|
PULAU PINANG -- Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan isterinya,
Datin Seri Endon Mahmood, disambut oleh wanita Barisan Nasional
semasa menghadiri program jentera pilihanraya wanita Barisan
Nasional di sini hari ini. |
|
PULAU PINANG, 9 Okt (Bernama) -- Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak berhasrat membuat
sesuatu perkara yang boleh menghina atau campur tangan serta
mencabar kewibawaan mahkamah dengan niat mempengaruhi mahkamah
supaya membuat keputusan menyebelahi kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan
hanya memberitahu rakyat mengenai apa yang diumumkan oleh mahkamah
dan bukan mengenai perkara yang sedang berlaku di mahkamah.
Sambil merujuk kepada isu dakwaan keracunan arsenik oleh
bekas timbalan perdana menteri Datuk seri Anwar Ibrahim, beliau
berkata: "Ia berkaitan dengan hasil siasatan (Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia mengenai keracunan arsenik) terhadap beliau
(Anwar) dan perkara itu telah diumumkan di mahkamah, dan kita tahu
hasil daripada laporan yang telah diumumkan itu."
Bercakap
kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya Wanita
Barisan Nasional (BN) Negeri di sini hari ini, Abdullah berkata
rakyat juga mendapat laporan mengenai isu itu dari semasa ke semasa.
"Tetapi parti pembangkang yang selalu bercakap soal mahkamah
bahawa mahkamah tidak adil, tuduh itu dan ini, mempersoalkan
keputusan mahkamah, mempersoalkan kewibawaan hakim dan sebagainya,"
katanya.
Abdullah berkata perkara itu sering berlaku dan
rakyat juga telah mendengarnya berulang-ulang kali.
Beliau
diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jelutong Karpal Singh,
di sini hari ini, yang meminta Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah
supaya mengkaji dengan teliti laporan polis Umno terhadapnya
(Karpal) semalam kerana membuat kenyataan berunsur fitnah di
mahkamah berhubung dakwaan keracunan arsenik Anwar.
Karpal
berkata laporan polis itu bertujuan mengganggu tugasnya sebagai
peguam bela kepada Anwar selain mengugut dan mengancamnya dalam
menjalankan tugasnya itu.Beliau berkata dengan membuat laporan polis
itu, Umno telah menghina mahkamah.
Abdullah bagaimanapun
menegaskan bahawa tindakan Umno itu bukan terhadap kes yang sedang
berjalan di mahkamah sebaliknya berdasarkan laporan keputusan
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
HUKM, dalam
laporannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Okt lepas
mengenai ujian perubatan terhadap Anwar, menyatakan ia tidak menemui
tanda-tanda klinikal bahawa Anwar mengalami keracunan arsenik akut
atau kronik.
Abdullah berkata walaupun Karpal seorang
peguam, beliau juga adalah seorang ahli politik parti pembangkang.
"Tentu beliau tahu apa dicakapnya kerana beliau juga tidak akan lupa
langsung mengenai kepentingan politiknya," katanya.
--
BERNAMA
|