*
Kita sememangnya wajib bersyukur kepada Allah SWT Yang telah memberikan
banyak keni'matan kepada kita. Yang seandainya kita diminta
menghitungnya, pastinya kita tak akan mampu melakukannya. Dan,
keni'matan yang terbesar yang diberikan kepada kita, iaitu Islam. Dan
kewujudan kita sebagai orang yang beragama Islam. Sebab, ramai orang
yang diberi keni'matan hidup, tetapi tidak semuanya mahu memeluk Islam.
Tetapi, keni'matan yang lebih besar lagi, yang diberikan kepada kita
ialah wujudnya dakwah Islam dan orang-orang yang memikulnya,
sehinggalah Islam ini sampai kepada kita. Dua perkara inilah yang tidak
semestinya kita lupakan. Iaitu, dakwah Islam dan orang-orang yang
memikulnya, sehinggalah Islam itu sampai kepada kita.

Oleh itu, sangat munasabah apabila Hijrah baginda Rasulullah SAW
diperingati sebagai suatu peristiwa sejarah yang paling penting dalam
kehidupan dakwah rasulullah SAW. Yang di sini, kita peringati setiap
tahunnya dengan nama "Maal Hijrah". Mengapa peristiwa Hijrah baginda
Rasulullah SAW ini merupakan peristiwa yang sangat penting?

Pertama, dakwah Rasulullah SAW apabila masih berada di Makkah, telah
melalui masa-masa yang sangat sulit. Terutama setelah RAsulullah SAW
diperintahkan Allah untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada
masyarakat Makkah, dan menunjukkan bahawa baginda tidak bersendirian,
melainkan ada jamaah yang menyertainya, setelah Allah menurunkan surah
al-Hijr:94:

"Maka sampaikanlah secara terbuka apa yang diperintahkan kepada kamu,
dan tentanglah orang-orang musyrik itu."

Setelah ayat ini turun, tepatnya setelah Umar bin Khattab dan Hamzah
bin Abdul Muthallib memeluk Islam, maka Rasulullah SAW memulakan dakwah
secara terbuka. Baginda, kemudian melakukan tawaf mengelilingi Ka'bah,
yang diikuti oleh para sahabat. Sejak itu, para sahabat dan pengikut
baginda, termasuklah baginda sendiri, setiap hari menerima penyiksaan
daripada penguasa Makkah, dan orang-orang kafir Quraisy.

Pernah baginda sedang shalat berhampiran Ka'bah, leher baginda diikat
oleh Uqbah bin Abi Mu'ait, sehingga baginda tidak dapat bernafas,
sampai akhirnya baginda ditolong oleh Abu Bakar. Pada masa yang lain,
apabila baginda sedang shalat, tengkuk leher baginda dipukul oleh Uqbah
bin Mu'ait, sehingga baginda pengsan, dan akhirnya ditolong oleh
Fatimah. Puteri baginda itu menangis, sedih, melihat nasib ayahanda
tercintanya dianiaya oleh orang-orang kafir. Bukan baginda sahaja yang
mengalami nasib buruk seperti itu, malahan keluarga Yasir telah
disiksa, sehinggalah Sumayyah meninggal dunia sebagai syahidah pertama.

Setelah penganiayaan secara fizikal tidak mampu menggoyahkan keteguhan
para pemikul da'wah ini, maka orang-orang kafir itu telah merancang
untuk mengasingkan baginda SAW dan para pengikutnya. Maka, terjadilah
rancangan jahat itu selama lebih kurang 3 tahun. Baginda dan para
sahabat hidup di sebuah lembah dalam keadaan kekurangan makanan,
pakaian, pekerjaan, rumah dan diusir dari Makkah. Dan setelah itulah,
baginda meminta para sahabat untuk meninggalkan Makkah menuju ke
Habbasyah (Ethiopia-Afrika) untuk mencari perlindungan kepada Raja
Najasyi, dengan maksud untuk mempertahankan agama mereka dari serangan
secara berterusan yang dilakukan oleh orang-orang kafir.

Maka, orang-orang kafir juga tidak mahu tinggal diam, sehinggalah
mereka menyampaikan maklumat-maklumat yang mengelirukan di luar negeri,
untuk mengusir kembali kaum muslimin yang berhijrah ke sana.
Orang-orang kafir tersebut berusaha untuk mengadu domba Raja Najasyi
dengan kaum muslimin, yang akhirnya tidak berjaya.

Sedangkan baginda Rasulullah SAW dan beberapa sahabat masih duduk di
Makkah. Justeru menjadikan tindakan orang-orang kafir semakin biadab
kepada baginda SAW. Sehingga baginda berfikir untuk mencari
perlindungan, kerana dakwah Islam tidak mungkin lagi disebarkan kepada
orang-orang Makkah. baginda pada masa itu cuba berhijrah ke Taif, untuk
mencari perlindungan kepada Bani Tsaqif, yang akhirnya malah baginda
diusir dengan cara tidak sopan. Baginda dilempari dengan batu dan
kotoran, sehingga tubuh baginda berlumuran darah dan kotor. Sehinggakan
Zaed bin Haritsah menangis, melihatkan keadaan baginda yang sangat
menyedihkan itu.

Baginda, mencuba untuk masuk kembali ke Makkah, meskipun baginda tahu
bahawa baginda akan dibunuh, apabila berada disana. Maka, baginda
berusaha mencari perlindungan kepada Mut'im bin Adi, salah seorang
tokoh pemuda Makkah. Dan beliau sanggup melindungi keselamatan baginda
SAW dan dakwah baginda. Sejak itulah, baginda berada dalam perlindungan
Mut'im bin Adi.

Sejak itu, baginda selalu mendatangi kabilah-kabilah yang datang ke
Makkah untuk menyampaikan dakwah Islam yang baginda bawa. Meskipun
risikonya sudah jelas sekali bagi baginda, sebagaimana sumpah
baginda: "Demi Allah, seandainya mereka boleh meletakkan matahari di
tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, aku tetap tidak akan
meninggalkan urusan dakwah ini, sehingga ia dimenangkan Allah, atau aku
dibinasakan dalam usaha untuk menuntutnya."

Maka, baginda SAW, tetap tidak takut, dan terus-menerus berdakwah,
meskipun pada masa itu tidak satu kabilah pun yang menerima. Pernah
baginda menyampaikan dakwah ini kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, yang
pada awalnya bersedia menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, namun
dengan syarat bahawa kepemimpinan setelah baginda mestilah diserahkan
kepada kabilah Amru bin Sa'sa'ah, namun hal ini dijawab dengan tegas
oleh baginda: "Sesungguhnya perkara (kekuasaan kepemimpinan) ini
merupakan hak Allah, yang akan Dia serahkan kepada sesiapa sahaja yang
Dia kehendaki."

Setelah jawapan itu disampaikan oleh Rasulullah, baginda langsung
diusir dari khemah kabilah Amru bin Sa'sa'ah. Inilah keadaan dakwah dan
keteguhan baginda dan para sahabat dalam menyampaikan dakwah Islam.
Setelah semuanya itu, Allah memberikan pertolongan dengan
dipertemukannya baginda saw. dengan orang-orang Aus dan Hazraj yang
datang untuk berhaji ke Makkah. Maka, apabila mereka mendengarkan
seruan Rasul untuk mengimaninya, mereka langsung menerimanya, dan
setelah itulah terjadi Bai'at Aqabah I, yang dilakukan di bukit Aqabah.
Dan ini merupakan titik awal perkembangan dakwah Rasulullah saw. yang
pertama, sehinggalah dakwah Islam ini sampai ke Yasrib,
(nama Madinah sebelum dirubah oleh baginda saw).

Setelah rombongan Aus dan Hazraj kembali ke Madinah, mereka meminta
Nabi saw. untuk mengirimkan orang agar mengajarkan Islam kepada mereka
di sana. Ketika itulah, baginda mengirim Mus'ab bin Umair. Salah
seorang sahabat Rasulullah, yang sebelumnya merupakan pemuda yang kaya
raya, tetapi lebih memilih hidup sederhana bersama Rasulullah. Mus'ab
lah yang menyampaikan pelajaran Al-Qu'an kepada penduduk Madinah,
sehingga beliau mendapat gelaran sebagai Muqriul Madinah.

Dan ternyatalah dakwah Islam yang disampaikan oleh Mus'ab dan
orang-orang Aus dan Hazraj yang telah memeluk Islam itu berjaya merubah
public opinion penduduk Madinah, sehinggalah semua orang memperkatakan
tentang Islam. Akhirnya, bilangan orang yang menyertai Islam menjadi
semakin ramai, sehingga mereka mula melaksanakan solat Jumaah yang
pertama kalinya di sana.

Berita ramainya penduduk Madinah yang menyertai Islam ini telah
menyenangkan hati Rasulullah saw. dan para sahabat yang masih menyertai
baginda di Makkah. Dan untuk membuktikan kesiapan Madinah sebagai pusat
tegaknya dan pengembangan Islam, maka baginda meminta Mus'ab untuk
mengirimkan mereka ke Makkah. Maka, berangkatlah pada musim haji
berikutnya, seramai 75 orang. 73 orang terdiri daripada lelaki, dan 3
orang lainnya adalah perempuan. Mereka kemudian sampai di Makkah dan
bertemu langsung dengan Nabi, menyatakan sumpah setia yang dikenal
dengan Bai'at Aqabah II. Bai'at ini juga dikenal sebagai sumpah setia
untuk hidup dan mati demi Islam. Yang juga merupakan penyerahan
kekuasaan orang-orang Madinah kepada Nabi untuk menjadi Ketua Negara
Islam. Dan inilah yang mendorong baginda untuk berhijrah ke Madinah.

Kedua, hijrah Rasulullah saw. ke Madinah bukan untuk melarikan diri,
atau menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir. Tetapi untuk
menegakkan Islam, sehingga Islam ini menjadi agama dan ideologi yang
boleh disebarkan ke seluruh dunia, untuk menyelamatkan dunia daripada
kehancuran. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam surat
At-Taubah: 33 /Al-Fath: 28 /As-Shaf: 9.

"Dialah Yang mengutus Rasul-Nya dengan (membawa) petunjuk dan agama
yang haq, agar Dia memenangkan agamanya, keatas agama-agama yang
lainnya."

Maka, tanpa hijrahnya Rasulullah ke Madinah, Islam tidak akan pernah
sampai kepada kita di Malaysia. Sebab, tidak pernah wujud negara Islam
yang menyebarkan dakwah ke seluruh dunia. Tetapi dengan hijrahnya
baginda saw. ke Madinah, maka sejak masa itulah negara Islam berdiri
untuk yang pertama kalinya di Madinah, dan sejak itulah Islam
disebarkan dengan dakwah dan jihad ke seluruh dunia. Sehinggalah Islam
berkembang dengan cepatnya ke seluruh dunia, yang dimulakan dengan
penaklukan wilayah Hejaz (622-632 M.) semasa baginda saw. kemudian
secara berterusan, wilayah Syam di taklukkan semasa Umar bin Khattab.
Sehinggalah Islam masuk Eropah, setelah beberapa wilayahnya ditaklukkan
pada tahun 696-705 M. pada masa Khilafah Ummayah. Pada masa yang sama,
Islam juga telah sampai di Russia. Dan pada tahun 712, Islam telah
sampai di Asia Tenggara.

Tetapi memandangkan pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah saw. ini,
maka sememangnya peristiwa ini bukan sekadar menjadi peringatan,
melainkan lebih daripada itu. Peristiwa Hijrah tersebut, justeru wajib
dijadikan pelajaran, bahawa Islam menjadi agama kita, dan sampai kepada
kita bukan merupakan peristiwa kecil, tetapi merupakan peristiwa besar.
Kalau bukan kerana pengorbanan Rasul dan para sahabat yang tidak kecil
itu, pastilah Islam ini tidak akan sampai ke hari ini. Dan kalau bukan
kerana wujudnya orang-orang yang sanggup hidup dan mati demi Islam ini,
tentulah Islam ini tidak sampai ke hari ini. Dan kalau bukan kerana
wujudnya orang-orang yang rela mengorbankan harta, keluarga dan nyawa
mereka, pastinya Islam tidak akan wujud hingga ke hari ini.

Dan oleh itu, kita semua berhutang kepada mereka. Dan kita tidak dapat
membayarnya, sebab mereka bukan meminta ganjaran daripada kita. Tetapi,
mereka menegakkan Islam dengan seluruh pengorbanan mereka, kerana
mereka telah menjual diri mereka kepada Allah, yang jiwa, harta dan
semua yang mereka korbankan itu telah dibeli oleh Allah dengan
syurga-Nya.

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman
itu, diri dan harta mereka, bahawa mereka akan diberi (imbalan)
syurga." (Q.s. At-Taubah: 111).

Saat ini , ketika ini Islam telah kehilangan generasi terbaiknya yang
sanggup menjual diri, harta dan nyawanya kepada Allah untuk mendapatkan
syurga-Nya, dengan menegakkan Islam. Dan inilah yang menyebabkan
hilangnya cahaya petunjuk Islam, setelah runtuhya Khilafah Islamiyah,
Turki Othmaniyah, pada 3 Mac 1924. Setelah itu, negeri kaum muslimin
berterusan mengalami musibah.

Islam ketika ini memerlukan generasi yang sanggup mengorbankan diri,
harta serta nyawa mereka untuk menegakkannya. Kerana sekiranya tanpa
itu, Islam mustahil kembali berjaya diperingkat antara bangsa, seperti
pada masa baginda dan para sahabat hingga 13 abad kemudian. Maka,
semuanya terpulang kepada keimanan dan ketaqwaan kita semua. Tetapi
yang wajib diyakini, bahawa syurga dan neraka itu adalah abadi. Syurga
merupakan puncak keni'matan yang tidak diberikan secara percuma oleh
Allah kepada manusia. Kerana itu, semakin tinggi pengorbanan kita, maka
semakin besar keni'matan kita di akhirat kelak. Dan sebaliknya. Akhir
kata semoga kita termasuk diantara orang-orang yang sanggup memberikan
pengorbanan yang tertinggi demi Islam, semata untuk mencari ridha Allah
dan syurga-Nya.

Wallahu a'lam.

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 12/14/2009 09:35:00 AM

Kirim email ke