Amaran Hakim Ariffin -- 'Jangan serang badan kehakiman tanpa asas dalam kes liwat Anwar'

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ariffin Jaka yang mengendalikan perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mereka yang ''menyerang'' badan kehakiman tanpa asas sehingga menjejaskan imej dan integritinya.

''Saya memberi jaminan kepada Karpal Singh (peguam bela Anwar) bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk menjalankan prosiding menghina mahkamah terhadap sesiapa sahaja jika saya berpuas hati yang mereka telah menghina mahkamah,'' katanya.

Hakim Ariffin menyatakan demikian selepas Karpal menarik perhatian mahkamah bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadapnya oleh UMNO berkaitan dengan apa yang beliau katakan di mahkamah pada 10 September lalu mendakwa Anwar mengalami keracunan arsenik.

Bagaimanapun, Hakim Ariffin menegaskan pengaduan Karpal yang dibuat berdasarkan laporan akhbar The Star di mahkamah berkenaan pagi ini berhubung laporan polis oleh UMNO itu, adalah tidak berasas.

''Saya tidak tahu apakah yang terkandung dalam laporan kepada polis itu dan saya tidak boleh menentukan sama ada ia berunsur penghinaan mahkamah,'' jelas beliau.

Oleh itu, kata Hakim Ariffin, beliau meminta Karpal mengemukakan permohonan yang mempunyai asas untuk membuat pengaduan kepada mahkamah.

Hakim Ariffin semasa mengemukakan alasan itu menolak permohonan Karpal agar mahkamah berkenaan mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pihak yang membuat laporan polis terhadap beliau.

Di sesi perbicaraan Anwar yang bermula kira-kira pukul 10.06 pagi itu, Karpal menimbulkan satu isu sampingan untuk menarik perhatian mahkamah tersebut.

Karpal memberitahu, beliau ingin menarik perhatian mahkamah bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadapnya yang menyentuh prosiding perbicaraan Anwar.

Laporan polis itu, kata Karpal dibuat oleh Pengerusi Percetakan Jawatankuasa Petugas Panel Peguam dan Menangani Fitnah Majlis Tertinggi UMNO di Balai Polis Tun H.S. Lee di sini, Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan tindakan itu secara peribadi suatu penghinaan kepada Hakim Ariffin yang sedang mengendalikan perbicaraan tersebut.,

''Dengan laporan itu juga, ia merupakan ugutan dan menghina saya dalam peranan sebagai peguam bela dan pegawai mahkamah ini,'' kata Karpal.

Karpal berkata, hanya beberapa hari yang lalu, Hakim Ariffin telah mengeluarkan larangan supaya tidak membuat komen menyentuh perbicaraan tersebut.

Hakim Ariffin lalu menegaskan: ''Saya menimbangkan berdasarkan fakta. Saya tidak tahu apakah kandungannya. Biarlah ia disiasat dulu.''

Karpal: ''Adakah Yang Arif membaca akhbar?''

Hakim Ariffin: ''Saya tidak hendak bergantung kepada laporan akhbar. Karpal, kamu telah membuat pelbagai permohonan yang tidak berkesudahan pada perbicaraan ini.''

Namun Karpal memberi jawapan dengan membangkitkan isu Chandra Muzaffar yang pernah dipanggil untuk tunjuk sebab mengapa tidak boleh dikenakan tindakan oleh mahkamah itu kerana membuat kenyataan menyentuh kes Anwar.

Hakim Ariffin: ''Semua orang ada hak untuk membuat laporan polis. Mereka tidak komen terhadap hakim, jika buat begitu adalah menghina mahkamah.

Karpal meninggikan suara: ''Tidakkah ini suatu penghinaan?''

Hakim Ariffin: ''Bukan penghinaan.''

Karpal menjawab: ''Oh! Tuhan.''

Hakim Ariffin: ''Tolonglah teruskan dengan penghujahan.'

Bagaimanapun, Karpal meneruskan hujahnya untuk menarik perhatian mengenai pengaduannya itu.

Karpal berkata, Hakim Ariffin seharusnya membuat sesuatu untuk memelihara integriti mahkamah itu.

''Demi kebaikan, tak usah buat keputusan yang menolak. Mungkin selepas ini Yang Arif pula mangsanya,'' kata Karpal.

Peguam Negara, Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan menjawab dengan hujah bahawa ini adalah satu lagi siri pengaduan kepada mahkamah itu.

Mohtar berpendapat bahawa pengaduan itu seharusnya dibuat mengikut permohonan bagi forum yang betul tetapi Karpal gagal melakukannya.

''Dah beberapa bulan, Karpal kata ingin memfailkan permohonannya. Beliau juga boleh failkan laporan polis. Beliau kata haknya untuk melaporkan kepada polis. Biarlah disiasat, jika laporan itu benar maka tindakan boleh diambil,'' kata Peguam Negara.

Namun, Peguam Negara mengingatkan bahawa jika laporan itu tidak benar dan berniat jahat maka beliau mestilah menjawabnya.

Mohtar: ''Begitulah rasa tanggungjawab. Jadi, jika ada rasa tanggungjawab bagi penghinaan mahkamah, Karpal sebagai peguam bela boleh memfailkan permohonan ikut prosedur.''

Peguam Negara berkata, serupa juga dengan rasa tanggungjawab untuk membuat pengaduan ialah memfailkan apa yang sepatutnya untuk mendapatkan tindakan mahkamah.

Tambahnya, mahkamah mempunyai bidang kuasa dan budi bicaranya untuk mengambil sebarang tindakan jika ia ada bukti.

Mohtar: ''Bagaimanapun, jika hal itu dibuat dengan niat jahat dan hanya dakwaan semata-mata atau bermotif maka beliau gagal untuk mengemukakan permohonan dan mungkin sebaliknya dikenakan bayaran kos.

''Orang yang bertanggungjawab akan bersedia untuk mengambil tindakan jika perkara itu benar dan sehingga pagi ini tidak ada apa-apa tindakan yang diambil.''

Mohtar menarik perhatian mahkamah dengan berkata: ''Orang cakap ini, cakap itu dan hari ini, akhbar Harakah menyiarkan cerita bertajuk, Was Anwar really poisoned? Saya tidak buat pengaduan kerana perbicaraan ini bukanlah forum untuk hal itu.''

Beliau lalu menunjukkan senaskhah akhbar Harakah keluaran hari ini yang dikatakan Harakah untuk ahli Pas sahaja'.

''Saya bukan ahli Pas tetapi dapat membaca akhbar itu keluaran hari ini yang memperkatakan tentang laporan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Ia memuatkan gambar (Anwar). Kenapakah Karpal tidak buat aduan?'' tanya Mohtar.

Mohtar berhujah bahawa beliau memerhatikan perkara itu.

Beliau menambah bahawa Karpal mempunyai hak untuk melaporkan kepada polis dan banyak perkara yang dikatakan oleh mereka (akhbar pembangkang).

Berhubung laporan polis terhadap Karpal, Mohtar berkata bahawa beliau tidak boleh menghentikan daripada dijalankan penyiasatan dan begitu juga mahkamah itu tidak boleh menentukan sekarang.

Dalam hujahnya, Peguam Negara menyatakan bahawa beliau tidak ada apa-apa aduan terhadap Harakah pada ketika ini dan mungkin akan dibuat pada forum yang lain.

Mohtar kemudian merayu kepada Karpal yang juga merupakan seorang pegawai mahkamah meneruskan hujah untuk perbicaraan terhadap Anwar.

Kirim email ke