Taat kepada pemimpin


Apakah ciri-ciri pemimpin yang ditaati? Mungkin persoalan ini yang sering 
berlegar di fikiran setiap umat Islam yang umumnya berpegang kepada ajaran 
Ahli Sunnah wal-Jamaah. Maka pelbagai tafsiran akan diberikan terutama 
daripada pemimpin parti politik.
Persoalan ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk dijadikan propaganda 
bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan memberikan gambaran 
mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin menimpa umat Islam.
Selepas 52 tahun negara merdeka, kesannya amat jelas iaitu perpecahan di 
kalangan umat Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk 
kepada tuntutan orang lain selepas pilihan raya umum lalu. Ini semua 
disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apabila 
meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih tinggi.
Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan 
wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan 
kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, 
jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang 
mereka dan dibelakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid 
yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang 
menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah 
dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.
Rasulullah bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para 
pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan 
panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang 
hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus 
aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu 
mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan 
merampas harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini perlu ditaati walau 
apa sekali pun malah sejak merdeka sehingga hari ini, Islam dan ummah 
dapat berkembang dengan pesat dan wujud dasar-dasar yang berteraskan Islam 
walaupun tidak sepenuhnya kerana kita harus memahami negara ini bukannya 
milik umat Islam sahaja, sebahagian kecil daripadanya adalah milik 
penganut agama lain. 
Justeru itu, apa yang dilakukan oleh pemerintah sekarang amat jelas dan 
semua pihak perlu memahami hukum hudud dan takzir tidak dapat dilaksanakan 
kerana kerajaan berada dalam keadaan 'darurat' disebabkan perkongsian 
milik negara ini dengan orang lain. 
Saya berpendapat wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah 
disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa 
merekalah yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang 
suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan 
musuh-musuh Islam yang nyata dan jelas. 
Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam 
berpecah kerana kelompok-kelompok ini cuba menegakkan sesuatu yang 
bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan 
sesama Islam. Saya sama sekali tidak dapat menerima perpecahan ini dan 
saya menganjurkan perpaduan sesama saudara seagama kita. 
Selama ini orang pondok seperti saya berdiam diri tetapi hari ini saya 
perlu bangun untuk menyatakan kebenaran ini kerana umat Islam diancam 
dengan pelbagai masalah. Biarpun saya akan dikecam kerana tidak selari 
dengan pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan Islam, pemimpin yang 
dilihat semakin suci dan tidak lagi boleh dipersoalkan. 
Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam 
dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain 
mengganggu gugatnya. Namun dengarlah kata-kata para pemimpin parti politik 
tertentu untuk menjaga kepentingan pengaruh daripada bukan Islam.
Berpegang
Penentangan saya terhadap kelompok ini bermula sejak tahun 1987 apabila 
seorang pemimpinnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sifat 20 
Allah SWT direka oleh Greek dan Yunani. Bagaimanapun saya mendiamkan diri 
kerana berpegang kepada dasar parti itu yang kononnya memperjuangkan 
Islam. 
Kami golongan pondok sebenarnya dibuai oleh Pas sejak negara mencapai 
kemerdekaan, Mereka menyebarkan dakyah kononnya UMNO sengaja tidak 
melaksanakan hukum Islam walaupun telah diberikan kebebasan 100 peratus 
oleh British. 
Namun selepas berkali-kali melihat dan mendengar kenyataan yang dibuat 
oleh Nik Abdul Aziz biar yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah 
wal-Jamaah biar pun telah ditegur, ia mula membuka mata saya. Kami ahli 
Persatuan Pondok seMalaysia beberapa kali telah menasihati beliau tetapi 
tidak diendahkan. Baginya apa yang penting pembaharuan dalam agama perlu 
diteruskan walaupun umat Islam berpecah.
Saya mengkaji semula perlembagaan negara dan saya menemui bahawa 
kemerdekaan itu bukannya hak mutlak orang Melayu Islam tetapi sebahagian 
kecil tanah air ini mungkin 20 peratus telah ditinggalkan untuk penganut 
agama lain. 
Selepas itu, saya menyedari bahawa UMNO yang memerintah melalui gagasan 
Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan 'darurat' yang mana 
sebahagiannya terpaksa dikongsi bersama dengan orang bukan Islam maka 
tidak wajib bagi kerajaan untuk melaksanakan hukum hudud dan takzir 
sepenuhnya.
Gagasan Malaysian Malaysia atau pun Malaysia Sederhana yang menyamaratakan 
hak semua kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali demi menjaga 
kesucian agama Islam dan hak-hak orang Melayu sebagai kaum pribumi. 
Saya sedar apabila saya bercakap mengenai perkara ini, penyokong-penyokong 
Pas dan pakatan pembangkang akan menuduh saya sebagai 'ejen UMNO'. Saya 
tidak kisah demi agama, bangsa dan negara. Mungkin saya akan menyertai 
UMNO dalam tempoh dua tiga tahun lagi tetapi buat masa sekarang saya masih 
ahli Pas yang mahukan perpaduan di antara umat Islam, UMNO dan Pas. 
Sekiranya UMNO meneruskan perjuangannya untuk umat Melayu dan Islam 
seperti mana yang kita nikmati selama ini dan bertambah baik pada setiap 
tahun, tidak mustahil untuk saya menyertai UMNO. 
Untuk pengetahuan umum, institusi pondok di Kelantan telah lama menentang 
ajaran-ajaran Nik Abdul Aziz tetapi tidak ada siapa yang berani bersuara 
dengan lantang seperti saya kerana telah termakan budi dan bimbang tidak 
akan menerima lagi bantuan seperti mana yang dinikmati hari ini. Selepas 
penentangan secara terbuka terhadap Nik Abdul Aziz, pelbagai sekatan saya 
terpaksa lalui. Sebagai contoh ada antara masjid di negeri tidak 
membenarkan lagi saya menyampaikan kuliah malah sesiapa yang menghadiri 
kuliah saya tidak akan menerima bantuan seperti biasa. 
Sekatan-sekatan itu tidak berkudis pun kepada saya. Pondok Geting semakin 
padat, menerima murid lebih ramai dari dahulu. Saya amat yakin dengan 
perjuangan ini kerana jelas pakatan pembangkang yang disertai Pas, Parti 
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan hanya menghancurkan umat Islam. Lihat 
saja apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak ketika di bawah kerajaan 
boneka DAP. 
Perkembangan pada masa sekarang menunjukkan DAP yang menjadi tuan kepada 
pakatan pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti mengikut telunjuk DAP 
semata-mata untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri manakala Pas 
mengikut membabi buta, sehingga Nik Abdul Aziz dan Lim Guan Eng tidak jauh 
bezanya. 
Perlu diingat golongan pondok bukannya jumud dan tertutup seperti mana 
yang digambarkan. Kami di sini mengikuti perkembangan politik negara 
secara dekat, cuma tidak bersuara. Saya sendiri membaca sekurang-kurangnya 
dua akhbar sehari malah kadang kala tujuh akhbar termasuk tabloid parti 
pembangkang. 
Saya merujuk semua perkembangan ini dengan kitab-kitab ulung Islam 
mengenai politik seperti tulisan Imam Nawawi, Sheikh Ibnu Hajar dan Imam 
Hambali yang jelas menunjukkan apa yang dilakukan oleh UMNO tidak 
bertentangan Islam. 
Ketika suara saya mula disiarkan di Utusan Malaysia akhir tahun lalu, 
Persatuan Pondok Berhad telah mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak 
mewakili mereka malah tidak mempunyai tauliah untuk berceramah agama. Itu 
semua sandiwara kerana persatuan itu ditekan oleh kerajaan Pas Kelantan. 
Saya mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan 
sehingga sekarang masih menjadi pengarah persatuan tersebut serta sentiasa 
dipanggil untuk menghadiri mesyuarat.
Berbalik kepada persoalan pokok, perpaduan sesama umat Islam amat penting. 
Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan 
lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT bahawa 
hendaklah kamu sentiasa memperbaiki saudara-saudara kamu. Maknanya, kalau 
ada perselisihan, hendaklah kamu mendamaikan antara kedua-duanya (surah 
Al-Hujurat ayat 10).
Sebagai umat Islam kita perlu mentaati pemerintah selagi ia tidak kufur 
kepada Allah. Tindakan menentang dan menyebakan keburukan kerajaan akan 
memberikan ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil peluang untuk 
mengganggu gugat urusan negara sehingga menimbulkan pelbagai ancaman.

Oleh : 

Al-Fadhil Ustaz Abdullah Sa'amah, 
Ulama' & Pengasas Madrasah Al-Najmiah,
Pondok Geting,
Tumpat, Kelantan.




Kirim email ke