SABAN hari akhbar dan TV bercerita mengenai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) 
dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Tetapi kami ibu bapa pelajar di SJK(C) 
Pei Hwa Pedas, Rembau, masih lagi tertanya-tanya kerana setelah masuk bulan ke 
dua persekolahan anak-anak kami masih lagi ketiadaan guru bagi subjek 
Pendidikan Islam.

Adakah kerana status SJKC maka masalah ini dipandang sebelah mata oleh pihak 
berkenaan? Sekolah ini bukan terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak tetapi 
hanya satu jam perjalanan ke Putrajaya melalui lebuh raya.

Adakah kementerian yang bertanggungjawab tidak memandang masalah ini sehingga 
berlarutan saban tahun setiap kali penggal baru persekolahan bermula? Kami 
sebagai ibu bapa sangat sedih dan kecewa bila melihat jadual peperiksaan yang 
akan bermula pada awal bulan Mac tidak lama lagi, sedangkan buku pendidikan 
Islam masih tidak 'terusik'.

Kementerian mengatakan pencalonan SBT terbuka kepada semua jenis sekolah yang 
ada di negara ini sedangkan kami sebagai ibu bapa merasakan hak anak-anak kami 
yang beragama Islam di SJKC Pei Hwa dinafikan. Ketiadaan guru akan melemahkan 
pencapaian anak-anak kami. Anak-anak kami yang bersekolah di SJKC mempunyai 
matlamat 7A berbanding 5A di SJK.

Tiada guna kita melahirkan SBT jika masalah ketiadaan guru masih lagi berlaku 
saban tahun. Jikalau hendak bertanding dan berlumba sekalipun biarlah di atas 
gelanggang yang sama rata. Kami sebagai ibu bapa kepada pelajar-pelajar Islam 
di SJKC Pei Hwa Pedas amat berharap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin.

NIZAM
Rembau, Negeri Sembilan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_05.htm
  



      

Kirim email ke