Judi tetap haram walaupun berlesen
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar , Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia 
E-mel [email protected]
Laman web http://zainulrijal.abubakar.my

Born on 31st January 1969. Received elementary education at SRJK Horley 
Methodist Teluk Intan, Sek. Â Izzuddin Shah Ipoh & Kolej Islam Klang. Obtained 
LL.B(Hons) from IIUM, LL.M(UKM), DLSA (UiTM) and Certificate of Mediation 
(Australia). An Advocate & Solicitor (Malaya), Syarie Cousel (Selangor, Perak, 
Federal Territories, Negri Sembilan & Penang), Mediator and Member Malaysian 
Institute of Arbitrator.

Berita Harian 10 Mei 2010
Cadangan Timbalan Menteri benar pertaruhan Piala Dunia cemari imej negara Islam

JIKA minggu lalu saya mengupas cadangan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara 
supaya bapa kepada bayi yang dibuang dikenakan hukuman 'kasi' bagi mengajar 
lelaki terbabit supaya bertanggungjawab, minggu ini saya mengupas mengenai 
pertaruhan haram. Dilaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk 
mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala 
Dunia, awal Jun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata keputusan 
mengenainya akan diumumkan sebelum kejohanan Piala Dunia bermula. Beliau 
mengakui sudah ada pihak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen 
pertaruhan.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, pertaruhan haram tetap 
dijalankan tanpa pemantauan pihak berkuasa. Awang Adek juga dilaporkan berkata, 
dengan pengawalan kerajaan aktiviti pertaruhan dapat dilakukan lebih teratur 
dan pada masa sama kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk 
untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini.

Saya bimbang dengan cadangan sebegini apatah lagi ia datang daripada seorang 
Timbalan Menteri beragama Islam. Jelaslah cadangan ini langsung tidak mengambil 
kira kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan malah meminggirkan jati 
diri kebangsaan bagi rakyat Malaysia yang berteraskan kepada Agama Persekutuan 
itu.

Rasional pertimbangan kerajaan dalam meluluskan lesen pertaruhan sebegini amat 
dibimbangi dan tidak bersandarkan kepada kehendak masyarakat Islam arus 
perdana. Akan muncul suatu ketika nanti sebahagian masyarakat ketagih berjudi 
sehingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tabiat buruk mereka itu. 
Tidak kurang juga nanti sesetengah golongan menjadi muflis kerana kalah judi.

Menghalalkan perkara yang jelas haram termasuk dalam kategori mengubah hukum 
Allah walaupun dengan pengeluaran lesen. Walaupun ada kemungkinan lesen yang 
akan dikeluarkan itu dikenakan syarat bahawa orang Islam tidak dibenarkan 
berjudi tetapi dasar negara hendaklah digarap dengan mengambil kira kedudukan 
agama Islam dan sumpah Yang Di-Pertuan Agong mempertahankan Islam pada setiap 
masa.

Cukuplah dengan pusat perjudian yang wujud di negara ini dan dua pusat 
perjudian di negara jiran yang baru dibuka. Jangan ditambah lagi dengan lesen 
perjudian lain. Sedangkan perjudian yang dilesenkan sekarang pun tidak dapat 
dipastikan sama ada berjaya dijauhi umat Islam, apatah lagi pertaruhan yang 
berselindung di bawah nama sukan seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia ini.

Seharusnya, jika Timbalan Menteri itu sudah mengakui kegagalan kementerian 
membanteras perjudian haram, segala usaha patut ditumpukan ke arah 
melipatgandakan program membanteras pertaruhan dan perjudian haram.

Bukan dengan memberi lebih banyak lesen perjudian yang akhirnya akan 
menambahkan lagi implikasi negatif kepada negara. Saya merasa pelik dengan 
pendekatan diambil Timbalan Menteri itu berkaitan isu ini. Apakah semata-mata 
ingin mengaut cukai dan pendapatan yang lebih, pihak kerajaan rela wang haram 
digunakan bagi pembangunan masyarakat dan negara?

Berjudi bukan amalan yang sihat. Ia menjadikan seseorang ketagih judi, membuang 
masa, mengabaikan keluarga serta punca kepada gejala sosial dan jenayah 
setempat. Masyarakat akan menjadi terumbang-ambing jika lesen perjudian 
diberikan secara berleluasa.

Oleh itu, cadangan sebegini sudah tentunya tidak dialu-alukan masyarakat Islam. 
Bukan itu saja, ia pasti mencemarkan imej negara yang terkenal sebagai model 
Negara Islam kepada dunia.

Perjudian yang diberi lesen dan perjudian tidak mendapat lesen - kedua-duanya 
haram di sisi Islam. Umat Islam tidak harus terpedaya dengan pengeluaran lesen 
ini. Jika dikatakan lesen diberikan kepada orang bukan Islam saja, namun 
kesannya tetap akan dirasai oleh orang Islam.

Apabila ia menjadi budaya, orang ramai akan gagal melihat betapa hina dan jelek 
perjudian itu. Mungkin sesetengah pihak akan melihat perjudian sebagai norma 
masyarakat. Apabila perkara sedemikian berlaku, maka orang ramai tidak lagi 
berasa segan silu untuk berjudi atau bertaruh.

Cukuplah dengan ketidakseimbangan sosiobudaya dan masyarakat sekarang. Ia akan 
menjadi lebih punah jika institusi keluarga dan masyarakat pula dirobek dengan 
kesan perjudian. Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula pertimbangan 
mengeluarkan lesen pertaruhan baru ini. Walaupun mungkin kerajaan memperoleh 
pendapatan yang lebih, ia hanya akan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia 
tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi saya, perjudian harus dibanteras hingga ke akar umbi bukan diberikan lesen 
bagi menghalalkan operasinya. Sekali lagi saya merayu kerajaan mengkaji semula 
pertimbangan memberikan lesen bagi pertaruhan atau perjudian ini. Tidak ada 
faedah seseorang itu berjudi. Adalah lebih baik baginya membuat kerja halal dan 
mendapat manfaat daripada usaha dan titik peluh sendiri. Tiada jalan pintas 
untuk kaya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Juditetapharamwalaupunberlesen/Article




Kirim email ke