Van putih sambar budak
Harian Metro 16 Jan 2010

AMPANG: Belum selesai kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dan Sharlinie 
Mohd Nashar, 5, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menjadi 
mangsa, kelmarin.

Nenek mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian berlaku kira-kira 
jam 9 malam apabila cucunya, murid tahun enam, dalam perjalanan ke kedai runcit 
berhampiran rumahnya di Taman Dagang di sini.

Menurutnya, ketika berjalan kaki bersendirian, sebuah van dinaiki seorang 
lelaki menghampiri cucunya sebelum berhenti.

“Lelaki tempatan berambut panjang dan memakai kemeja-T putih terus keluar dari 
van dan menghampiri cucu saya.

“Dia memeluk lalu menangkap cucu saya dari belakang. Akibat terkejut dengan 
tindakan itu, cucu saya meronta dan cuba melepaskan diri,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu menyumbat mulut murid perempuan itu dengan kain sebelum 
menariknya masuk ke dalam van terbabit.

“Selepas berjaya mengheret masuk ke dalam van, dia menutup muka cucu saya 
dengan pita pelekat bagi mengelakkannya menjerit meminta tolong.

“Cucu saya dipaksa duduk sebelum dipakaikan tali pinggang keledar. Cucu saya 
cuba melawan dan melepaskan diri, namun lelaki terbabit menolak dan mengugutnya 
supaya diam,” katanya.

Difahamkan, sebelum matanya ditutup, mangsa sempat melihat beberapa botol arak 
dalam van berkenaan sebelum lelaki itu menghidupkan enjin dan meninggalkan 
tempat kejadian.

“Penjenayah itu kemudian memandu ke arah Wangsa Maju sebelum berhenti 
berhampiran pondok pengawal yang menjadi pintu masuk utama satu kawasan 
perumahan.

“Lelaki itu keluar dari van dan berjalan ke arah belakang kenderaan itu tanpa 
diketahui tujuannya. Kesempatan itu digunakan cucu saya untuk membuka pintu van 
perlahan-lahan sebelum bergegas melarikan diri tanpa menoleh belakang,” katanya.


Kanak-kanak itu bernasib baik kerana arif dengan kawasan berkenaan sebelum 
menuju ke rumah datuk saudaranya di Jalan Setiawangsa untuk mendapatkan bantuan 
sebelum membuat laporan polis. “Saya hanya menyedari kejadian itu selepas 
dihubungi ibu saudaranya kira-kira sejam selepas dia terselamat. Kami 
sekeluarga tidak tahu motif lelaki itu melarikannya.

“Kejadian itu menyebabkan dia trauma dan takut pergi ke sekolah. Akibat terlalu 
takut, cucu saya demam panas dan kini berehat di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, 
yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan siasatan masih dilakukan 
bagi mengenal pasti penjenayah terbabit.

Oktober lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun diculik seorang 
lelaki menggunakan van putih selepas diumpan dengan wang RM5 di Kampung Sungai 
Pinang, Batu 3, Jalan Kapar, Klang, kira-kira jam 8.30 malam.

Bagaimanapun, mangsa sempat melarikan diri walaupun sudah diperkosa penjenayah 
yang sempat membawanya bersiar-siar.

Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas 
mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 
Ogos, 2007.

Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya.

Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris 
diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat 
Nurin dilaporkan hilang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan 
sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa.

Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie 
Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa 
turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal 
ditemui sehingga kini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Vanputihsambarbudak/Article




Kirim email ke