MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Mahkamah
Tinggi Syariah Melaka hari ini menolak permohonan khas oleh Azizan
Abu Bakar dan isteri Norhayati Saad untuk merayu supaya mereka
dibenarkan diikat jamin.
Hakim Datuk Ibrahim
Lembut berkata permohonan khas itu ditolak kerana kedua-dua pemohon
masih mempunyai masa untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rendah
Syariah.
"Sepatutnya ketidak cukupan masa untuk rayuan
hendaklah ditimbulkan di mahkamah yang membicarakan, bukan membuat
permohonan di sini," katanya.
Mahkamah Rendah Syariah Alor
Gajah pada 22 Sept memerintahkan Azizan dan Norhayati yang
menghadapi tuduhan berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram
ditahan reman sehingga perbicaraan kes. Ketika kedua-dua ditahan,
mereka belum berkahwin.
Azizan, 39 saksi utama kes
perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Norhayati, 22,
menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 53 (1) dan Seksyen 53 (2)
Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Azizan,
seorang pengurus jualan dan pentadbiran, dan Norhayati, penuntut
sebuah sekolah perniagaan di Kuala Lumpur, berkahwin dua hari
selepas ditangkap pada 16 Sept lepas. Masing-masing menghadapi
tuduhan kedua mengikut Seksyen 52 EKSNM iaitu cuba melakukan
persetubuhan haram.
Kes mereka akan dibicarakan di Mahkamah
Rendah Syariah Alor Gajah esok.
Azizan dan Norhayati
mengemukakan permohonan khas itu menerusi peguam Mustafa Cheng
Abdullah pada 23 Sept lalu.
Dalam afidavit itu, Azizan dan
Norhayati mendakwa mereka dihalang membuat rayuan kerana kesuntukan
masa iaitu masa antara perintah itu dibuat dan tarikh perbicaraan
ialah enam hari.
Ibrahim bagaimananapun berkata: "Mahkamah
tidak nampak di mana hak kedua-dua pemohon telah dinafikan seperti
mana yang didakwa di dalam afidavit dalam permohonan yang dibuat."
Katanya, dalam kes ini, masa yang diperuntukkan belum lagi
tamat dan peraturan-peraturan belum dihalangi.
"Peluang
seluas-luas tidak digunakan sebaik mungkin," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Syarie, Eri Nizam Abu Samah dalam
bantahannya berkata permohonan itu tidak sesuai dan tidak relevan
kerana pemohon masih mempunyai tempoh rayuan 14 hari tetapi tidak
berbuat demikian di mahkamah.
Azizan yang menjalani tahanan
di Penjara Bandar Hilir di sini dan Norhayati yang ditahan di
Penjara Kajang, turut berada di mahkamah itu yang dipenuhi oleh kaum
keluarga mereka.
Hakim Mohammad Adib Hussain mengeluarkan
perintah supaya pasangan itu ditahan selepas membenarkan permohonan
Eri Nizam supaya mereka ditahan dengan alasan bahawa Azizan adalah
saksi utama dalam satu kes penting.
Mohammad Adib berkata
kes khalwat Azizan menarik perhatian ramai dan tertuduh merupakan
seorang yang dikenali umum dan disebabkan kepentingan awam dan
keselamatan, kedua-duanya perlu ditahan.
Azizan, dari
Pangsapuri Dahlia A, Jalan 3/11, Bandar Selayang, Batu Caves,
Selangor dan Norhayati, dari Jalan Mata Ayer, Kangar Perlis dituduh
berkhalwat di bilik sebuah rumah di Jalan Indah 10, Taman Pengkalan
Indah, Alor Gajah pada 16 September, jam 1.30 pagi.
Bagi
tuduhan tambahan, mereka dituduh cuba melakukan persetubuhan haram
di tempat dan waktu yang sama.
Tuduhan pertama terhadap
mengikut Seksyen 53 (1), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka
1991 membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara 24 bulan
atau kedua-dua sekali.
Norhayati pula yang dituduh mengikut
Seksyen 53 (2), enakmen yang sama, menghadapi hukuman denda sehingga
RM2,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit
kesalahan.
Bagi tuduhan tambahan mengikut Seksyen 52,
kedua-duanya boleh dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau 36 bulan
penjara atau kedua-dua. -- BERNAMA
|