Posted by Ibnu Hasyim at 11:28 AM

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:
SEMPENA Ramadzan, bulan turunnya Al-Quran, saya paparkan kisah menarik seorang 
wanita Jepun, bagaimana beliau memanfaatkan Al-Quran sebagai perlembagaan dalam 
kehidupan beliau. Beliau adalah pensyarah bahasa Jepun, di MARA-OISCA Japanese 
Centre. Namanya, Fitrah Hirose Junko yang mengakui banyak perubahan dialami 
sejak memeluk Islam di Masjid Kobe, Jepun pada Februari 1998.
Fitrah, 41, juga merupakan peneraju Perhimpunan Muslimah KL-Jepun sejak 2003 
merasakan titik tolak kepada penubuhan persatuan untuk kaum Muslimat Jepun ini 
atas kesedaran beliau tentang kepentingan mempertajamkan ilmu agama dan 
Al-Quran apabila bergelar Muslim.
Alhamdulillah, dengan sokongan dari wakil Persatuan Muslim Jepun di Malaysia, 
Ustaz Abdul Wasei Haruka Kimura, kelas-kelas pengajian Islam berjaya 
dilaksanakan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli.
“Dahulu, pemahaman saya tentang agama itu kabur tetapi menerusi al-Quran, saya 
temui jawapan yang jelas. Alhamdulillah, Allah telah membuka pintu hati saya.” 
Akui Fitrah.

Wanita ini menjejak kaki di bumi Malaysia pada Februari 1999 kerana mengikuti 
program pengajian Al-Quran anjuran Majlis Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara 
dan Pasifik (RISEP) selama sebulan. Fitrah dan seorang teman senegaranya 
mengambil keputusan menyambung pengajian dengan biaya sendiri. Akhirnya 
mendapat peluang mengajar bahasa Jepun kepada pelajar-pelajar tajaan Majlis 
Amanah Rakyat (Mara) sehingga ke hari ini.

Di bumi Malaysia ini jugalah menyaksikan detik bersejarah buat anak kelahiran 
Pulau Shikoku, Jepun ini yang pernah bekerja sebagai jururawat di Osaka Jepun, 
mengakhiri zaman bujangnya dengan Ahmad Tajudin Abdul Zawawi, 48. Perkahwinan 
yang dibina atas rasa keikhlasan diceriakan dengan kehadiran anak-anak tiri 
yang masih kecil dan baru kehilangan ibu tersayang akibat kanser. Perkahwinan 
Ahmad Tajuddin sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Syazwan, 
20, Nor Syazwani, 19, Ahmad Syazwi, 17 dan Nor Syazwina, 12. Hasil perkahwinan 
dengan Fitrah mereka dikurnikan Nor Maryam, 5, dan Amir Syaaban, 2.
Menurut beliau, pemahaman dan pandangan beliau berkaitan agama semakin jelas 
selepas mengikuti rombongan sukarelawan perubatan Jepun ke Nepal pada 1997. 
Pada masa itu, usia Fitrah baru 27 tahun dan belum bergelar Muslim. Naluri suka 
membantu mereka yang di dalam kesusahan mendorongnya bergiat aktif dalam 
kerja-kerja sukarelawan terutamanya membantu penduduk dari negara-negara miskin.
“Sebelum ke Nepal, saya memang giat membantu menjual produk-produk kraf dari 
Nepal di Osaka. Hasil jualan disalurkan untuk membantu anak-anak yatim Nepal. 
Pada Mei 1997, di bawah Pertubuhan Bantuan Kanak-kanak Nepal, kami seramai 20 
sukarelawan menjejakkan kaki di Nepal… Kehidupan mereka yang daif, melarat, 
kotor dan serba kekurangan amat menyentuh hati saya. Apabila melihat mereka 
meminta-minta sesuatu untuk dimakan begitu, menyebabkan saya tidak menyangka 
ada yang lebih susah berbanding kami yang jauh merasai erti maju dan kekayaan,” 
katanya.

Rombongan itu meneruskan perjalanan ke sebuah perkampungan terpencil, Kampung 
Tharu di Chitawan yang terletak kira-kira sejam menaiki pesawat dari Kathmandu, 
Nepal. Sungguhpun, tidak lama di sana tetapi ia membawa kesan mendalam 
terutamanya dari segi gambaran kehidupan di dunia ini. Sejak itu, Fitrah mula 
memikirkan ketidakadilan terhadap mereka yang langsung tidak merasai kesenangan 
sehinggalah mereka mati. Persoalan seperti ada tidak kehidupan selepas kematian 
sentiasa berlegar-legar dalam fikirannya.

Sekembalinya ke Jepun, bagi Fitrah anak sulung dari 3 beradik ini dan ahli-ahli 
pertubuhannya sentiasa berbincang sesama ahli yang pelbagai bangsa dan negara 
tentang pengalaman mereka yang pernah ke Nepal.
“Mereka ada sebut tentang Islam. Saya ke perpustakaan dan baca tentang Islam. 
Keesokannya, saya bertemu dengan seorang Muslim dan diberitahu bahawa di Masjid 
Kobe ada seorang Jepun yang mengajarkan Islam bernama Salwa yang telah 
berkahwin dengan lelaki Mesir,” katanya.

Bermula di situlah pelbagai persoalan yang membebani fikirannya terjawab satu 
persatu. Sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Fitrah apabila timbul sahaja 
kemusykilan, beliau akan memperoleh jawapannya menerusi al-Quran.
“Ini menambah keyakinan dan kepercayaan saya kepada agama Islam. Dari situ 
jugalah saya menyedari agama Islam adalah satu-satunya agama yang menjelaskan 
tentang kehidupan selepas mati itu adalah kekal secara jelas…Kehidupan di dunia 
adalah sementara dan ia adalah ujian kepada manusia. Lantaran itu, mereka yang 
benar-benar beriman dengan Allah dan Rasul, akan kekal bahagia,” akui Fitrah 
yang mula berhadapan dengan pelbagai tekanan hebat selepas bergelar Muslim.
Menurutnya, selepas pulang bercuti dari Turki dan Syria, beliau mula selesa 
dengan pemakaian tudung sehingga tidak sanggup menanggalkannya apabila pulang 
ke Jepun dan meneruskan tugas kembali.
“Saya pergi kerja seperti biasa, cuma kali ini saya memakai tudung. Pada 
sebelah tengah hari, ketua memanggil saya dan mempersoalkan tindakan saya… Dia 
juga menyuruh saya membukanya tetapi saya enggan. Akibatnya, saya diberhentikan 
serta merta,” jelasnya.
Setelah tidak lagi mempunyai pekerjaan di Osaka, Fitrah kembali ke Kobe di mana 
beliau mendalami Islam. Salwa mengesyorkan beliau mengikuti program di bawah 
RISEP kerana menurutnya, masanya boleh terluang dengan perkara berfaedah. 
Inilah yang membawanya ke Malaysia.
“Alhamdulillah, saya berkenalan dengan beberapa Muslim Jepun yang sudah lama 
menetap di sini. Menerusi bantuan kawan, saya mendapat tawaran mengajar 
memandangkan guru yang sedia ada akan bersara… Saya pulang ke Jepun untuk 
mengikuti kursus mengajar bahasa Jepun selama 3 bulan sebelum boleh menjawat 
jawatan guru bahasa Jepun di MARA,” akur Fitrah mengimbas solat dan doa yang 
dipohon selepas kehilangan pekerjaan rupa-rupanya termakbul dan dirasai 
sekarang ini.
Ditanya apakah yang masih dicita-citakan, Fitrah berhasrat memperbaiki 
kelas-kelas pengajian agama anjuran Perhimpunan Muslimah KL-Jepun dari semasa 
ke semasa.
“Apa yang sedang saya usahakan sekarang ialah menunaikan haji kerana saya ingin 
benar menyaksikan kebenaran Islam di depan mata tidak sekadar dengan mengikuti 
sejarah keagungan Islam menerusi pembacaan. Alhamdulillah kursus haji telah 
saya ikuti pada tahun lepas… Di samping itu, kepada pelajar-pelajar saya yang 
akan bekerja di Jepun agar dapat menunjukkan Islam yang sebenar. Ini kerana 
masyarakat Jepun masih beranggapan, Islam adalah agama yang kasar dan ganas.
Untuk berdakwah cara tradisional bukanlah jawapannya kerana bagi saya walaupun 
orang Jepun tidak ada agama namun pandangan mereka tentang aspek kebersihan, 
penjagaan masa, hormat-menghormati dan banyak lagi adalah terbaik. Sebab itulah 
agak sukar untuk berdakwah, cuma yang saya harapkan ialah hidayah daripada 
Allah,” kata Fitrah yang merahsiakan pengIslamannya daripada pengetahuan 
keluarga selama setengah tahun.

“Kini, alhamdulillah keluarga semakin terbuka dan menerima saya dan anak-anak 
termasuk anak-anak tiri dan suami. Fitrah juga meluahkan rasa syukur dan 
berterima kasihnya kepada suami yang begitu memahami, bertolak ansur, sentiasa 
menyokong, baik hati dan sentiasa ringan tulang.”
 ()"" ' )
( ,'o' )") Al Nakhai’i
(,,)(")(") "
Mengenali seseorang itu kadangkala membuatkan kita ketawa. Mengenali seseorang 
itu juga kadangkala membuatkan kita mengalir airmata. Sesungguhnya, mengenali 
seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa... marah, sedih, gembira, sayang 
dan rindu. Tapi sedahkah kita? Mengenali seseorang itu sebenarnya adalah satu 
ANUGERAH... Biarpun hadirnya hanya seketika dan sekadar teman sementara... 
Bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali, melaluinya kita mengerti 
apa itu erti PERSAHABATAN...


      
_______________________________________________________________________________
Yahoo! Toolbar is now powered with Search Assist.Download it now!
http://malaysia.toolbar.yahoo.com/

Kirim email ke