BILA ISRAEL MENYELESAIKAN MASALAH JERUSALEM DAN BAITULMUQADDIS
 
KERAJAAN MALAYSIA AKAN MENGIKTIRAF REJIM HARAM ISRAEL
 
Isnin, Manchester: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Tuan YangTerutama, Dato Amir Jaafar berkata bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk mengiktiraf kerajaan rejim haram Israel apabila negara tersebut dapat menyelesaikan isu Jerusalem dan Baitulmuqaddis serta apabila majoriti rakyat Malaysia tidak lagi sensitif dengan isu negara haram tersebut.
 
Beliau berkata demikian ketika berdialog bersama-sama pelajar-pelajar Malaysia di Cheetham Hill, Manchester kira-kira 120 batu dari ibukota London. Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia (JPM),London bersama-sama beberapa orang pegawai-pegawai kedutaan.
 
Dato Amir Jaafar juga mengakui pertemuan Menteri Luar Malaysia, Dato Syed Hamid Albar bersama-sama rakan sejawatnya dengan Menteri Luar Israel bukanlah merupakan satu-satunya hubungan tidak rasmi kerajaan Malaysia dengan negara haram tersebut. Sebaliknya berbagai bentuk hubungan seperti hubungan dagang dan beberapa siri lawatan telahpun terjalin di antara kedua-dua buah negara berkenaan. Beliau menegaskan bahawa walaupun kerajaan Malaysia telah lama mempunyai hubungan tidak rasmi dengan negara tersebut, ini tidak bermakna kerajaan Malaysia akan mengubah dasar untuk mengadakan hubungan diplomatik secara rasmi dengan mereka.
 
Menjawab pertanyaan seorang peserta, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan Malaysia mengiktiraf negara rejim haram tersebut sekiranya negara itu memenuhi tuntutan dan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
Di dalam dialog tersebut yang hanya disertai oleh kira-kira 10 orang pelajar-pelajar pasca-siswazah, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan baru sahaja mentauliahkan sebuah kapal perang DK Lekiu yang berjumlah satu billion ringgit yang dibeli dari kerajaan Britain. Kapal perang tersebut diberitakan mempunyai kelengkapan khusus untuk menangkis serangan udara dan kapal selam musuh dan juga berupaya untuk melancarkan serangan. Sebuah lagi kapal perang DK Jebat dijangka akan ditauliahkan pada penghujung November ini.
 
Terdahulu daripada itu, Dato Amir Jaafar telah mengiringi Dato Seri Rafidah Aziz di dalam satu seminar yang diadakan di Picadilly Plaza, Manchester.

Kirim email ke