Politik di Malaysia makin semak. Baca akhbar pro BN atau pro PR semuanya 
majoriti pasal politik. Bak kata Ustaz Zakaria bin Talib, banyakkanlah baca Al 
Quran sekarang ini, lebih-lebih lagi Surah Sod.

Bila politik makin ribut, keluhan guru warga pendidik tak siapa yang ambil 
peduli.

Akhirnya guru-guru ini hanya mampu meluahkan masalah mereka dalam akhbar.

Buatlah kerja masing-masing. Menteri Pelajaran buatlah kerja Menteri Pelajaran. 
Ahli Parlimen Rembau buatlah kerja sebagai Ahli Parlimen Rembau. Ahli Parlimen 
Bachok buatlah kerja sebagai Ahli Parlimen Bachok.

Guru-guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak ini hanya meminta 
bot laju agar lebih memudahkan perjalanan mereka mengajar selama lebih 10 tahun 
di sana. YA, 10 TAHUN TU , TAK DAPAT PINDAH !!!

Juara Rakyat. Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan ! Guru ?

************************ 
KASIHANILAH GURU DI PEDALAMAN

Utusan Malaysia 11 Mac 2010 
DUNIA pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan 
para guru atau para pelajar. Sekarang ini heboh pula tentang isu guru enggan 
bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri merangkap 
Menteri Pelajaran untuk mewajibkan guru bertugas di luar bandar untuk 
sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Saya adalah seorang guru. Bertugas di pedalaman selama hampir sepuluh tahun. 
Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di 
mana-mana. Pengalaman selama hampir sepuluh tahun mematangkan kerjaya saya 
sebagai seorang guru. Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan 
lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman 
khususnya di Sarawak dan Sabah kerana momokan kawan-kawan seperjuangan yang 
mengatakan bahawa di Sarawak dan Sabah ini keadaannya sangat perit. 

Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumahtangga di akhir 
semester pengajian mereka di institut penguruan dengan harapan mereka tidak 
akan dihantar ke kawasan pedalaman. Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh-puluh 
alasan untuk tidak ke kawasan seperti ini kerana bimbang tidak mampu untuk 
hidup di kawasan pedalaman. 

Saya tidak menyalahkan bakal-bakal guru ini kerana ada asasnya kebimbangan 
mereka. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan mental dan 
fizikal yang tinggi. Kita perlu berkorban segalanya jika berada di luar bandar. 
Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika 
melangkah ke kawasan ini. Hanya berbekalkan generator dan air sungai guru perlu 
segera menyesuaikan diri. Ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan telefon 
atau jaringan komunikasi. Saya sendiri pernah mengalaminya. Hendak menelefon 
keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa 
sahaja asalkan dapat menghubungi keluarga. Begitu besar pengorbanan guru di 
luar bandar.

Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun 
terpaksa berbekalkan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan 
memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga 
menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

Ada kalangan kami yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat tinggal. 
Terpaksa pula kami bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira 
keselamatan diri, guru-guru perempuan yang tidak mempunyai saudara-mara di 
bandar terpaksa tinggal di hotel terutamanya apabila menghadiri kursus di 
bandar kerana pihak jabatan tidak menyediakan tempat tinggal. Apatah lagi 
sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di 
premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru-guru luar bandar mencari alternatif 
untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel selama berhari-hari. 

Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik 
perahu hingga berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, saya dan 
kawan-kawan terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu 
lalang untuk ke bandar. Tidak mengira akan keselamatan diri, kami menumpang 
sesiapa sahaja yang sudi membawa kami ke bandar. Begitulah peritnya hidup 
seorang guru di luar bandar.

Namun, kami sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif 
sebanyak RM500-RM1500 untuk guru-guru yang berkhidmat di luar bandar. Akan 
tetapi, kami merasa dipinggirkan apabila kami terpaksa berjuang pula untuk 
mendapatkan insentif tersebut kerana sekolah kami mudah dihubungi menurut 
pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Kami sangat kecewa pada masa 
tersebut memandangkan sekolah kami tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu 
menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. 
Paling menambahkan beban, elaun perumahan kami ditarikbalik memandangkan kami 
tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters tersebut sangat daif dan usang! 
Sudah jatuh, ditimba tangga pula.

Biarpun demikian, kami sangat berbesar hati apabila kerajaan memberikan elaun 
balik kampung kepada kami memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung 
bernilai sebulan gaji! 

Cadangan kerajaan untuk mewajibkan guru bertugas di luar bandar bagi tempoh 3-5 
tahun adalah cadangan yang cukup baik namun pihak kementerian perlulah 
memastikan guru tersebut dapat berpindah ke negeri asal setelah tamat tempoh 
berkenaan. Jangan jadi seperti saya! Saya tidak kisah berkhidmat di luar bandar 
tetapi untuk tempoh selama sepuluh tahun ia memang memeritkan. Sepuluh tahun 
berkhidmat di sekolah yang sama begitu menekankan.

Apabila saya memohon ke bandar, pelbagai alasan dikemukakan oleh pihak jabatan 
kepada saya. Oleh sebab itu, ramai bakal guru yang enggan ke luar bandar kerana 
bimbang akan terkandas di sana selama berpuluh tahun. Ada rakan sejawat saya 
yang pernah bertugas di luar bandar selama lima belas tahun barulah pihak 
jabatan buka mata untuk memindahkan mereka. Itupun setelah mereka bertikam 
lidah dengan pihak berkenaan. Alasan yang selalu diberikan oleh pihak berkenaan 
adalah tiada kekosongan di tempat yang diminta. 

Selepas ini, saya berharap agar urusan perpindahan guru diuruskan dengan lebih 
sistematik oleh pihak yang terlibat. Sebagai guru, kami tidak kisah untuk 
berkhidmat di mana-mana sahaja kerana sudah termaktub dalam ikrar kami sebelum 
menjadi guru. Akan tetapi, kebajikan kami perlu juga dijaga khususnya guru-guru 
di luar bandar. 

Hasrat kerajaan untuk menambah insentif kepada guru-guru di luar bandar sangat 
dialu-alukan agar lebih ramai guru berminat untuk ke luar bandar. Pemberian 
elaun hidup susah adalah satu contoh terbaik yang amat menggembirakan kami di 
luar bandar. Cadangan saya agar setiap sekolah dibekalkan dengan bot laju atau 
van siap dengan pemandu bagi kemudahan guru-guru untuk berulang-alik ke bandar 
tanpa sebarang masalah. Dan diharapkan generator yang ada di sekolah dapat 
membekalkan bekalan elektrik 24 jam tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang ada 
sekolah yang mempunyai generator tetapi tidak boleh digunakan kerana rosak atau 
tiada bekalan minyak. Kasihanilah guru-guru di luar bandar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
 



      

Kirim email ke