Pertama kali Itu
Oleh Fudzail

*Hari Keenam: (Dari Bab 25 Novel 'Wainuiomata' yang dalam proses pembikinan)
*

SUATU hari nanti, barangkali aku akan menoleh kembali pada satu hari musim
luruh bulan April tahun 1983 dengan perasaan bercampur baur. Memori haru
biru. Catatan pinggiran nostalgia yang tersimpan di sebuah cakera liut.
Terutama kalau aku belum nyanyuk untuk bercerita sebuah biografi kepada
anak-anak dan cucu-cucu. Kalau juga aku masih bernafas dan tidak dihantar ke
rumah kebajikan orang-orang tua.

Selagi serebrum, serebellum dan batang otak berfungsi untuk menyimpan jutaan
memori, tidak akan aku lupakan satu hari yang mengubah perspektif mengenai
apa yang dikatakan ‘fear’ atau ketakutan. Mengubah tanggapan mengenai
faktor-faktor luaran yang selama ini ditakuti kerana ia tidak diketahui.
Banyak perkara yang menakutkan. Bermula dari kegelapan. Hantu. Ular-ular.
Ketinggian. Kegagalan. Mati. Masa depan.

Ah! Juga cinta. Menakutkan kalau dalam prasangka dan pernah kegagalan. Aku
mahu berdepan dengan ketakutan yang selalu menyebabkan aku mengundur. Tidak
mengambil kesempatan dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaha. Melihat
hidup dari satu pandangan sehala. Jalan yang selamat, sudah terbiasa dan
diketahui tidak akan menggagalkan. Mahu membuat pelbagai advencer, tetapi
sekadar advencer biasa-biasa sahaja. Bukan sesuatu yang memberi kejutan,
yang membuatkan tunggang terbalik dan boleh menambahkan komplikasi.

Mesti berfikir secara lateral. Di luar lingkaran takutkan risiko. Takut
tanpa justifikasi dan analisis kualitatif.

Aku memerlukan advencer penuh adrenalin, sebuah advencer luar biasa dalam
advencer biasa-biasa. Menyemarak satu eksplorasi yang bermula dari satu
idea. Idea yang juga bermula dengan kelucuan. Sangkaan awal, tidak mungkin
sekali ianya menjadi realiti. Idea bodoh dan membodohkan.


*SINI*<http://1426.blogspot.com/2010/04/dari-berita-harian-april-3-2010-pertama.html>

Kirim email ke