Kenapalah umat Islam sekarang ini bersifat pembengis, berdendam ? Mana perginya 
sifat kasih sayang, rahmat, cinta terhadap sesama insan termasuk mereka yang 
kafir ?

Ingat lagi kisah seorang Arab Badwi (tidak pasti samada kafir atau Islam ketika 
itu) yang kencing dalam masjid. Para sahabat dah panas baran dan nak menyerang 
lelaki Arab Badwi tadi. Tapi Nabi saw dengan tenang membiarkan sahaja lelaki 
tadi kencing dalam masjid dan tidak marah sedikit pun.

Macamana kita hendak berdakwah kepada bukan Islam kalau kita begitu kurang 
sifat kasih sayang dan cinta ?

Bagaimana kita nak tunjukkan kepada orang bukan Islam kita cintakan masjid tapi 
kita jarang sekali membersihkan tandas masjid, nampak tahi cicak dalam masjid 
pun biar siak yang bersihkan.

Macamana kita nak tunjukkan kepada orang bukan Islam kita cintakan masjid tapi 
sering kita jadikan masjid sekadar tempat laluan, tempat buang air besar atau 
air kecil serta tempat tukar lampin anak-anak.

Berapa kali saya membuang pampers dalam tandas wanita, membersih tahi-tahi yang 
dah kering bertaburan dalam tandas lelaki di surau. Kasihan tengok sikap orang 
Melayu yang tidak cintakan masjid dan surau.

Kalau cintakan masjid, rajinlah datang masjid, nescaya orang bukan Islam pun 
akan terpikat.

Kalau cintakan agama dan bangsa, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro 
dan Kosmo, janganlah disiarkan lagi iklan judi dalam akhbar.

Kalau kasihkan Nabi saw , ikutlah cara hidup Nabi saw, janganlah hidup 
bermewah-mewah, kejarlah kekayaan, tapi gunakan kekayaan itu untuk membina 
lebih banyak rumah kebajikan, masjid, surau, madrasah, membantu fakir miskin 
dan lain-lain amal kebajikan untuk menambah saham kita di akhirat.

Sebarkanlah kasih sayang. Hidup di dunia hanya sekelip mata, hidup di akhirat 
kekal selama-lamanya.

___________________ 

Utusan Malaysia 25 Mei 2009

Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam
Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki 
masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah 
satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin 
menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah 
Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam 
dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta 
menjatuhkan maruah insan lain. 

Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa 
menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh 
menjatuhkan maruah. 

Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam 
kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada 
para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan 
sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".

Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap 
Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan 
di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.

Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan 
sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak 
diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)

Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus 
subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih 
terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya. 

Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan 
thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan 
ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan 
penyebaran risalah yang lebih gemilang. Wallahu a'lam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
 



      

Kirim email ke