Assalamualaikum warahmatullah
Alhamdulillah, Lahaulawalaquwatailla billah. Innalillah hiwainna ilaihirrajiun.

Saudara/ri yang dirahmati Allah,

Telah banyak luahan pendapat, ide dan anjuran sama ada menyetujui atau menentang berkenaan dengan fahaman WAHDATULWUJUD melayari alam siber ini. Pada kesempatan ini, saya tidak bercadang untuk mengupas, mengkritik dan mengkomen pendapat di kalangan para penyumbang yang melibatkan diri dalam kemelut tersebut. Dari itu izinkanlah saya menyatakan pendapat saya sendiri. Jika difikirkan sesuai jadikanlah teladan, jika tidak sesuai tinggalkanlah sebagai sempadan.

PERTAMANYA Wahdatulwujud bukanlah suatu doktrin agama Islam yang setiap orang mukmin wajib menjadikannya sebagai pegangan, iktiqad dan akidah yang mampan. Tidak ada satu nas yang tepat dan tegas yang mengupas secara jitu untuk dijadikan asas dalam pendidikan agama Islam.

KEDUANYA Wahdatulwujud juga tidak pernah diajari atau dijadikan pegangan di kalangan para Sahabat ajmain. Yang kemudiannya perlu pula kononnya diajari dan diperturunkan kepada para pengikut Sahabat dan para pengikut yang setia seterusnya.

KETIGANYA Wahdatulwujud juga tidak pernah diajari oleh sesiapa yang diketahui berkenaan dengan kewarakannya, kesolihannya dan ketaatannya dalam beribadah dan bermujahadah ke hadrat Tuhannya Allah Azza Wajalla. Sesuai dengan kedudukan mereka berkenaan yang sudah tentulah hanya akan menerima dan mengamalkan amalan yang murni dan terbaik, tidak dapat tidak mestilah bertepatan dengan amalan dan penghayatan Nabi SAW dan Sahabat yang Empat dan para Sahabat ajmain.

KEEMPATNYA Wahdatulwujud tidak wujud sebagai suatu ilmu pengajaran yang diajari hatta di kalangan golongan para ahli Sufi. Pengalaman kerohanian para ahli Sufi adalah merupakan perkara yang nisbi/relatif khusus untuk ahli atau orang berkenaan. Orang lain yang tidak mengalaminya dan tidak tahu menahu berkenaan dengannya tidak boleh diberitahu atau dikhabarkan. Kerana pengalaman sesaorang yang sedang zauk dengan terlalu banyak dan tinggi tumpuannya hanya mengingati Allah, tafakkur dan menghayati ketakwaan dan ketakruban dengan Tuhannya, langsung mencintai Tuhannya, hanya antara Tuhannya dengan orang itu sahaja yang tahu apakah sebenarnya yang dialami oleh orang itu.

KELIMA Wahdatulwujud jika cuba direalisasikan sebagai suatu doktrin atau suatu konsep atau suatu fahaman akan 'jatuh' kepada kegelinciran akidah . Boleh menjurus kepada sesat dan menyesatkan orang lain. Jika cuba diketengahkan dan diskusikan secara terbuka akan jatuh kepada fahaman dan falsafah WUJUDIYAH yang doktrin ajarannya berpangkalkan kepada "Wujud Allah itu adalah wujud makhluk dan wujud makhluk itu adalah wujud Allah". Iktiqad yang sedemikian adalah salah lagi sesat dan amat tidak beradab terhadap Allah SWT kerana akan berlaku salah satu daripada EMPAT kemungkinan daripada yang berikut iaitu :
 

  •  Hulul - Wujud Allah masuk ke dalam makhluk seperti air masuk ke dalam timba.
  •  Ittihad - Dua wujud menjadi satu seperti bersatunya emas dengan tembaga
  •  Intiqal - Wujud Allah berpindah kepada wujud makhluk seperti sesaorang berpindah dari   suatu           tempat ke tempat yang lain.
  • Ittishal - Wujud Allah berhubungan dengan makhluk seperti manusia dengan anggotanya.
    Keempat-empat di atas adalah mustahil terjadi kepada Allah dan tidak dapat diterima pada akal.

KEENAM jika pun terdapat pengajaran fahaman ini, ia amat bertentangan dengan akal (yang waras). Akal tidak dapat menerima, bagaimanakah anjuran, perintah dan larangan Allah SWT ke atas makhluk yang bernama manusia yang dicatatkan dalam Kitab al Quran itu ditujukan, jika yang berwujud itu hanya semata-mata Allah, dan makhluk tidak berwujud?

Allah SWT mengurniakan manusia dengan sebenar-benar kurnia iaitu Iman, dan memerintahkan manusia yang ada Iman itu menuntut ilmu dan beramal dengannya serta mendirikan solat, puasa, zakat, haji, zikr, jihad melawan nafsu dan jihad dari semua segi fi sabillillah dan sebagainya, menunjukkan sebagai bukti bahawa manusia itu berwujud. Jika manusia tidak berwujud atau makhluk tidak berwujud, segala anjuran dan perintah itu tidak akan ada.

Allah SWT menyediakan pembalasan yang setimpal dengan 'amalan' sesaorang semasa hidupnya di dunia sama ada di balasi dengan Syorga dan Neraka, juga membuktikan bahawa manusia dan jin itu ada. Jika yang ada atau Wujud itu hanya Allah, maka yang kena siksa itu siapa?

KETUJUH jika ada sesiapa yang mengaku atau merasai sampai ke martabat atau maqam Wahdatulwujud atau IHSAN , dan menceritakan pengalamannya itu kepada saudara/ri, cuba tanya dia ketika dia mengalami pengalaman itu, dia ada tak? Kalau dia kata dia tidak ada, yang ada hanya Allah, yang dilihatnya hanya Allah, yang disaksikan hanya Allah, minta dia terangkan dan sampaikan yang dia nampak dan saksikan itu bagaimana? Kalau dalam pengalaman  itu dia berkata dengan memulai kata,"Aku nampak begini.....begini..."  menunjukkan dia masih ada, sebab itu dia boleh cerita Allah itu ADA/WUJUD.

KELAPAN pengalaman sesaorang ahli Sufi yang sebenar dalam makam IHSAN itu tidaklah sebenarnya menunjukkan kepada WAHDATULWUJUD tetapi ia adalah WAHDATUL SYUHUD. Penyaksian dalam pengalaman Alam Kerohanian bukanlah suatu yang objektif tetapi adalah sesuatu yang berbentuk nisbi. Dalam pengalaman itu ahli Sufi berkenaan tidak melihat atau nampak atau menyaksikan adanya sesuatu selain daripada Tuhannya. Sebagaimana yang berlaku kepada sesaorang yang sangat asyik membaca buku cerita, hingga tidak nampak selain daripada buku dan tidak ingat selain daripada kandungan cerita dalam buku tersebut. Malahan dia juga tidak menyedari siapa disebelahnya, di hadapannya atau di belakangnya, dan mungkin juga apa jua yang berlaku di sekelilingnya. Bahkan dia boleh pula menangis atau ketawa dan riang sorang-sorang, pada hal keadaan di sekelilingnya tidak berubah.

Penyaksian tercapai apabila telah hasil kekyusukan iaitu apabila ketika dalam keadaan anda beramal ibadah, anda hadir ke hadrat Allah SWT dan hanya nampak dan menyaksikan bahawa hanya Dia sahajalah yang anda saksikan ketika itu. Pada hal anda mungkin dikelilingi oleh ratusan atau ribuan orang yang sedang beramal ibadah tetapi anda tidak nampak dan menyedari dan merasai kehadiran mereka. TETAPI ketika itu dan pada bila-bila masa orang lain masih dan tetap ada di sekeliling anda. Malahan seluruh dunia dan alam fana ini masih tetap ada jua cuma anda sahaja tidak menyedarinya kerana tumpuan anda DITARIK  ke hadratNYA.

KESEPULUH cara yang paling selamat ialah memulai dalam perjalanan hidup dan pegangan akidah serta tetap pendirian sesuai dengan yang dianjurkan oleh para ulama yang memahami dan mendalami bidang Syariat yang tetap berada di atas landasan yang menepati Quran dan Hadis. Kerana pendapat mereka adalah benar dengan berasaskan kepada nas yang pasti dan tepat tidak diragui. Usah memulai perjalanan hidup ini dengan ajaran yang meragukan dan mesangsikan. Tepatnya jangan memulai perjalanan hidup dengan berpegang kepada fahaman dan ajaran WAHDATULWUJUD yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Sebagai manusia, kita diperintahkan mematuhi segala suruhan Allah serapi dan setepat yang mungkin berpijak dan berasaskan kepada nas-nas yang sahih dan tepat. Yang ada bukti dan dalil daripada amalan orang-orang yang solih yang tentunya merupakan kesinambungan daripada orang-orang solih yang sebelumnya hingga kepada para pengikut Sahabat, para Sahabat dan akhir sekali Nabi Muhammad SAW. Ikutilah amalan daripada golongan yang terbanyak yang terang diamalkan sejak dahulu sampai sekarang. Yang tidak diragui dan disangsikan kesahihan sumber amalannya.

Bukannya yang tersedikit diamalkan orang ramai dan yang tersembunyi, yang diragui ambilan dan sumbernya. Dan tidak diperteguh dan disahkan dengan nas yang disepakati dan dimuafakatkan oleh para ulama muktabar.

Sekian. Jika silap dan salah tolong betulkan. Ke hadrat Mu jua ya Rabbi dipohonkan keampunan dan keridhaan. Walla hu a'alam.
Wassalamualaikum warahmatullah.

Kirim email ke