Zaman cinta Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara berpantun seloka sudah lama 
tamat. Zaman Facebook, SMS dan MMS ini kenal-mengenal dengan pantas, bercinta 
dengan pantas, berkahwin pun serba pantas, tetapi hutang kahwin keliling 
pinggang, akibatnya pergaduhan sering berlaku antara pasangan kerana masalah 
kewangan. 

Formula mudah menangani gejala buang bayi pada pautan berikut 
http://waghih.blogspot.com/2010/03/krisis-buang-bayi-adat-kahwin-dan-zina.html 

*********************** 
KAHWIN PUN SUSAH
Berita Harian 24 Mei 2010 

HARI ini jika sesiapa hendak berkahwin akan berfikir semasak-masaknya daripada 
soal jodoh, modal dan masa depan. Agak keterlaluan jika kita katakan apa guna 
berkahwin dan hidup bersama isteri yang dikahwini dengan kos ribuan ringgit 
tapi tidak dapat menyesuaikan diri dengan kemampuan kewangan untuk hidup 
berkeluarga. 

Zaman cinta Romeo dan Juliet atau Uda dan Dara berpantun seloka sudah lama 
tamat. Zaman Facebook, SMS dan MMS ini kenal-mengenal dengan pantas, bercinta 
dengan pantas, berkahwin pun serba pantas, tetapi hutang kahwin keliling 
pinggang, akibatnya pergaduhan sering berlaku antara pasangan kerana masalah 
kewangan. 

Maka bercerai pun pantas, lalu ramai yang menuding jari kepada segala faktor 
menjadi punca dan akhirnya institusi perkahwinan menjadi sesuatu yang terlalu 
formal dan sebagai satu projek dan bukan perkara yang disunatkan dalam Islam 
dan digalakkan dalam masyarakat timur. 

Perkahwinan adalah mulia dan perceraian akibat masalah kewangan bukan perkara 
yang ganjil, malah itulah faktor utama. Remaja zaman ini yang bercinta seawal 
usia belasan tahun akan menganggap perkahwinan sebagai destinasi terlalu 
sempurna dan ingin dizahirkan serba mewah. 

Akibatnya perkahwinan yang dibuat tanpa sokongan ibu bapa akan berakhir dengan 
pasangan pengantin berhutang dulu bersakit membayar kemudian. Hutang kad 
kredit, hutang kawan, pak cik dan mak cik dan hutang along yang dibuat untuk 
berkahwin bukan boleh dilangsaikan setahun dua. 

Ada yang berhutang sampai bermasam muka dan bermusuh dengan pemberi pinjam. 
Putus saudara dan sahabat malah putus nyawa akibat berhutang along. 

Bila hati ingin kahwin kosnya pula tinggi. Hantaran paling kecil RM6,000, 
cincin seribu lebih, mas kahwin RM300 di Selangor, belum masuk kenduri 
menyambut menantu perempuan RM6,000, bunga telur, beg cenderahati, kugiran atau 
karaoke memeriahkan suasana dan menggugat poket harus difikirkan. 

Kos RM20,000 dalam tangan di bandar Kuala Lumpur untuk golongan pertengahan, 
baru layak bercakap soal kahwin kalau duit tidak cukup jangan mimpi hendak 
bersalam dengan tok kadi. 

Nafsu pula gagal ditenangkan akhirnya perkahwinan jadi angan-angan dan bukan 
cita-cita. Maka berlakulah maksiat dan asmara yang gagal dibendung. Bagi yang 
pandai mencegah hamil, maka selamatlah dirinya daripada mengandung. 

Sebaiknya masyarakat negara ini tidak kira Melayu, Cina dan India melakukan 
upacara perkahwinan secara sederhana tanpa kos beribu-ribu ringgit kerana 
perkahwinan bukan sehari dua tetapi selamanya jika diizinkan Tuhan. Seks bebas 
menjadi-jadi kerana institusi perkahwinan dijadikan visi yang terlalu jauh 
hendak dicapai kerana memerlukan kos tinggi. 

Sedangkan hubungan luar nikah haram di sisi Islam dan lain agama. Kita perlu 
menjadikan perkahwinan satu proses kehidupan mudah dan murah, tetapi tinggi 
nilai agama dan moral. Mungkin ia mampu menjadikan pembuangan bayi lebih 
minimum dan terus jadi sifar. 

ABDUL RAZAK IDRIS, 
Kuala Kangsar, Perak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Kahwinpunsusah/Article 



      

Kirim email ke