|
SEREMBAN, 11 Okt (Bernama) -- Wartawan Far
Eastern Economic Review, Murray Hiebert dibebaskan daripada Penjara
Khas Seremban di sini, pagi ini. Penguasa Penjara Roslan Mohamad
berkata Hiebert, 50, dibebaskan pada pukul 7.30 pagi. Beliau tidak
mengulas lanjut.
Hiebert dengan ditemani beberapa
orang lelaki, mungkin termasuk peguamnya, dilihat meninggalkan
kawasan penjara menaiki sebuah kereta Volvo ke destinasi yang tidak
diketahui.
Hiebert, rakyat Kanada dan ketua biro FEER di
Malaysia, hanya menjalani empat daripada enam minggu hukuman penjara
kerana berkelakuan baik. Beliau dijatuhkan hukuman kerana menghina
mahkamah pada 11 Sept.
Hiebert pada mulanya menjalani
hukuman di Penjara Sungai Buloh tetapi selepas 10 hari kemudian
dipindahkan ke Penjara Khas Seremban. Hiebert didapati bersalah
melakukan perbuatan itu pada September 1997 berkaitan rencana yang
ditulisnya untuk majalah FEER yang beribu pejabat di Hong Hong, pada
tahun yang sama.
Rencana itu, bertajuk "See You in Court"
membincangkan tentang peningkatan jumlah saman malu di Malaysia,
khususnya kes membabitkan seorang anak lelaki hakim terkemuka di
Malaysia. Hiebert menulis tentang kewajaran saman yang belum selesai
dibicarakan yang dikemukakan oleh Datin Chandra Sri Ram, isteri
hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, terhadap Sekolah
Antarabangsa Kuala Lumpur.
Hiebert dari Steinbach, Manitoba,
pada mulanya dihukum penjara tiga bulan pada 1997 tetapi Mahkamah
Rayuan mengurangkannya kepada enam minggu. Beliau setuju untuk
menjalani hukuman penjara pada hari yang sama (11 Sept) setelah
Mahkamah Rayuan enggan menyerahkan balik pasportnya.
Hukuman
penjara terhadapnya menarik perhatian dunia kerana Hiebert menjadi
wartawan pertama dalam tempoh separuh abad yang dipenjarakan kerana
menghina mahkamah di mana-mana negara Komanwel. -- BERNAMA
|