BERITA MALAYSIA


September 23 , 1999 22:20PM

 

KIT SIANG MAHU POLIS BAYAR RM500,000 KEPADA KELUARGA DOKTOR

 



KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mahu polis membayar pampasan sagu hati sebanyak RM500,000 kepada keluarga doktor yang ditembak mati oleh seorang anggota polis di sini pada Isnin.

Lim berkata walaupun tiada jumlah wang yang dapat menghidupkan semula Dr Tai Eng Teck atau menghapuskan kesedihan dan kehilangan yang dirasai keluarga dan rakan-rakannya, bayaran sagu hati itu sebagai melahirkan rasa sedih dan kesal pasukan polis terhadap pembunuhan tidak wajar itu.

Dalam satu kenyataan, Lim juga menuduh polis sebagai "gila menembak" dengan memberikan contoh tiga kes tembakan lain setahun yang lepas melibatkan pembunuhan mereka yang tidak bersalah yang bukan merupakan penjenayah besar yang kesnya masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Beliau merujuk kepada kejadian pada 2 Okt tahun lepas apabila polis menembak mati lima orang yang disyaki penculik, termasuk seorang wanita yang mengandung lapan bulan N.Selvamalar,31, di Taman Sungai Besi di sini selepas wang tebusan RM3 juta dibayar bagi pembebasan anak lelaki bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Haji Muhamad Taib, yang berumur 11 tahun.

Dua lagi kejadian ialah kejadian tembak pada 3 Okt tahun lepas apabila enam lelaki, termasuk ketua pemuda bahagian MIC, ditembak mati, dan kejadian seorang juruwang Bank Simpanan Nasional, Mohamed Zailani Mohamed Salleh, 33, yang juga mati di tembak pada 3 Jan tahun ini, apabila polis tersalah anggap bahawa beliau merupakan seorang daripada empat lelaki yang merompak bank itu.

Dr Tai, 29, ketika itu bersama seorang jururawat di dalam keretanya, mati ditembak oleh seorang daripada dua anggota polis yang membuat rondaan dekat stesen LRT Bandar Tasik Selatan di sini.

Menurut polis doktor itu telah cuba merempuh kedua-dua anggota polis berkenaan.

Konstabel polis Tony anak Beliang, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen di dini hari ini kerana menyebabkan kematia Dr Tai.

Lim mencadangkan supaya pemimpin parti-parti pembangkang mengadakan pertemuan sekali lagi dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mengenai sikap polis yang didakwa "gila menembak"

Norian pada persidangan berita semalam menyatakan kesal dan sedih dengan kejadian tembak itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Tai.

Beliau menyifatkan kejadian itu satu kemalangan dan berkata polis bukanlah bersikap gila menembak.

Lim berkata pemimpin empat anggota parti pembangkang bertemu Norian pada 19 Jun tahun ini dan satu daripada isu yang dibincangkan ialah tanggungjawab polis dalam menggalakkan cara kehidupan demokratik di Malaysia.

Majlis Peguam sementara itu menyatakan kecewa dengan apa yang dianggapnya kejadian berpunca daripada "keangkuhan" polis dalam menjalankan tugas mereka.

Presiden Majlis Peguam R.R. Chelvarajah berkata cara penangkapan dan prosedur lain yang diambil sebelum pengumuman oleh mahkamah haruslah dilakukan dengan anggapan seseorang itu tidak bersalah seperti yang dinyatakan dalam undang-undang.

Kuasa yang diberikan kepada polis adalah banyak dan amat penting perasaan dikawal dan budibidara yang wajar digunakan dalam melaksanakan kuasa-kuasa ini, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya Majlis Peguam kesal dengan kematian Dr Tai.

Lim dan Chelvarajah turut menyentuh penangkapan beberapa aktivis Parti Keadilan Nasional (Keadilan) berikutan demonstrasi anjuran parti itu pada Ahad di sini.

Lim menyifatkannya sebagai bermotifkan politik dan Chelvarajah tidak puashati dengan cara penangkapan anggotanya R. Sivarasa. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke