Dimana silapnya ? PD sudah diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat tapi bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Port Dickson hanya menunggu masa untuk runtuh.
*********************** Pesara tentera mohon bangunan dibaiki Sinar Harian 14 Jan 2010 KAMPUNG SAWAH SUNGGALA – Semangat pesara tentera di daerah ini ingin mendaftarkan dalam Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Port Dickson terbantut apabila melihat bangunan persatuan itu terbiar dan hanya menunggu masa untuk runtuh. Zaini Kamal Hadi baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai tentera dan mahu mendaftar sebagai ahli PBTM terperanjat apabila melihat bangunan persatuan terletak di Kampung Sawah itu dipenuhi lalang serta semakin uzur. “Jika bangunan sepatutnya digerakkan dengan baik terabai, saya ragu nasib ahli bernaung di bawah persatuan ini, adakah terbela atau sekadar mengisi borang sebagai ahli sahaja. Tidak tahu di mana silapnya sehingga perkara ini boleh berlaku. “Sepatutnya aktiviti persatuan termasuk mesyuarat dijalankan di bangunan persatuan, tetapi sehingga hari ini semua aktiviti persatuan dijalankan di luar seperti di hotel dan sebagainya,” katanya. Zaini berkata, jika PBTM mempunyai bangunan sendiri pelbagai perancangan boleh dilakukan. Platform itu akan memudahkan semua urusan PBTM termasuk merancang pelbagai aktiviti, perjumpaan dan sebagainya tanpa mengeluarkan kos untuk menyewa logistik lain. “Hasil maklumat diperolehi melalui pesara tentera lebih senior, bangunan persatuan ini ditubuhkan hampir 40 tahun lalu. “Tetapi tidak tahu di mana silapnya sehingga bangunan ini terbengkalai dan tidak boleh dimanfaatkan. Menurut beberapa senior pesara tentera, permasalahan ini dibawa berbincang pada mesyuarat persatuan, namun tiada kata putus kerana tidak ada bantuan berbentuk dana disalurkan untuk membaik pulih bangunan ini,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6363605.asp
