Utusan Malaysia 2 April 2010 

Hukum mewarna rambut

SOALAN :
Apakah hukum mewarnakan rambut mengunakan pewarna yang dinyatakan halal, walau 
pun bermacam-macam warna?

JAWAPAN:

Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.

Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala 
(tamyish al-sha'r). 

Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut 
dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah 
warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya).

Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk 
suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita 
yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) 
mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat 
dalam Islam. 

Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana 
ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.

Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna 
itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam 
hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah. 

Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna 
rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya 
adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi 
tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.

Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye 
atau semi permanent dye. 

Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap 
air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.

Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan 
sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. 
Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang 
diproseskan di Malaysia sahaja.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
 



      

Kirim email ke