Satu lagi pancing undi oleh BN terhadap anggota kerajaan

BERITA MALAYSIA


October 12 , 1999 17:37PM

 

BOMBA SEDIAKAN KUARTERS KAKITANGAN

 


PETALING JAYA, 12 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang membeli rumah pangsa dan teres baru bagi dijadikan kuarters untuk semua 8,700 anggotanya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Ting Chew Peh.

Beliau berkata setakat ini kuarters yang dibina untuk anggotanya hanya dapat menampung 30 peratus daripada keperluan itu dan menjelang akhir tahun depan, angka itu dijangka meningkat kepada 90 peratus.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat merancang untuk menyediakan tempat tinggal kepada semua anggotanya menjelang tahun 2001," katanya pada sidang berita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Damansara hari ini.

Ting berkata jabatan itu sedang berusaha mendapatkan 1,110 unit rumah di beberapa pusat bandar seperti di Shah Alam, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Kota Kinabalu, Kuantan, Kuching, Miri, Johor Bahru dan Kuala Terengganu.

"Sekarang ini ramai anggota bomba terpaksa tinggal di luar dan ada yang terpaksa tinggal jauh dari balai," katanya.

Kini terdapat 196 Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara dan 62 buah lagi akan dibina untuk memenuhi keperluan semasa.

Mengenai unit udara bomba, Ting berkata terdapat rancangan untuk membeli lebih banyak helikopter terutama bagi Sarawak, Sabah dan Labuan dalam usaha mempertingkatkan kecekapannya.

Jabatan itu kini mempunyai dua buah helikopter.

Terdahulu ketika berucap merasmikan Balai Bomba Damansara, Ting berkata berdasarkan statistik bagi Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 6,828 kebakaran telah berlaku di seluruh negara dengan kerugian RM291.5 juta.

Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dibina semula di tapak yang sama seluas 1.2 hektar dan turut mempunyai kuarters tujuh tingkat mengandungi 48 unit rumah dengan kos pembinaan berjumlah RM7.7 juta. -- BERNAMA

blue.gif

bernamasmall.gif

Kirim email ke