Kalau nak membela nasib orang Melayu , tak perlu berdemo, tak perlu melaungkan 
ketuanan Melayu. Mereka yang ada kuasa, teruslah bantu.

****************************
Sinar Harian 16 Januari 2010
20 tahun mohon tanah idak diendah

AMPANGAN – Hampir 20 tahun Persatuan Gerak Bumi Niaga Seremban, memohon tanah 
Lot 15591, Mukim Ampangan untuk dijadikan tapak kekal peniaga pasar malam 
Bumiputera, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

Umpama anjing menyalak bukit, segala usaha mereka bagaikan sia-sia dan 
keinginan serta kehendak persatuan dilihat agak mustahil untuk ditunaikan.

Biarpun begitu, semangat dan kesungguhan mereka untuk menyelamatkan hak peniaga 
Melayu tidak pernah terhenti, namun besarlah harapan mereka agar pihak kerajaan 
Negeri dapat membantu menyelesaikan segala keresahan yang membelenggu 100 
peniaga Bumiputera di Pasar Malam Gerak Bumi Niaga di sini.

Yang Dipertua Persatuan, Muhammad Hanip Muhamad Din berkata, sejak 1994 
persatuan terbabit berusaha membuat permohonan mendapatkan tanah berkenaan, 
namun ia terlalu sukar untuk diluluskan oleh pihak berwajib.

Menurutnya, persatuan bukan sahaja memohon untuk mendapatkan geran tanah kekal, 
malah berusaha mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara Atas Tanah Kerajaan (TOL) 
di tanah Lot 15591 di Mukim Ampangan.

“Tapi, kita tidak diberi sebarang maklum balas tepat dan bertulis oleh pihak 
dipertanggungjawabkan membuatkan kami sendiri kurang jelas.

“Dulu, permohonan kami untuk pendudukan sementara atas tanah kerajaan pernah 
diluluskan, namun entah mengapa pada saat-saat akhir ia dibatalkan atas alasan 
tanah terbabit mahu digunakan untuk membina dewan orang ramai sedangkan hingga 
kini kita tidak lihat sebarang dewan pun didirikan di sini,” katanya.

Malah amat mengecewakan apabila pihaknya dimaklumkan baru-baru ini tanah 
terbabit adalah hak milik Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pihak persatuan sendiri musykil dengan keadaan itu kerana pada 
tahun 2002 tanah di kawasan berhampiran yang dimohon oleh sebuah syarikat 
begitu senang diluluskan biarpun pihak persatuan membuat permohonan terlebih 
dahulu.

“Ketika itu memang ahli persatuan tidak berpuas hati sehinggakan kami 
menghantar surat bantahan pemberian tanah terbabit dengan ditandatangani oleh 
lebih daripada 100 ahli persatuan.

“Kami agak kecewa kerana permohonan yang dibuat oleh kami terlalu sukar untuk 
diluluskan sedangkan ia adalah untuk kepentingan orang-orang Melayu,” katanya 
kepada Sinar Harian.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6370739.asp




Kirim email ke