Aduka Taruna: Antara Sultan Dan Isteri Nabi S.A.W
Disiarkan pada Feb 01, 2010 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
 
Tiba-tiba nama Aduka Taruna menjadi masyhur disebabkan penghinaannya kepada 
Sultan Iskandar, Sultan Johor yang sudah meninggal dunia. Siapa Aduka Taruna 
sebenarnya, tidaklah saya ketahui. Namun di sini ada beberapa perkara mengenai 
isu beliau yang saya hendak sentuh:
 
1. Menghina atau mengungkit kisah orang yang sudah mati, tiada gunanya lagi. 
Jika hendak nasihat, atau mengkritik, kritiklah yang masih hidup secara membina 
atau membetulkan keadaan. Jika hendak memberi amaran kepada yang zalim, 
sebutlah kepada mereka ketika hayat masih di badan. Mungkin ada perkara yang 
boleh dibaiki, atau sekurang-kurangnya mereka diingatkan.
2. Menghina seorang sultan atau raja dan menghina seorang rakyat sama sahaja 
nilaiannya. Islam tidak pernah membuat kasta-kasta seperti ini. Seperti mana 
sultan tidak boleh dihina tanpa alasan yang benar, demikian juga seorang rakyat 
bawahan tidak boleh diperlakukan demikian.
3. Malanglah kita jika ada pihak yang hanya marah apabila golongan atasan 
dihina atau dipersendakan, tetapi tidak punya marah apabila rakyat bawahan 
menerima nasib yang sama. Jika ada pihak atau individu atau ulama yang 
demikian, mereka itu memang pengampu yang berat sebelah.
4. Saya mendapat maklumat bahawa Aduka Taruna sebelum ini dalam blognya pernah 
menghina isteri Nabi s.a.w yang mulia iaitu ‘Aishah r.ha. Setelah saya sendiri 
baca, amatlah buruknya budi dan bahasa beliau. Dia menyatakan kepada isteri 
Nabi yang mulia itu ‘bangang’, ‘dua ekor mangkuk’, ‘bangang tukil’ dan berbagai 
lagi perkataan-perkataan yang amat biadap terhadap seorang wanita yang dibela 
oleh al-Quran dan al-Sunnah. Amat menyedihkan. Sila lihat lampiran.
5. Tuduhan-tuduhan beliau kepada Aishah dan Muawiyah tidak berasaskan fakta 
sejarah yang sebenar. Saya cadangkan beliau dan sesiapa yang terpengaruh 
dengannya membaca apa yang telah saya tulis dalam buku PERTELINGKAHAN PARA 
SAHABAT NABI SAW : ANTARA KETULENAN FAKTA DAN PEMBOHONGAN SEJARAH.
6. Malang sekali, ketika beliau menghina isteri Nabi s.a.w, tiada pula 
bantahan, campurtangan menteri, desakan agar diambil tindakan dan berbagai 
lagi. Siapakah yang lebih mulia antara dua insan yang dihina itu?
7. Sepatutnya sejak dahulu beliau dibantah. Namun ketika dia menghina isteri 
Nabi s.a.w, mereka yang melayari blognya tidak bertindak, bila dia menghina 
sultan mereka bantah ‘sakan’dan naik angin. Jiwa melayu kitakah yang lebih 
tebal, atau jiwa islami kita yang telah nipis?
 
Disedut dari: http://drmaza.com/home/?p=994#more-994
 
Wasalam,Shima Derus


      

Kirim email ke