Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian
Berita Harian Online - Agama - 2010/04/15
 - Oleh Nik Suhaila Nik SalehALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan 
berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan 
bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada 
binatang dan alam.
 
Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia 
berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita 
dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah 
apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak 
menyakitkan hati sesiapa.
 
Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang 
manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT 
dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud:
 
"Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang 
mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan 
manusia memberi dan menerima pernyataan."
 
Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan 
dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara 
terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap 
bicara mendapat keredaan Allah.
 
Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun 
elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar 
daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
 
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah 
adalah ibadah yang besar pahalanya.
 
Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: "Daripada kebaikan iman seseorang ialah 
meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya." (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)
 
Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita 
berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara 
yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.
 
Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang 
dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang 
menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW 
bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi 
dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat." (Riwayat 
Muslim)
 
Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu 
sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan 
kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan 
sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.
 
Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan 
pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang 
sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan 
mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang 
yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.
 
Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala 
kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata 
seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, 
sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.
 
Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai 
manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama 
ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.
 
Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan 
hubungan silaturahim, menimbulkanrasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika 
keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.
 
Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak 
menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak 
ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai 
adab dalam percakapan.
 
Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab 
untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni 
syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji 
dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah 
diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.
 
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti 
Sains Islam Malaysia, kini
melanjutkan pengajian di United Kingdom.
 
Wassalam.
 
Wassalam.
 
AFFINBANK  -  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 
Noorshamsudin Hj. Mohd Darus
IS Audit, Group Internal Audit
1st Floor Menara AFFINBANK
80 Jalan Raja Chulan, KL
 
Tel:  03-27315246 (Ofis) / 012-2923403 (H/P) / 03-60214010 (Home)


      

Kirim email ke