SAYA mengenali seorang wanita berketurunan Syed/Syarifah. Saya berniat
mendirikan rumah tangga dengannya, tetapi mendapat tentangan keluarganya kerana
berpendapat keturunan mereka tidak boleh berkahwin dengan orang biasa. Mereka
mengatakan keturunan mereka mendapat keistimewaan di akhirat nanti dan akan
diasingkan daripada orang biasa.
Mereka tidak mahu memutuskan nama Syed itu kerana percaya anak cucu mereka
tidak akan dapat bersama mereka di akhirat nanti. Bagaimana mahu membetulkan
kembali kepercayaan mereka yang mengamalkan perkara ini?
JOE
Selangor
SUDAH menjadi lumrah, keluarga sangat memilih dalam soal jodoh. Ini bertepatan
dengan hadis Rasul s.a.w yang bermaksud, "Wanita dinikahi kerana empat perkara
iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan dan agamanya, maka pilihlah yang
beragama, mudah-mudahan kamu akan terpelihara (daripada kefakiran atau
kesusahan)" (Bukhari dan Muslim).
Anjuran Rasulullah s.a.w dalam memilih jodoh bagi wanita termasuk lelaki yang
beragama. Ini penting dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga di dunia dan
juga di akhirat, iaitu satu keluarga sakinah mawaddah warahmah (al-Quran,
al-Rum (30): 21). Mereka yang memilih bukan berasaskan agama tidak mendapat
restu daripada Rasulullah s.a.w. Ini kerana berdasarkan kata baginda, taribat
yadaa-ka yang secara literal bermaksud, terkena tanah kedua-dua tangan engkau.
Ia adalah suatu bentuk doa berbentuk celaan terhadap mereka yang memilih bukan
yang beragama mendapat kefakiran (Sabiq, 2000: II: 14, n. 30). Secara umumnya,
keturunan Syed atau Syarifah adalah keturunan mulia daripada keturunan
Rasulullah s.a.w dan mementingkan agama. Dengan itu tidak salah mereka
menetapkan pasangan bagi anak gadis mereka daripada keturunan Syed juga. Ini
termasuk dalam calon yang sekufu, iaitu setaraf daripada sudut keturunan.
Bagaimanapun, apabila keluarga perempuan bersetuju
dengan pilihan anak gadis mereka adalah tidak salah untuk menjodohkannya
dengan bukan keturunan Syed. Lebih-lebih apabila calonnya adalah orang yang
beragama.
Kepercayaan mereka berkenaan hendaklah berdasarkan ketentuan Allah. Allah
menetapkan bahawa orang bertaqwa mendapat tempat yang mulia di sisi Allah tanpa
melihat kepada jantina, keturunan dan bangsa. Ini jelas apabila Allah
berfirman, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya
kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah
orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. (al-Quran, al-Hujurat (49) : 13)
"_________________________________________________________________________
Try the new Yahoo! Messenger 10 Beta. Now with real-time updates, enhanced
video-calls and more! Check it out at http://malaysia.messenger.yahoo.com/"