Rakyat di 1Malaysia ini sebenarnya semakin derita. Masalahnya orang politik 
leka hendak memperkukuhkan parti. BN nak jatuhkan PR. PR nak jatuhkan BN. 
Sesama UMNO nak jatuhkan UMNO. Sesama PKR nak jatuhkan PKR. Sesama PAS pun ada 
nak jatuhkan sesama PAS.

Yang susah tetap susah. Cerita politik dan cerita hantu semakin mendapat tempat 
di 1Malaysia.

Bajet Kementerian Pelajaran banyak dipotong hingga guru terpaksa keluar duit 
sendiri baiki kelas seperti di sini 
http://waghih.blogspot.com/2010/02/guru-baiki-kelas-duit-sendiri-kerajaan.html

Tapi duit untuk Program PERMATA ada pula, sampai hantar 5 orang kanak-kanak 
PERMATA keluar negara, berapa orang pula pengiring 5 orang kanak-kanak PERMATA 
ini ?

Kursus Polis dipendek ke 3 bulan, cukup ke 3 bulan , dengan macam-macam kes 
jenayah sekarang ni ? Bajet untuk PDRM dipotong, Kursus PLKN jalan macam biasa, 
juga 3 bulan, ada pula Bajet untuk PLKN untuk PDRM di potong-potong.

Kursus guru banyak dipotong, alasan tak ada duit. Tapi Program Juara Rakyat 
boleh pula buat hebat-hebat.

Baca dua kisah di bawah, kisah yang kebanyakan semua daripada kita merasai 
perit hidup sekarang ini.

**********************
Berita Harian 8 Mac 2010
Golongan pertengahan terus diabai

SURAT Nurul Addin bertajuk ‘Hak gaji tinggi, ramai anak dinafi' yang disiarkan 
ruangan ini 4 Mac lalu, sangat menarik. Apa yang ditulis Nurul Addin tepat dan 
sudah lama dipandang sepi pihak tertentu.

Walaupun sesetengah isu sudah diatasi seperti skim pinjaman buku teks, terbaru 
iaitu isu bayaran makan asrama amat menekankan. Seperti Nurul, saya juga 
mempunyai enam anak yang masih belajar - dua di institusi Pengajian Tinggi 
(IPT) swasta, seorang di IPT awam, dua di sekolah berasrama penuh dan seorang 
di sekolah rendah.

Sudahlah anak di IPT dinafikan hak untuk mendapat pinjaman penuh Perbadanan 
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), anak di sekolah berasrama penuh 
(SBP) pula dikenakan bayaran tambahan RM180 seorang dan yuran makan tiga kali 
ganda daripada pelajar lain.

Ini bermakna ibu bapa terpaksa mengikat perut menabung untuk membayar yuran 
pengajian pada awal semester. Belum sempat menambah tabungan, semester baru 
sudah bermula.

Dalam keadaan ekonomi seperti hari ini, nasib golongan berpendapatan sederhana 
seperti kami sering dipandang sepi oleh pihak berkuasa. Seperti kata Nurul, di 
atas kertas memang pendapatan kami nampak tinggi, namun hakikatnya hidup kami 
anak beranak sudah nyawa-nyawa ikan.

Anak yang masih belajar mengadu betapa hidup mereka di IPT jauh lebih sukar 
berbanding rakan lain yang ibu bapa mereka tidak mengisytihar pendapatan 
sebenar. Ibu bapa menghadiahkan kereta mewah dan PTPTN juga penuh.

Walhal anak kami menelan air liur melihat semua ini. ‘Sabarlah nak’. Itulah 
saja yang boleh kami katakan kepada anak kerana ayah dan emak sudah membayar 
cukai pendapatan dan memperoleh ijazah dengan ke air mata tanpa PTPTN.

Adalah menjadi harapan pihak tertentu mengambil tindakan yang boleh membantu 
anak kami yang masih jauh perjalanan dan mendapat hak mereka yang sepatutnya.

BAHARON HASHIM,
Labu Besar, Kedah.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20100308010341/Article/index_html

**************************
Hak gaji tinggi, ramai anak dinafi
Berita Harian 8 Mac 2010

SAYA menulis kerana ingin meluahkan rasa hati sebagai golongan dikatakan 
berpengetahuan tinggi. Saya dan pasangan memperoleh pendapatan lebih kurang 
RM6,000 sebulan. Pendapatan ini kami peroleh bukan dengan mudah. Kami hanya 
bermula sebagai lepasan sijil dan sedikit demi sedikit mengumpul duit kemudian 
melanjutkan pelajaran secara persendirian tanpa bantuan sesiapa.

Selepas bersusah payah, berkorban dan berbekalkan tekad serta kegigihan, kami 
kini bergelar siswazah. Keluarga kami juga besar yang terdiri daripada enam 
anak selain turut menjaga ibu bapa. Kami juga berusaha menyediakan insurans 
pendidikan untuk anak supaya mereka tidak bergantung kepada bantuan kerajaan 
pada masa depan.

Namun, saya rasa sangat kecewa apabila berasa terhukum kerana berada dalam 
golongan dikatakan berpendapatan tinggi. Baru-baru ini, dua daripada lima anak 
saya mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama.

Apabila dilihat kepada bayaran makanan, ternyata kami harus membayar tiga kali 
ganda daripada apa dibayar orang berpendapatan kurang RM5,000. Benar kami 
berpendapatan lebih RM5,000, tetapi kami mempunyai tanggungan besar. Lima anak 
kami bersekolah dan tiga daripadanya di sekolah menengah. Kami juga membayar 
cukai setiap tahun. Semua ini tidak diambil kira.

Orang yang berpendapatan kurang RM5,000 membayar kurang berbanding kami, malah 
mereka yang berpendapatan rendah mendapat segala bantuan. Saya tidak dengki 
kepada mereka, tetapi mengapakah orang yang berpendapatan seperti kami dihukum?

Sebenarnya siapakah yang lebih banyak tanggungan? Mereka yang mempunyai anak 
seorang, tetapi mendapat pendapatan kurang RM5,000 atau golongan seperti kami 
yang mempunyai pendapatan dikatakan tinggi, tetapi tiada sebarang bantuan untuk 
anak kami, malah 'didenda' pula untuk membayar lebih. Akhirnya kami tidak 
menghantar seorang pun anak kami kerana tidak mampu sebenarnya. Seharusnya 
bilangan tanggungan harus diambil kira bukan hanya angka pendapatan di atas 
kertas.

NURUL ADDIN,
Cheras, Kuala Lumpur.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Surat/20100303231506/Article/




Kirim email ke