Di mana silapnya ? Kenapa baru sekarang timbul cerita ini ? Dah 20 tahun penduduk berjiran dengan sampah, bukan 20 hari. Tahun 1990 ke atas ekonomi sedang meningkat, sekarang 2010 ekonomi tidak ketentuan.
Apakah akan selesai masalah penduduk Kg Gebok, Mantin. Masalah pakcik Mohd Isa Hussin, pakcik Karim Yahya ? ***************************** “Bila hendak tutup tapak lupus sampah?” Sinar Harian 21 Jan 2010 MANTIN – Bukan cerita rekaan apabila sudah 20 tahun penduduk di kawasan Kampung Gebok Mantin terpaksa tinggal dalam keadaan persekitaran bau busuk membuatkan masing-masing mula tertekan. Mereka mendakwa bau busuk yang datang tanpa kira waktu pagi atau malam berpunca kehadiran tapak pelupusan sampah di kawasan berhampiran. Impian untuk tinggal dalam keadaan persekitaran bersih tanpa adanya sebarang gangguan tidak akan menjadi kenyataan apabila saban tahun pihak berwajib menabur janji menutup tapak pelupusan sampah terbabit, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Malah, tinjauan Sinar Harian ke lokasi turut menghidu bau busuk yang ketara terutamanya ketika waktu petang dan hujan. Malah, pihak Sinar Harian turut berkesempatan melawat tapak pelupusan sampah terbabit yang kedudukannya hanya 1 kilometer dari rumah penduduk. Minta tukar tempat Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Gebok, Mohd Isa Hussin, 53, berkata, sememangnya sejak berpuluh tahun lalu penduduk terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan setiap hari. Menurutnya, biarpun bau busuk itu tidak mengganggu sebarang urusan harian penduduk, namun ia tetap mengundang ketidakselesaan mereka menjalani kehidupan seharian. “Kita sendiri beberapa kali ajukan masalah ketidakselesaan ini kepada pihak berkenaan. Keadaan memang kurang menyenangkan apabila perlu berhadapan bau busuk setiap hari. “Kita juga pernah minta mereka tutup dan berpindah ke tempat lain, namun entah mengapa hingga kini tapak pelupusan sampah terbabit masih kekal di sini,” katanya. Tunggu tunai janji Malah, penduduk mendakwa janji pihak berkenaan untuk menutup tapak pelupusan sampah terbabit hanya tinggal janji dan penduduk pula berterusan menunggu dengan penuh harapan supaya tapak pelupusan itu dapat dipindahkan ke tempat lain. Penduduk, Karim Yahya, 64, berkata, tapak pelupusan itu dahulunya merupakan padang ragut, namun dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah sehingga kini. “Kami beberapa kali minta mereka tutup dan jawapannya ‘tahun depan kita akan tutup’, tetapi langsung tidak pernah tutup. Setiap kali aduan dibuat, itulah jawapannya. “Kami tidak bermaksud mahu mengganggu kerja mereka, tetapi ini melibatkan soal kehidupan rakyat kerana penduduk di sini memang tidak selesa sekiranya perlu berhadapan bau busuk yang berterusan,” katanya. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6401010.asp
