Apabila ahli politik dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat leka berpolitik, 
yang menjadi mangsa ialah rakyat, guru, pelajar, kakitangan kerajaan, polis, 
tentera.

Tahun 2010 banyak bajet dipotong, malangya kakitangan kerajaan yang tiada elaun 
pengangkutan sepenuhnya, gaji guru KAFA lagi rendah dari gaji pembantu rumah 
asing tiada siapa yang kisah sebab isu politik lebih penting.

**************************

Berita Harian 12 Feb 2010

Langkah penjimatan membebankan

TAHUN 2010 adalah tahun cukup mencabar bagi Kementerian Pelajaran terutama dari 
segi perbelanjaan tahunan kerana peruntukan dalam Bajet 2010 dikurangkan. 
Pengurangan ini menuntut agensi di bawah kementerian itu menjalankan langkah 
penjimatan dan pengurusan kewangan berhemah.

Ekoran langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah inilah beberapa tindakan 
diambil seperti mengurangkan kursus yang tidak perlu. Bagi sebuah institut 
pendidikan guru di negeri Perlis, antara langkah diambil ialah kakitangannya 
tidak dibenarkan menuntut perbatuan dan mereka dikehendaki menuntut persamaan 
satu tempat duduk teksi melalui satu memo ketua jabatan.

Masalahnya ialah adakah teksi mahu menerima bayaran dengan bayaran satu tempat 
duduk saja, bukannya sebuah teksi untuk ke sesuatu jarak? Keduanya ialah tidak 
semua teksi sanggup membawa kakitangan ini untuk ke destinasi yang jauh ke 
pedalaman atau yang sukar baginya.

Kakitangan di institut ini juga tidak dibenar menuntut elaun penginapan atau 
sewa hotel, makan dan harian ketika menjalankan tugas rasmi. Bayangkan seorang 
kakitangan yang menjalankan tugas rasmi tiga atau empat hari di luar, terpaksa 
membiayai sendiri bayaran sewa hotel, makan minum dan perjalanan.

Persoalan yang berlegar di minda kakitangan institut pendidikan guru ini ialah 
sama ada institut pendidikan guru lain masih membenarkan kakitangan menuntut 
bayaran sewa penginapan hotel, perbatuan, harian dan makan minum seperti biasa, 
sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ini jelas menunjukkan tiada satu prosedur standard penjimatan dan pengurusan 
berhemah. Pekeliling Perbendaharaan Bil 7 Tahun 2008 mengenai ‘Garis Panduan 
Bagi Perbelanjaan Secara Berhemah’ tidak pula memperhalusi bahawa seseorang 
ketua jabatan perlu memotong segala tuntutan seperti di atas.

Pekeliling itu hanya menyebut perbelanjaan bagi perjalanan dalam negeri 
hendaklah dihadkan kepada perjalanan yang benar-benar perlu saja. Bagi 
kakitangan di institut pendidikan guru seperti pensyarah, mereka amat perlu 
untuk keluar bagi menyelia dan membimbing pelajar ketika praktikum dan urusan 
rasmi lain.

Pihak yang berkenaan di institut pendidikan guru ini perlu memikir semula 
langkah penjimatan yang diambil. Janganlah ia menghalang tugas kakitangan dan 
meruntuhkan semangat kerja kakitangan. Kakitangan di institut pendidikan guru 
sudah banyak berkorban tenaga, wang dan masa. Fikirlah.

PEMERHATI 2010
Alor Setar, Kedah

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20100211225826/Article/index_html




Kirim email ke