Hibban mengatakan hadis ini hadis
yang bathil yang tidak ada sumbernya berdasarkan hujjah bahawa al-Hassan
(perawi hadis ini) merupakan perawi yang dhaif. Manakala Abi ‘Atikah (merupakan
seorang) perawi yang munkar. Dan di dalam kitab al-Mizan dijelaskan bahawa
riwayat Abu ‘Atikah daripada Anas diperselisihkan tentang namanya dan
periwayatannya adalah dhaif sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi.
Imam al-Sakhawi pula dan lain-lain ulamak mengatakan : “Hadis ini dhaif (*bukan
palsu seperti dakwaan Dr. Asri) berdasarkan kepada dua faktor. Dan Ibn Hibban
mengatakan hadis ini hadis yang bathil yang tidak ada sumbernya. Manakala Ibn
al-Jauzi menarafkan ia sebagai hadis yang direka. Dan kami memilih atau
menuruti pendapat al-Mizzi (Imam al-Hafiz Jamaluddin al-Mizzi yang mengatakan
bahawa hadis ini diriwayatkan dengan beberapa riwayat dan apabila dicantumkan
dengan sebahagian riwayat yang lain kemungkinan ia mencapai standard hadis
hasan. Dan al-Dhahabi mengatakan di dalam Talkhis al-Wahiyat bahawa hadis ini
diriwayatkan dengan banyak riwayat. Sebahagian bertaraf waahiyat (amat lemah)
dan sebahagiannya sholeh… (baik).” (Abd Rauf al-Munawi, Fayd al-Qadir Syarh
Jami’ al-Soghir, Maktabah al-Tijariah al-Kubra : Mesir, Cetakan Pertama, 1306H
m/s 543 juz 1)
Tidak cukup dengan keterangan di atas, marilah kita sama-sama meneliti pula apa
yang dikemukakan oleh Imam al-Ajlouni di dalam kitabnya Kasyf al-Khafa’ li
Muzil al-Ilbas Ketika membahaskan hadis “Menuntut ilmu satu kefardhuan bagi
setiap individu muslim” beliau mengatakan : “Hadis riwayat Abi ‘Atikah (pada
awal lafaznya) Tuntutlah ilmu walau sehingga ke negeri China dan keduanya
(lafaz akhir)” terdapat beberapa komentar. Ibn Abd al-Barr juga meriwayatkan
daripada Anas dengan riwayat yang banyak. Tetapi keseluruhannya mempunyai
kecacatan dan tiada hujjah padanya dari sudut isnad menurut pakar hadis.”
Katanya lagi : “Menurut al-Bazzar hadis ini diriwayatkan daripada Anas dengan
sanad-sanad yang amat lemah. Dan yang paling hasannya ialah apa yang
diriwayatkan oleh Ibrahim bin Salam secara marfuk daripada Anas. Dan tidak
diketahui orang yang meriwayatkan daripada Ibrahim bin Salam kecuali Abu ‘Asim.
Manakala pada perbincangan hadis bab (Bab Ilmu) telah dikemukakan
riwayat-riwayat daripada Ubai, Jabir, Huzaifah, al-Hussein bin ‘Ali, Ibn Abbas,
IbnUmar, Ali, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, ‘Aisyah, Um Hani’ dan lain-lain.
Ringkasnya (menurut kami) ialah berdasarkan apa yang ditakhrijkan oleh al-Iraqi
terhadap kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali…”
Selanjutnya al-Ajlouni mengulangi pendirian al-Baihaqi terhadap hadis ini. Di
samping itu, beliau mengemukakan pendapat Imam Ahmad terhadap hadis ini
berdasarkan apa yang dinukilkan daripadanya Ibn al-jauzi di dalam Ilal
al-Mutanahiyah dengan katanya : “Hadis ini tidak tsabit sesuatupun berkaitan
dengan hadis bab menurut pandangan kami.”
Katanya : “Dan demikian juga pandangan Ishaq Ibn Rahawiyah dan Abu Ali
al-Nesyaburi. Manakala Ibn al-Solah mengisyaratkannya sebagai hadis masyhur
yang tidak bertaraf sahih. Dan pendapat ini diikuti oleh Imam al-Hakim. Akan
tetapi al-Iraqi mengatakan sesetengah ulamak hadis mentashihkannya dengan
beberapa isyarat sebagaimana yang dijelaskan beliau dalam ulasan beliau
terhadap Ihya’ Ulumuddin.
Katanya lagi : “Imam al-Mizzi pula mengatakan : “Isyarat hadis ini mencapai
status hasan sebagaimana yang didapati di dalam Maqasid al-Hasanah. Manakala
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Lali’ selepas meriwayatkan pelbagai riwayat
dari Ali, Ibn Mas’ud, Anas Ibn Umar, Ibn Abbas, Jabir dan Abi Said mengatakan
bahawa pada hadis ini terdapat beberapa pandangan.” (Syeikh Ismail b Muhammad
al-Ajlouni, Kasyf al-Khafa’ li Muzil al-Ilbas, Cet ke-4 Muassasah al-Risalah,
Bayrut, 1405H, tahkik Ahmad al-Qallasy m/s 56-57 juz 2)
Kesimpulannya, berdasarkan keterangan di atas jelaslah kepada kita bahawa hadis
: “Tuntutlah ilmu walau ke negeri China ” diriwayatkan dengan banyak riwayat.
Sebahagian dari riwayat tersebut berstatus dhaif. Akan tetapi apabila
dihimpunkan dengan beberapa riwayat yang dhaif dan didatangkan dengan beberapa
syahid (kesaksian) yang lain riwayat dhaif tersebut akan mencapai status hasan.
Manakala beberapa riwayat yang bertaraf amat lemah dan berstatus munkar atau
palsu ditolak oleh para ulamak sebagai hujjah dalam kelasnya. Hal ini
diputuskan berdasarkan kepada kedudukan kedudukan perawi dalam sanad-sanad yang
tersendiri sebagaimana yang diperjelaskan di atas. Dan ketentuan ini amat mudah
difahami bagi mereka yang mendalami ilmu hadis. Sayangnya Mufti Baru kita
menggunakan metodologi bersifat hukmi semata tanpa tafsili. Iaitu dengan
menghukum hadis ini palsu secara total. Apakah ini satu estetika ilmiah yang
boleh dikongsi bersama?.
Di samping keterangan menerusi kitab-kitab di atas, banyak lagi keterangan yang
boleh dinukilkan di sini melalui beberapa kitab. Antaranya melalui kitab
al-Kamil fi Dhua’fa al-Rijal, al-Majruhin,Ttarikh al-Baghdad, al-Tadwin fi
Akhbar Qazwin, Kasyf al-Dzunun, Abjad al-Ulum dan lain-lain. Namun penulis
menyingkatkan perbincangan untuk memberi focus perbincangan kita. Tetapi
penulis tidak teragak-agak untuk menghuraikannya secara lebih lanjut jika
keadaan memerlukan.
Selain keperihalan sanad, marilah kita menganalisa sedikit tentang kedudukan
matannya. Matan hadis ini adalah jelas berstatus masyhur sebagaimana penjelasan
Imam al-Baihaqi. Tidak cukup dengan itu, para ulamak tidak lupa untuk
menghuraikan matan hadis ini. Buktinya, Imam Al-Ajouni ketika menukilkan
huraian al-Baihaqi dengan katanya : “Hadis ini (menuntut kita) untuk
mempelajari ilmu yang bersifat umum yang mana seseorang tidak patut jahil
mengenainya. Ataupun ia bermaksud satu tuntutan menimba ilmu-ilmu yang bersifat
khusus. Atau yang dimaksudkan dengan tuntutan “Menuntut ilmu satu kefardhuan
bagi setiap individu muslim” sehingga seseorang itu mampu melaksanakan tuntutan
yang memenuhi keatas dirinya…”
Selain huraian Ibn Abd al-Barr, al-Baihaqi, al-Ajlouni, al-Munawi,al- Sakhawi,
hadis ini juga turut dihurai oleh Imam Abdullah ‘Alawi al-Haddad di dalam Nasha
ih’ al-Diniyyah wa Wasoya al-Imaniyyah. Dan intisari kitab ini pula diajarkan
oleh Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita. Apakah aktiviti seperti ini dikira
sebagai penyampai hadis palsu. Maka buatlah pemerhatian yang sebaik-baiknya
sebelum melontarkan tuduhan terhadap sesuatu perkara.
Secara realitinya pula, matan hadis ini tepat dengan apa yang berlaku pada hari
ini. Walaupun Rasulullah SAW tidak pernah sampai ke negeri China , namun
wawasan pemikiran Baginda SAW terlebih dulu sampai ke sana . Bukankah China
dulu dan kini terkenal dengan industri pembuatan tembikar/kaca, kertas, kain
sutera, jarum, barangan mainan, produk pertanian dan barangan tiruan.
Malah dunia mana pada hari ini tidak diduduki orang cina. Dan terbukti pada
hari ini bahawa orang cina yang menguasai ekonomi sehingga ekonomi Amerika pun
turut tergugat dengan peranan yang dimainkan China . Mereka yang menjadi
gergasi Ekonomi di alaf baru. Justeru, apa salahnya kita mempelajari sikap yang
baik, disiplin, kemahiran dan teknologi mereka. Tuan Mufti sendiri ada
menyentuh hakikat ini pada tulisan di akhbar Berita Harian pada 4hb. Namun pada
tulisan 5hb Januari 2007 beliau sendiri menulis di bawah sedar.
Kesimpulannya, semua keterangan ini membuktikan kepada kita bahawa para ulamak
tidak seia sekata dalam menentukan hadis ini. Apa yang jelas ialah status hadis
ini ditentukan berdasarkan kepada susur galur periwayatan sanad-sanadnya yang
banyak. Hasilnya, ada riwayat yang berstatus dhaif dan palsu. Walaupun dhaif
jika dihimpunkan dengan beberapa periwayatan dan kesaksian yang lain ia akan
mencapai taraf hasan. Apabila ia bertaraf dhaif ataupun hasan ternyata ia boleh
diamalkan menerusi disiplin ilmu hadis.
Buktinya, Al-Imam al-Nawawi –secara masyhur- di dalam al-Arba’in mengatakan
bahawa para fuqaha’ dan muhaddithin telah bersepakat untuk menerima pakai hadis
dhaif dalam bab Fadha’il a’mal (kelebihan untuk beramal) dan Bab Etika serta
tidak ianya tidak berstatus palsu. Justeru, jika Tuan Mufti mendakwa ianya
palsu mengapa Tuan Mufti tidak memperincikan sanad-sanadnya yang palsu itu
sebagaimana menurut disiplin ilmu hadis.
Sayangnya, Mufti Baru kita seakan sengaja menyembunyikan fakta ini. Dimana
nilai kesarjanaan yang dilaung-laungkannya . Amat malang , kerana berasaskan
kepada fakta yang disembunyikan ini, beliau membuat kecaman terbuka terhadap
Tuan-tuan Guru dan Ustaz-ustaz kita bahawa kebanyakkan mereka menyampaikan ilmu
agama dengan hadis palsu.
Senario ini sedikit sebanyak mendatangkan fitnah kepada mereka. Masya Allah.
Jika ada benarnya dakwaan Mufti baru ini, saya meminta Tuan Mufti kemukakan
butiran individu tersebut, lokasi pengajaran mereka, sanad dan matan yang
dibawa mereka untuk dimuzakarahkan (* Jangan menuduh macam orang yang tiada
kesarjanaan). Hal ini penting supaya Tuan Mufti tidak menuduh secara
sembarangan. Dan maruah Tuan Mufti tidak tercemar di mata masyarakat. Walaupun
asas untuk mendakwa bahawa hadis ini sebagai hadis yang palsu ada. Tetapi asas
al-Bazzar, Ibn Hibban dan Ibn al-Jauzi itu berteraskan kepada perawi yang
dikritik mereka. Manakala perawi yang dikritik pula dipandang sebagai dhaif
oleh majority ulamak yang lain. Akhirnya menimbulkan kekhilafan dalam penarafan
hadis. Justeru, perselisihan ini tidak wajar dijadikan asas untuk dimuktamadkan
sebagai hadis palsu. Apatah lagi ia hendak digunakan sebagai hujjah untuk
menuduh pihak yang tidak sependapat dengan kita.
Nampaknya, mutiara-mutiara ilmiah dan hikmah kita semakin hilang apabila
institusi agama diterajui oleh mereka yang jahil dalam disiplin ilmu ini.
Lantaran itu, tidak bhairanlah jikalau ada suara-suara sumbang yang mengkritik
ulamak dan pendakwah secara menghina bukannya bersifat membina. Dan tidak syak
bahawa inilah seni penyelewengan yang terhormat dalam agama. Semoga Allah
mengurniakan hidayah kepada kita semua terhadap apa yang disukai lagi
diredhaiNya.
Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari, ialah Ahli Lembaga Penasihat Darul Hadis – PAKSI
Enter supporting content here
BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan
Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan
SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak
digunakan untuk tujuan komersil.