Keadilan Mengatasi Segala-galanya
 
Suzalie Bin Mohamad - Fellow - IKIM

09/04/2010 | Utusan Malaysia
 
Kitab suci Al-Quran mengandungi panduan hidup tentang kesejahteraan hidup di 
dunia mahupun di hari Akhirat. Sabahagian daripada intipati ajaran Islam adalah 
tentang kesejahteraan, keamanan, ketenteraman dan keselamatan. Manusia hanya 
boleh selamat daripada belenggu kerisauan apabila wujudnya kesejahteraan dan 
keadilan. Syariat Islam yang diterjemahkan melalui sumber Al-Quran, Sunah dan 
‘Ijma ulama bertujuan untuk mewujudkan asas-asas keselamatan berlandaskan 
keadilan dan kesejahteraan. Oleh sebab itulah Syariah wajib dilaksanakan bagi 
memenuhi keperluan asas keselamatan manusia dengan menjaga lima perkara utama 
iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
 
Manusia tidak akan mampu menikmati keamanan dan keselamatan mutlak sekiranya 
tiada keadilan. Adil itu ringkasnya adalah meletakkan sesuatu perkara itu pada 
tempat yang sepatutnya.  Maka dengan itulah, Allah menurunkan panduan hidup 
kepada umat manusia melalui para Nabi dan Rasul supaya keadilan itu dapat 
dimanfaatkan. Ini bererti setiap kejadian berpunca daripada kuasa Allah SWT dan 
hanya padaNya sahaja tempat rujukan.   
 
Sesiapa sahaja yang meyakini bahawa Allah itu Tuhan yang satu dan wajib 
disembah adalah seorang Muslim. Sesiapa sahaja yang memiliki keyakinan ini 
membawa risalah Islam yang mempelopori nilai-nilai keamanan, kesejahteraan dan 
kedamaian. Apakah hubung kait Islam dan kesejahteraan?
 
Perkataan ‘Islam' berasal dari kata dasar Salama bererti kesejahteraan, juga 
boleh diertikan keamanan, kedamaian, dan keselamatan. Perkataan Salam bererti 
sejahtera. Maksud ‘salam' ini terkandung dalam ucapan salam sejahtera ke atas 
rakan taulan yang ucapkan sebagai tanda mendoakan kesejahteraan kepada mereka.
 
Perkataan aslama pula kata kerja bererti "menghambakan dan menyerah diri". 
Dalam konteks hubungan kita dengan Allah, ia bermaksud "saya menyerahkan diri 
dan menyembah Allah". Maka dengan itu, adalah jelas bahawa sahnya Islam itu 
adalah pengiktirafan mutlak manusia kepada Penciptanya, Allah yang Maha Esa, 
yang sewajarnya disembah dan diserahkan segala-galanya.
 
Faham Islam yang betul akan mencorakkan nilai kefahaman tentang keamanan, 
kesejahteraan dan  kedamaian dalam diri seseorang itu. Inilah yang dikatakan 
kesejahteraan mutlak. Kesejahteraan dalaman dan luaran yang dimaksudkan ini 
hanya diperoleh apabila Islam diamalkan atau dilaksanakan secara tepat. Islam 
membawa bersama keadilan, sekali gus memancarkan kesejahteraan yang mencetuskan 
keselamatan dan kedamaian. Hakikat ini dapat kita rasai apabila hati nurani 
dapat merasai kehadirannya.
 
Dalam konteks urusan kenegaraan, keselamatan yang dimaksudkan tidak semata-mata 
wujud apabila keadaan sesebuah negara itu tidak berperang, kerana ada juga 
negara-negara yang tidak berada dalam kancah peperangan berada dalam keadaan 
takut, tidak selamat, was-was, tidak ada kesejahteraan, kedamaian dan keamanan.
 
Keselamatan dalam Islam merujuk kepada perasaan selamat yang mutlak dan 
perasaan ini memberi ketenangan di dalam jiwa yang terhasil kerana keyakinan 
mutlak kepada Maha Pencipta, Allah S.W.T. Inilah yang dikatakan keselamatan 
mutlak yang akan mewarnai nilai diri dan sikap seseorang itu yang akan menular 
ke dalam keluarganya, masyarakat dan juga dunia secara amnya. Seperti mana yang 
telah dijelaskan tadi, titik keselamatan bermula daripada adanya kesejahteraan 
yang bersumberkan keadilan. Tidak akan wujud keselamatan sekiranya tiada 
keadilan.
 
Keadilan (‘adl) secara umum bermaksud "meletakkan sesuatu itu sesuai pada 
tempat dan keadaannya". Allah S.W.T telah berfirman bahawa wahyu-wahyu yang 
diturunkan itu bertujuan untuk memberi panduan kepada manusia untuk menegakkan 
keadilan.
 
Ibn Qayyim bila mentafsirkan Surah al-Hadid ayat ke-25 berkaitan keadilan 
menegaskan bahawa ‘keadilan adalah matlamat utama Islam". Allah mengutuskan 
para Nabi dan Rasul untuk menegakkan keadilan. Sebarang langkah ke arah 
menegakkan keadilan merupakan sebahagian tuntutan agama. Dengan merujuk kepada 
panduan-panduan yang terdapat dalam Al-Quran, Hadis, serta ‘Ijma Ulama, boleh 
diperolehi banyak pengajaran tentang hal-hal yang membawa ketidakselamatan. 
Contohnya, faktor-faktor yang menggalakkan perpecahan dan perbalahan umat 
seperti fitnah dan hasad. Oleh sebab itu, disyariatkan menghukum orang-orang 
yang melakukan kesalahan seperti ini sehinggalah undang-undang digubal untuk 
membendung jenayah.
 
Sering kali terlintas di fikiran kita bahawa, bila sahaja kita memikirkan soal 
keselamatan, kita akan menggambarkan perlunya undang-undang untuk menjamin 
keselamatan. Tidak dinafikan bahawa undang-undang memainkan peranan yang amat 
penting untuk menjaga keselamatan, namun keselamatan masih terancam walaupun 
adanya undang-undang.
 
Umat manusia memerlukan undang-undang sebagai kawalan luaran tetapi memerlukan 
adab dan etika untuk mengawalnya dari sudut dalaman. Kawalan dalaman inilah 
yang mencerminkan ketakwaan kepada Allah. Hakikatnya, Islam tidak sahaja 
menggariskan prinsip-prinsip umum tentang urusan kehidupan seharian malah 
menggariskan secara terperinci undang-undang yang menjaga keselamatan diri dan 
hubungannya dengan orang lain serta makhluk lain. Maka dari punca inilah maka 
berkembangnya undang-undang yang ada di hadapan kita pada hari ini.
 
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap tamadun, negara dan masyarakat tanpa 
mengira agama, keturunan dan ideologi mendambakan keamanan dan keselamatan. 
Namun, manusia berhadapan dengan keterbatasan ilmu dan hanya Allah sahaja yang 
Maha mengetahui keperluan undang-undang yang bagaimana menjamin keselamatan dan 
kesejahteraan manusia di muka bumi dan juga di Akhirat. Islam sebagai agama 
kesejahteraan mengutamakan penjagaan asas keadilan yang dikenali Maqasid 
Syar'iyyah. Maqasid atau matlamat Syariah adalah untuk menjamin kesejahteraan 
dan keselamatan manusia melalui penjagaan terhadapa agama, nyawa, akal, 
keturunan dan harta benda.
 
Kelima-lima aspek penjagaan yang dititik-berakan dalam agama Islam ini adalah 
amat penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan seseorang itu 
terjamin. Sekiranya salah satu aspek penjagaan ini diabaikan, maka akan 
musnahlah keseimbangan dan asas keadilan yang akan mengugat kesejahteraan 
hidup. Jelaslah bahawa di antara tujuan utama agama Islam itu diturunkan adalah 
untuk menjamin kesejahteraan hidup dan keselamatan manusia. Agama Islam memberi 
perlindungan yang menyeluruh ke atas kesejahteraan dan keselamatan manusia.  
 
Kita berhadapan dengan peredaran masa dan kemajuan yang pesat, begitu juga 
perubahan pada pemikiran dan tindakan yang amat ketara dewasa ini. Namun agama 
Islam boleh disesuaikan dengan keperluan semasa. Berasaskan panduan-panduan 
yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah serta ‘Ijma ulama, undang-undang 
dikodifikasikan untuk menjaga keselamatan dan kepentingan umum.
 
Wassalam.
 
AFFINBANK  -  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
 
Tel:  03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-60214010 (Home)


      

Kirim email ke