Pemimpin Pas pertahan penceramah bukan Islam

LANGKAWI, Rabu - Pas mempertahankan tindakan pemimpin politik bukan Islam yang berceramah di Masjid Negara Ahad lalu kerana berpendapat mereka bukan berniat mencela Islam atau mencemarkan kesucian rumah Allah.

Presidennya, Datuk Fadzil Noor, sebaliknya berkata pemimpin politik terbabit berbuat demikian semata-mata untuk menegakkan keadilan bagi membela orang Islam daripada terus difitnah.

Beliau berkata, mereka bukan berucap menghina Islam tetapi berucap bagi membela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Nabi Muhammad sendiri pernah berdebat dengan rombongan Kristian Najran dalam Masjid Nabawi di Madinah, masjid kedua termulia dalam Islam.

"Adakah orang bukan Islam, tidak boleh masuk masjid sedangkan kerajaan sendiri membawa masuk orang bukan Islam terutama pelancong dalam masjid.

"Sedangkan mereka (pemimpin politik bukan Islam) berucap di penjuru masjid, membela Anwar dan orang Islam, bukan mencela Islam. Adakah itu menghina Islam," katanya ketika berceramah di mukim Ulu Melaka, di sini malam tadi.

Dalam perhimpunan membabitkan penyokong Anwar Ahad lalu yang dicemari pertempuran dengan anggota polis, sekurang-kurangnya tiga ahli politik bukan Islam turut berucap dari anjung Masjid Negara.

Mereka ialah Ketua Pemuda DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Teng Chang Khim; Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Tian Chua dan Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan, N Gobalakrishnan.

Sementara itu di LABUAN, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu akan menarik balik pengecualian cukai terhadap perniagaan judi, minuman keras dan rokok di pulau itu jika ia dapat memerintah negara selepas pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah itu akan dijalankan secara berperingkat supaya penduduk bukan Islam memahami dasar Pas bagi mengelak salah faham kalangan penduduk di Labuan.

"Saya dukacita kerana Labuan yang majoriti penduduknya Islam mempunyai premis peniagaan judi, rokok dan arak bertaburan, seperti cendawan tumbuh selepas hujan," katanya ketika berdialog dengan penduduk tempatn di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz meminta ahli dan penyokong parti alternatif termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) akur keputusan mengenai pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, cadangan sistem hanya satu calon pembangkang sahaja bagi menghadapi calon Barisan Nasional (BN) wajar diterima semua pihak dalam barisan alternatif kerana ia cara terakhir untuk mengurangkan majoriti dua pertiga parti pemerintah.

"Ketepikan dulu soal individu dan parti mana yang bertanding kerana kemenangan pembangkang lebih utama untuk mengalahkan BN," katanya.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]

Kirim email ke