Oleh ABDUL RASHID AHMAD
Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya








FIRMAN Allah bermaksud: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus
(makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur.

Keupayaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi
syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa yang di
hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa pun
daripada ilmu Allah melainkan apa yang
dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak
merasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha
Besar" (al-Baqarah: 255).

Ayat ini dikenali sebagai ayat Kursi, ayat yang paling agung dalam
al-Quran, malah ia disebut sebagai penghulu bagi seluruh ayat al-Quran.
Dari segi sejarahnya, ia diturunkan pada waktu malam. Pada ketika itu
juga Nabi memanggil Zaid selaku penulis
wahyu untuk menulisnya.

Dalam ayat yang pendek ini sebenarnya terkumpul sifat utama bagi Allah
iaitu ketuhanan, keesaan, hidup, ilmu, memiliki kerajaan, kekuasaan dan
kehendak.

Sesudah menegaskan mengenai keesaan-Nya, disusuli pula dengan menyebut
dua sifat-Nya yang lain, iaitu hidup dan terus menerus mengurus
makhluk-Nya.

Dengan demikian, manusia akan merasa aman dalam hidup serta tenang
perasaannya kerana meyakini bahawa dia di dalam tangan Tuhan yang
hidup, yang terus menerus mengurus serta mengawal jaga keadaan
hamba-Nya.

Allah, Dia-lah Tuhan yang tunggal bagi segala makhluk. Oleh itu, tiada
yang berhak disembah dalam kehidupan ini melainkan Dia. Segala apa yang
ada di langit dan bumi adalah hamba dan milik-Nya. Semuanya tunduk di
bawah kehendak dan kuasa-Nya, seperti firman Allah bermaksud: "Tidak
seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang
Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah menentukan jumlah
mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap
mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan
sendiri-sendiri" (Maryam: 93-95).

Di antara tanda keagungan dan kebesaran Allah bahawa tiada seorang pun
yang berani memberi pertolongan kepada seorang lain di sisi-Nya tanpa
izin-Nya. Firman Allah bermaksud: "Ketika datang hari itu, tidak
seorang pun berbicara, melainkan dengan izin-Nya; maka di antara mereka
ada yang celaka dan ada yang berbahagia" (Hud: 105).

Ilmu Allah amat luas, meliputi segala makhluk ciptaan-Nya, baik yang
dahulu, sekarang dan akan datang, bahkan Allah mengetahui segala urusan
dunia dan akhirat. Allah juga amat luas kerajaan dan kekuasaan-Nya,
langit dan bumi seluruhnya di dalam genggaman-Nya.

Itulah ayat yang mengandungi kaedah pembentukan keimanan terhadap
Allah. Dari sinilah terbina hala tuju pengabdian seseorang hanya kepada
Allah.

Dengan demikian, tidaklah seorang manusia melainkan menjadi hamba,
hanya kepada Allah, tidaklah dia menjuruskan pengabdiannya melainkan
kepada Allah dan tidaklah dia menyerahkan ketaatannya melainkan kepada
Allah.

Selain itu, ayat ini mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada
ayat lain. Daripada kedudukannya dalam al-Quran, sabda nabi ketika
ditanya oleh Abu Zar: "Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang
paling agung?" Jawab baginda: "Ia adalah ayat Kursi" (riwayat Imam
Ahmad, al-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi).

Daripada sudut keberkatannya di dunia, sabda Rasulullah: "Bacalah ayat
Kursi kerana sesungguhnya ia mengawal jaga kamu, zuriat dan rumah
tangga kamu sehingga bilik kecil di sekeliling rumahmu."

Dari segi keberkatannya dalam menghalau syaitan, sabda Rasulullah: "Di
dalam surah al-Baqarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat
al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan
melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi" (riwayat al-Hakim).

Sabda Rasulullah: "Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat
fardu, Allah akan memberikannya hati orang yang bersyukur, amalan orang
yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan
tidak menghalangnya daripada masuk syurga melainkan kematian yang akan
memasukkannya" (riwayat al-Nasai).

*

--
Posted By Lenggang Kangkung to TAZKIRAH at 3/26/2010 10:23:00 AM

Kirim email ke