Malaysia terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian
paling selatan benua Asia, dan negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau
Borneo, yang terletak ke arah timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China
Selatan.
Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal
penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan
berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang
merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah
negara. Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian
kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka.
Kerja-kerja penyelidikan berkenaan sejarah awal di Malaysia juga banyak
dipengaruhi oleh dua faktor yang utama, iaitu keadaan fizikal geografinya dan
keadaan cuaca. Para penyelidik lebih cenderung menumpukan kajian mereka samada
di Semenanjung atau pun di sekitar Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini
mengakibatkan hasil kajian yang tidak menyeluruh tentang tempoh prasejarah
negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu panas terik dan hutan hujan yang
tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak dari tempoh awal ini, selain
daripada barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada
batu dan besi. Kebanyakan artifak tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah
ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan
binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina
semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad
ke-5 sehingga abad ke-13.
Bukti terawal penempatan manusia di Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak
yang berusia 38,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, manakala bagi kawasan
Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang berusia 11,000 tahun yang ditemui
di Gua Gunung Runtuh di Perak. Artifak yang tertua adalah merupakan sebuah
bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan, Perak yang berusia 34,000 tahun,
manakala artifak tertua dari kawasan Borneo pula adalah alatan batu di
Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000 hingga 28,000 tahun dahulu.
Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik
sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi
menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah.
Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya
sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak,
Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.
Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian
utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar,
Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di
kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula
adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga
dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti
sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang
Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Penemuan
barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya pelayaran jarak jauh
dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut dengan penempatan lain di
Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui di kawasan-kawasan Zaman
Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan Changkat Menteri (1 – 800
M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga
hubungan dagangan dengan Asia Selatan.
Kerajaan terawal yang telah dikenal pasti, wujud di Lembah Bujang, Kedah sejak
kurun ke-5, manakala sebuah sistem pemerintahan kecil telah diwujudkan di
Santubong, Sarawak dan sebuah lagi di Chi tu di Kelantan pada kurun ke-7. Di
antara kurun ke-8 hingga ke-14, beberapa penempatan telah terbentuk di Johor,
Perak, Pahang dan Terengganu. Hubungan diplomatik dengan kerajaan China dan
perdagangan dengan China, India dan lain-lain kerajaan di Asia Tenggara telah
dibina semasa zaman kerajaan awal ini. Peninggalan yang ditemui di Lembah
Bujang, Lembah Kinta di Perak, dan di Santubong menunjukkan bahawa pengaruh
Hindu dan Buddha banyak mempengaruhi kehidupan penduduk di Malaysia sehingga
abad ke-14. Dalam tempoh yang sama, cara kehidupan megalitik dapat dilihat di
Lembah Bernam, Perak dan juga di Sabah dan Sarawak. Walaupun cara hidup Dongson
didapati telah wujud dengan penemuan gendang tembaga di kawasan-kawasan yang
terpencil, kebanyakan komuniti masih
mengamalkan cara hidup Zaman Batu. Bukti pertama sebuah sistem pemerintahan
kecil yang dikenal pasti memeluk dan mengamalkan agama Islam datang daripada
sebuah batu bersurat bertarikh tahun 1301, yang ditemui di Terengganu.
()"" ' )
( ,'o' )") Al Nakhai’i
(,,)(")(") "
Mengenali seseorang itu kadangkala membuatkan kita ketawa. Mengenali seseorang
itu juga kadangkala membuatkan kita mengalir airmata. Sesungguhnya, mengenali
seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa... marah, sedih, gembira, sayang
dan rindu. Tapi sedahkah kita? Mengenali seseorang itu sebenarnya adalah satu
ANUGERAH... Biarpun hadirnya hanya seketika dan sekadar teman sementara...
Bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali, melaluinya kita mengerti
apa itu erti PERSAHABATAN...