*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Fakir yang dhoif memulakan bicara ini dengan Taufiq
dan limpah kurniaNya Yang Maha Meliputi di atas segala
sesuatu. 
Semoga pena yang tertulis terbimbing ke arah "jalan
yang benar" hendaknya. 

Alhamdulillah,  syukrillah kerana telah diberikan
suluk sedikit kelonggaran waktu ini untuk memberi
sedikit pandangan
berkaitan dengan bicara Martabat Tujuh dan Nur
Muhammad sebagai memenuhi permintaan saudara yang
berhajat. 

Suluk telah membaca tulisan Prof. Dr. HM Rasjidi
mengenai ilmu Martabat Tujuh dan Nur Muhamad untuk
beberapa kali agar
dapat difahami maksud sebenar pandangan beliau.  Di
samping itu suluk telah terheret sama untuk melihat
beberapa bicara dan
diskusi lain yang terdapat pada webpage al-ahkam on
line tersebut yang banyak menyentuh tentang hal-hal
yang berkaitan
Tasauf  termasuklah penafian mereka berkenaan dengan
hulul, ittihad, wahdatul wujud dan tuduhan aliran
perosak agama  yang
ada pada isyarat Sheikh Muhyidin Ibnu Arabi oleh Prof.
Yusof Al-Qhordawi di samping kesesatan Al-Hallaj. 

Insya Allah,  suluk akan cuba memberikan
pandangan-pandangan yang "haq" lagi  sebenar kepada
tuduhan-tuduhan tersebut
berdasarkan dalam bicara yang khusus kerana adalah
menjadi tanggungjawab suluk untuk menjernihkan
kekeliruan yang
terdapat pada webmaster tersebut kerana walaupun diri
ini bukanlah ahli untuk hal-hal ini.  Cuma sekadar
diri yang telah
beberapa kali mempelajari ilmu tersebut.  Tujuannya
pula hanyalah sekadar untuk menyatakan kebenaran dan
kesuciannya, 
bukan untuk berhujah atau berdebat.  Terpulanglah
nanti kepada sesiapa yang menelitinya untuk menerima
atau menolaknya
tetapi sebaiknya terlebih dirujuk kepada guru-guru
yang ahli dalam bidang ini sebagai penapis yang
sebaik-baiknya; 

"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan
cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya". 
(Al-Quran) 

Sebagai permulaannya biarlah suluk berikan sedikit
respon berkaitan dengan tulisan Prof. Dr. HM Rasjidi
mengenai ilmu
Martabat Tujuh dan Nur Muhamad. 

Untuk makluman saudara,  memang tidak dinafikan bahawa
terdapat kesalahan dan kekeliruan "orang-orang  yang
tidak
ahli" dalam memahami idea dan maksud sebenar Ilmu
Martabat Tujuh.  Demikian juga hal yang berkaitan
dengan Nur
Muhammad,  di mana bukan sahaja mereka yang hanya
sekadar mengenali sesuatu itu secara zhohir sahaja
keliru dan bingung
dengan istilah-istiilah dan kiasan ahli sufiah ini, 
tetapi di kalangan pengamal-pengamal tasauf yang
terpinggir juga turut terjebak
dengan kekeliruan dan kebingungan ini sehinggalah
menimbulkan suasana yang prejudis dan salah sangka
kepada maksud dan
idea sebenar Ilmu Martabat Tujuh itu.  Maka
bertebaranlah fitnah di atas kesucian ilmu martabat
tujuh yang sebenarnya. 

Oleh kerana itu,  tidak hairanlah ada yang mendakwa
dirinya sebagai telah mencapai kesempurnaan hakikat
sehingga
menggugurkan syariat dan sebaliknya ada pula yang pula
yang kontradik menuduh yang bukan-bukan kepada
kemurniaan ilmu
ini kerana semata-mata berpandukan beberapa gelintir
manusia yang sesat di samping hanya sekadar membaca
kitab-kitabnya
secara bersendirian dan membuat kefahaman mengikut
akal mereka yang singkat tanpa penerangan dari guru
yang mursyid. 
Renungkanlah firman Allah Taala yang bermaksud; 

(Mereka tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka
(terburu-buru) mendustakan kebenaran apabila sahaja
sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada
dalam keadaan yang serba kacau.(Al-Qaf:5) 

"Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan
cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya". 
(Al-Quran) 

Ketahuilah olehmu wahai saudara-saudara seagamaku, 
semoga Allah memberi sedikit petunjuk dan Nur
MakrifatNya bahawa
"bagi tiap-tiap ilmu ada ahlinya" dan pada tiap-tiap
yang zhohir itu ada yang batinnya. 

Dengan kerana inilah tercatat dalam Kitab Ad-Durul
Nafs bahawa Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud; 

"Tiada jua berkata satu kaum dengan kata yang tiada
sampai kepadanya akal mereka itu melainkan adalah
memberikan fitnah
atas mereka itu'. 

Demikian juga Imam Ghazali ada menjelaskan perkara ini
dalam Ihya Ulummuddin dengan kata-katanya seperti
berikut; 

"Ditegahkan daripada menzhohirkan rahsia itu kerana
pendek segala faham untuk mendapatkannya". 

Dengan kerana inilah,  maka Syeikh Ibnu 'Arabi pernah
berkata; 

"Adalah bagi kaum(penghulu ahli sufi) itu beberapa
istilah mereka yang  tiada mengetahui akan ia
melainkan bagi
"ahlinya".  Maka tiada  harus (haram) bagi yang bukan
ahlinya mentelaah segala kitab-kitab mereka kerana
tiada mengetahui kehendaknya(ahli sufi).  Jika diambil
atas zhohir  perkataan mereka itu,  maka membawa
kepada "KUFUR".(Petikan Kitab Manhalus Shofi yang
membicarakan martabat tujuh dan kupasan beberapa
puisinya) 

Dengan memahami sabda Nabi SAW. dan kata-kata mereka
yang ahli dalam bidang ini;  Jadi tidak hairanlah
kenapa Prof. Dr.
HM Rasjidi boleh berkata dan menuduh sedemikian rupa
kepada Ilmu tersebut.  Walaupun seorang prof....tetapi
beliau
bukanlah dari kalangan ahli-ahlinya sebagaimana juga
Prof. Yusof. Qhodawi yang menuduh Ibnu Arabi perosak
agama hanya
kerana beliau jahil dan bingung dalam memahami maksud
sebenar puisi-puisi yang penuh dengan isyarat-isyarat 
Alam Tinggi.
Janganlah menjadi seperti mereka sebagaimana Firman
Allah Taala yang bermaksud; 

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan
menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan
tidak
berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat
memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan
oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada
pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong
melepaskan mereka dari azab.(Al-Rum:29) 

Umpama seperti seorang nelayan biasa yang tidak
memahami isyarat kod-kod(morse kod) yang kedengaran
pada kapal-kapal
dagang atau perang,  tentu sekali akan memberi respon
yang kebudak-budakkan yang tidak sempurna akal
matangnya apabila
sesuatu isyarat yang janggal baginya.  Ahli-ahliLah
apabila mengeluarkan sesuatu bicara,  kalimah-kalimah
mereka adalah
penuh dengan hikmah dan rahsia-rahsia Alam Tinggi
kerana kalam-kalam mereka adalah Kalam Ilmu Laduni
yang bukan
dengan datang dari khayalan atau fikiran mereka;  dan
untuk memahami pula,  orang-orang yang pendek akal
seperti kita ini
memerlukan ilmu alatnya untuk menterjemahkan dan salah
satu dari alat-alat tersebut ialah pengetahuan
mengenai Martabat
Tujuh.   Firman Allah Taala yang bermaksud; 

Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang
buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu
berfikir?"(Al-An'aam:50) 

Tidak hairanlah ramai juga yang ghairah mentafsirkan
dan bermain-main dengan istilah-istilah Ahli Sufi yang
tinggi-tinggi atau
yang halus-halus itu, sedangkan mereka mentakrifkan
dan menggunakannya pada tempat yang tidak betul kerana
semata-mata
mengikut logik akal atau Ilmu Zhohir.  Dalam
bab/perkara ilmu batin syariat(Tasauf) ini,  bukan
pangkat atau taraf pengajian
yang menjadi syarat atau ukuran seseorang untuk
dijadikan petunjuk bahawa mereka itu ahlinya, tapi
hal-ahwalnya yang selari
dengan apa yang diucapkan di samping pengalaman
keruhanian yang telah dilaluinya.  Semua itu atas
limpah Kurnia Allah
Taala jua.  Fikirkan dan renungkanlah Firman Allah
Taala yang bermaksud; 

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan
(tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada
kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta
pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang tidak
berumpun;
semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami
lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain
(pada
bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian
itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi
orang-orang yang (mahu) berfikir serta
memahaminya.(Al-Rad:4) 

Untuk mengenalinya dan memahami apa itu martabat tujuh
dan apa dia idea-idea yang terdapat dalam Nur Muhammad
seseorang itu perlulah mengaji dan menuntut dengan
mereka yang ahli dengannya.  Biasanya mereka(guru-guru
yang ahli)
tidaklah suka mewarwarkan mereka ini ahli atau megah
dengan pangkat atau martabat pengajian atau maqamat
sebagaimana
ahli-ahli dunia yang masyhur dan berbangga dengan dr.
prof dsb.  Mereka ada ahlilLah dan ilmu mereka adalah
tersembunyi
sebagaimana tersembunyi mutiara di dasar lautan. 
Carilah jawapan dan dapatkan kefahaman yang sebenar
dari mereka
terlebih dahulu walaupun dengan seorang kampung yang
berkain pelikat yang lusuh atau dari hamba abdi yang
hitam. 

Firman Allah dalam surah Yunus:106 bermaksud: "Mereka
yang beriman dengan Allah tetapi masih
banyak daripada mereka yang syirik". 

Berdiskusi dan berbicara dalam tulisan-tulisan seperti
di sana (al-ahkam on line)sama sekali tidak akan
berupaya menjejaki
kefahaman yang sebenar.  Perlu mengadap secara
berdepan dan perlu dihuraikan secara jelujur dengan
penuh hikmah oleh
guru-guru yang mursyid.  Jika dinyatakan juga dalam
bentuk tulisan-tulisan seperti ini,  akan timbul pula
pelbagai kekeliruan
dan kebingungan dalam memahami idea dan maksudnya
sebenarnya dan sememangnya banyak buruk dari baiknya
jika
diterangkan juga di sini.  Ini adalah kerena masih
ramai yang buta mata hatinya untuk melihat sesuatu
yang batin yang datang
dari Alam Ghaib apatah lagi untuk meneroka idea-idea
yang terhimpun dalam sesuatu kalimah mereka.  Oleh itu
janganlah
main ikut sedap rasa sahaja sehingga terburu-buru
melemparkan tuduhan-tuduhan yang boleh menghina
kedudukan mereka di
sisi agama.  Ambillah sedikit iktibar dan pengajaran
dari al-Qur'an mengenai kisah Nabi Khaidir a.s. dan
Nabi Musa a.s
berkaitan dengan hal ini dalam Surah Al-Kahffi. 
Perhatikan ayat ini; 

Dan (ingatlah) aku (Nabi Khaidir)  tidak melakukannya
menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan
tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang
engkau(Nabi Musa) tidak dapat bersabar
mengenainya".(Al-Kahffi:52) 

Janganlah dengan kerana kedunguan pendek akal beberapa
orang yang tersasar atau mereka yang terlatah kerana
terlalu
ghairah dengan ketinggian ilmu ini dijadikan sebagai
batu pengukur bahawa itu salah,  ini tak betul dan
sana sesat sini kufur. 
Tidak akan terurai mana yang benar dan mana yang salah
jika hanya dengan sedikit kajian yang mandul
berdasarkan dari
pendapat dan pandangan ahli-ahli zhohir,  ahli-ahli
falsafah dan buku-buku ulama zhohir,  bicara ulama
sufi (tapi masih zhohir
sebenarnya) serta rumusan-rumusan dari kependekkan
akal yang terbatas ini. 

Tidak mungkin seorang yang belum pernah merasai
lazatnya madu lebah dapat memperihalkan rasa dan wajah
lazat itu dengan
menghmpunkan kekuatan akalnya semata-mata.  Rasalah
dulu dan hayatilah dulu rasanya,  barulah dapat di
rasai dan difahami
kelazatannya yang tidak ada istilah dan isyarat yang
boleh dijadikan petunjuk untuk memaknakan erti lazat
itu.  Masuklah ke
dalam bidang rasa, zauk dan wujdan kerana hanya dengan
ini sahajalah anda akan menjejaki rahsia di sebalik
kebenaran Ilmu
AhlilLah ini.  Bukan semata-mata dengan bacaan
buku-buku atau tulisan-tulisan seperti ini ,  bukan
dengan melemparkan
tuduhan-tuduhan,  bukan dengan banyaknya kajian-kajian
dan  penghasilan tesis-tesis.  Tapi ia hanya akan
dapat dicapai oleh
mereka yang hidup ruhnya atau terbuka "sir"nya yang
mampu untuk terbang dan meneroka Alam Makrifatullah
mengikut kadar
yang diizinkan oleh Allah Taala. 

Firman Allah  dalam Hadis Qudsi yang bermaksud; 

Telah  Aku memperbuatkan di dalam rongga anak Adam itu
suatu mahligai dan adalah 

     di dalam mahligai itu dada(Shodron) dan 
     di dalam dada(Shodron) itu Hati dan 
     di dalam Hati itu Fuad dan 
     di  dalam Fuad itu Shaghof dan 
     di dalam Shaghof  itu Lubbun  dan 
     di dalam Lubbun itu Sirrun dan 
     di dalam Sirrun itu Aku(yakni di  dalam Sirrun
itu  tempat  tajalli Aku dan   tempat ia mengenal akan
daku) 

Sekiranya anda belum membaca dan menjelujuri bicara
Imam Ghazali berkaitan dengan Ilmu Laduni yang
mendedahkan
tentang keupayaan dan potensi ruh kita yang dapat
terbang ke daerah yang tiada sempadannya,  suluk
nasihatkan agar saudara
rendahkan diri untuk mengutip mutiara-mutiara yang
terhimpun dalam karyanya yang bertajuk Al-Risaalatul
lilduniyyah. yang membicarkan tentang Ilmu Laduni atau
Ilmu Terus Dari Allahh agar terbuka sedikit sesuatu
yang
terselindung sebelum ini.  Mungkin juga saudara akan
faham tuduhan Prof. seperti petikan di bawah adalah
salah dan prejudis
semata-mata. 

Di antara pemikiran-pemikiran sufi yang menyimpang
dari ajaran Islam adalah: 
1. Menjadikan perasaan peribadi atau ilham sebagai
kayu pengukur untuk mengetahui yang baik dan yang
buruk.
untuk membezakan yang betul dan yang salah,
sehinggakan sebahagian mereka ada yang secara
berlebih-lebihan
mengatakan: "Hatiku menceritakan padaku dari Tuhanku."
Ia merupakan tiimbal balik dari perkataan ulamak
sunnah: Sifulan telah meriwayatkan kepadaku dari
sifulan, dari Rasulullah s.a.w...." 

Kepada mereka yang menafikan dan melemparkan
berbagai-bagai tuduhan yang tidak benar mengenai
fahaman Wahdatul
Wujud,  Hulul  dan Ittihad,  luangkan dan bukakan
sedikit minda anda untuk menelusi huraian orang-orang
Arif berkaitan
perkara tersebut di bawah tajukMisykatul Anwar yang
berjaya mengupas maksud ayat Al-Nur berkaitan dengan
cahaya agar tersingkaplah sedikit apa-apa yang
tertutup sebelum ini. 

Telah berkata Sahl bin Abdulullah Al-Qusyairi r.a; 

"Bagi orang Alim itu tiga ilmu. 
Satu Ilmu yang Zhohir;  diberikan ia bagi orang yang
ahli zhohir dan 
Kedua; Ilmu Batin tiada harus menzhohirkan ia
melainkan kepada ahlinya dan 
Ketiga; Ilmu antaranya dan antara Allah;  tiada harus
menzhohirkan ia kepada sesiapa pun". 

Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan Hujjatul
Islam Imam Ghazali sehingga sanggup menafikan
kemuliaan Ilham dan
Ilmu Laduni  wali-wali Allah dan siapalah kita jika
nak ditandingkan dengan ketinggian pena/lidah  Sheikh
Ibnu Arabi yang
berjaya menghimpunkan keunikan hal-ahwal AhlilLah
sehingga sanggup menuduh beliau perosak agama Allah. 
Ingatlah selalu
kepada pesanan penghulu-penghulu tasauf sebagaimana
berikut; 

"Sekurang-kurang siksa orang yang mengingkari ilmu ini
ialah tiada diperasakan Allah Taala akan mereka itu
suatu jua pun". 

Hamba yang fakir ini,  masih banyak jahilnya dan
terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat sedangkan
amal sedikit cuma. 
Tidak hairanlah jika ada kalam yang tergelincir atau
pandangan yang tersasar.  Semoga Allah mengampuninya. 
Semoga
bertambah-tambah keberkatan dan kerahmatan buat
junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  guru daripada
segala guru,  jua
untuk para sahabat dan ahli keluarga baginda,  para
siddiqin, para syuhada, Aulia-Aulia Allah, Guru-guru
yang Arif.   Mohon
diberkati hendaknya tulisan ini kepada saudara-saudara
yang seagama. 

"Allah menukarkan malam dan siang silih berganti;
sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang
mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata
hatinya berfikir.(Al-Nur:44) 

Allahu A'lam 



__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Bid and sell for free at http://auctions.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Sani Norku <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke