Soalan
SAYA mempunyai seorang kawan yang bukan beragama Islam, tetapi dia mempunyai
keinginan untuk belajar membaca al-Quran. Apakah hukum orang yang bukan
beragama Islam memegang al-Quran?
AKMAL
Kelantan
Jawapan
KEINGINAN kawan bukan Islam untuk membaca dan mempelajari al-Quran sangat baik.
Al-Quran adalah kitab mukjizat yang banyak memberi hidayah kepada manusia.
Dengan itu hasrat beliau perlu disambut baik. Islam pula membenarkan bukan
Islam membaca dan mempelajari al-Quran supaya dapat membuka hati kepada ajaran
Islam yang sebenarnya.
Dalam pada itu anda boleh menerangkan kepada beliau kedudukan kitab suci
al-Quran yang perlu dihormati dan dijaga.
Ini jelas apabila Allah berfirman: “Bahawa sesungguhnya itulah Al-Quran yang
mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab
yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang
diakui bersih suci [al-mutahharun].” (al-Quran, al-Waqi‘ah (56): 77-79)
Berkenaan hukum bukan Islam memegang al-Quran terdapat perselisihan pendapat.
Ada pendapat yang tidak membenarkan bagi menjaga kesucian al-Quran.
Ini termasuk kepada wanita dalam haid, mereka yang berhadas besar, tidak
berwuduk dan juga bukan Islam. (al-Quran, al-Tawbah (9):28).
Ada pendapat yang membenarkannya. Ini termasuk kepada kanak-kanak yang belum
baligh kerana masih tidak mukallaf. (Ibn Rushd, 2000: I: 72-73; 83-84).
Sebab perselisihan adalah berpunca daripada kefahaman ayat surah al-Waqi‘ah di
atas. Antaranya berkenaan maksud istilah al-Mutahharun, ia sama ada bermaksud
umat manusia (Bani Adam) atau malaikat.
Seterusnya perselisihan timbul sama ada ia suatu bentuk khabar (pernyataan)
yang membawa kepada larangan atau semata-mata penyataan tanpa ada larangan.
Dengan itu memegang al-Quran (mushaf) dalam keadaan biasa adalah diharuskan
apabila dapat dijaga kesuciannya.
Fikrah Dr Salam
_______________________________________________________________________________
Yahoo! Toolbar is now powered with Search Assist.Download it now!
http://malaysia.toolbar.yahoo.com/