| Di hari kami terkena gas pemedih mata |
SUARA MAHASISWA
Oleh: furdah_nur
Salam perjuangan buat semua mahasiswa. Kali ini furdah hendak menceritakan pengalaman berharga furdah bersama mahasiswa yang lain ketika menghadiri demonstrasi menentang serangan Amerika ke atas Iraq pada 29 Mac 2003 di KLCC.
Tepat jam 1 tengahari, furdah dan beberapa orang sahabat sudah berada di masjid al-Syakirin KLCC. Dari jauh lagi furdah sudah terlihat beberapa orang polis biasa mula berkawal di sekitar masjid dan KLCC. Agak menghairankan juga kerana tiada FRU.
Selepas menunaikan solat zohor, kami mula bergerak dan menunggu arahan seterusnya di hadapan pintu utama KLCC. Agak lama juga furdah menunggu. Sementara itu, furdah perhatikan gelagat pengunjung KLCC yang pelbagai ragam. Tidak tenang rasanya hati furdah berada di KLCC. Ada yang berpakaian terlalu seksi dan ada juga yang bercumbuan di hadapan orang ramai. Astaghfirullah�.
Setelah hampir 20 minit menunggu, kami diarahkan ke tempat yang diberitahu. Furdah lihat sudah ramai orang yang berada di situ. Laungan takbir sudah mula kedengaran. Furdah merasa sungguh terharu. Begitu ramai orang yang bersama-sama dalam demonstrasi tersebut termasuk kanak-kanak. Sambil melaungkan takbir, furdah mengalirkan airmata, menangisi penderitaan nasib kanak-kanak dan wanita di Iraq.
FRU mula kelihatan apabila keadaan semakin tidak dapat dikawal kerana terlalu ramai orang yang bersama-sama dalam demonstrasi itu. FRU masuk campur dan meminta kami untuk meninggalkan KLCC. Kami tidak berganjak walaupun hujan lebat mula turun membasahi perjuangan kami di sini. Semakin hebat FRU memaksa kami berhenti, semakin hebat juga laungan takbir kami, menyebabkan FRU tenggelam dalam lautan ribuan penyokong Barisan Alternatif.
Sebenarnya dalam masa yang sama juga berlangsung perhimpunan Aman Malaysia di Jalan Merbok ke Dataran Merdeka. Lihatlah telatah kerajaan Barisan Nasional rasa tercabar apabila mengetahui Barisan Alternatif hendak menganjurkan demonstrasi buat kali yang kedua. Maka mereka pula sibuk untuk menganjurkan Aman Malaysia buat kali yang kedua juga.
Furdah teramat yakin Aman Malaysia tidak akan diganggu oleh FRU. Berlainan pula dengan kami yang ditentang habis-habisan, pertamanya kerana ia anjuran PAS dan sahabat parti yang lain dan yang keduanya, kami bukan setakat berdemonstrasi di hadapan KLCC malah kami akan menuju ke kedutaan Amerika. Inilah yang membuatkan Dr Mahathir tidak tenang.
Furdah diberitakan demonstrasi kami akan diisi dengan persembahan pentomin dan melepaskan burung merpati. Namun disebabkan hujan lebat, hanya slot pembebasan burung merpati yang dapat dibuat. Selepas itu kami mula bergerak untuk menuju ke kedutaan Amerika.
Amatlah mendukacitakan, setiap laluan ke kedutaan Amerika telah ditutup dan dihalang oleh FRU. Kami terpaksa berpatah balik untuk mencari jalan keluar namun FRU telah menghalang jalan di semua laluan.
Jalan pada waktu itu teramat sibuk dan sesekali terdengar bunyi hon dan lambaian daripada orang ramai yang melalui jalan di situ. Kami tetap meneruskan perarakan kami untuk mencari laluan menuju ke kedutaan Amerika. Akhirnya kami sampai di hadapan kedutaan Australia. Ini menambahkan kemarahan FRU yang gagal menghalang kami.
Furdah terlihat Dr Hatta mengarahkan kami agar bersurai kerana pihak PAS sendiri merasakan misi kami pada hari ini telah berjaya. Sekurang-kurangnya berjaya mengelirukan FRU dan sampai ke Kedutaan Australia. Kami pun mula bersurai dan menuju ke KLCC.
Namun apabila kami mula bersurai, pasukan sembur FRU mula memasuki laluan ke kedutaan Australia tetapi tersekat di tengah-tengah kesesakan lalulintas. Ramai penyokong yang tertawa melihat pasukan FRU yang tersekat dan tidak dapat berpatah balik mengejar kami.
Rupanya ini telah menyebabkan FRU rasa tercabar dan marah dengan tindakan kami. Walaupun kami sudah mula bersurai, namun FRU mula menyerang kami. Furdah terdengar bunyi loceng yang menandakan FRU akan melancarkan serangan kepada kami.
Kami bertempiaran lari apabila terdengar bunyi gas pemedih mata dilepaskan. Furdah hampir-hampir terjatuh di dalam kesesakan lalulintas. Furdah melihat keadaan menjadi begitu kelam-kabut. Suara tangisan kanak-kanak kedengaran tetapi furdah tidak nampak kerana dikaburi dengan asap tebal gas pemedih mata.
Gas pemedih mata tersebut dilepaskan betul-betul di dalam kesesakan lalulintas dan furdah sendiri terkena gas tersebut menyebabkan furdah tidak nampak jalan dan tekak menjadi pahit dan perit.
Akhirnya furdah dan sahabat lain sampai di hadapan KLCC dan mendapati ramai wanita dan kanak-kanak yang terkena gas tersebut. Orang ramai yang berada di tempat kejadian telah membantu kami menghulurkan air mineral dan mencurah air ke muka dan mata.
Tahniah kepada pasukan FRU kerana telah melepaskan gas pemedih mata di tempat awam di dalam kesesakan lalu lintas dan mangsanya adalah wanita dan kanak-kanak. Furdah tidak tahu bagaimana keadaan orang awam yang lain yang berada di dalam kereta, motosikal dan bas awam. FRU memang tidak berperikemanusiaan.
Setelah melalui pengalaman berharga tersebut semakin bencilah furdah kepada Amerika dan sekutunya yang kononnya membantah serangan ke atas Iraq iaitu kerajaan Malaysia. Secara peribadi furdah teramat yakin bahawa Barisan Nasional bersekongkol dengan Amerika dan bersetuju untuk menyerang Iraq.
Kerajaan Barisan Nasional masih lagi menjaga kepentingan peribadinya terhadap Amerika dan takut untuk menentang secara terang-terangan. Kalau ditentang sekalipun hanya melalui Aman Malaysia yang hanya berani berhimpun di Bukit Jalil dan berarak di Jalan Merbok ke Dataran Merdeka.
Furdah ingin membuka mata rakyat Malaysia bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak ikhlas menentang Amerika dan hanya bertopengkan kepura-puraan. Usahlah terpedaya dengan mainan kata kerajaan lebih-lebih lagi Dr Mahathir yang hanya ingin menagih sokongan rakyat terhadapnya dan ingin menyatakan kepada Malaysia bahawa beliaulah hero di dalam OIC mahupun NAM.
Furdah juga ingin mengambil kesempatan ini agar kita sama-sama memboikot produk Amerika. Ini sahajalah yang mampu kita lakukan. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saudara kita di Iraq. Furdah teringat akan kata-kata Al-Syahid Syed Qutb, � Jika aku ditangkap, aku akan diberikan makan percuma, jika aku dibuang negeri, aku dapat melancong secara percuma dan jika aku dibunuh, maka aku akan mati syahid. � Salam jihad buat semua Mahasiswa. Ilalliqa��
Ruangan ini dikhaskan untuk mahasiswa/pelajar menulis. Mana-mana mahasiswa/pelajar yang berminat, sila hantar tulisan anda kepada [EMAIL PROTECTED]
Do you Yahoo!?
Yahoo! Tax Center - File online, calculators, forms, and more
