Identiti Melayu tak akan hilang walau direbus dalam kawah panas. Bila keluar masih lagi melayu. Tetapi Islam akan hilang kalau tidak dipupuk dan dijaga. Nak harap umno jaga melayu? Biasiswa anak2 melayu dihapuskan. Nak harap umno jaga melayu? Bank bumiputera dilelong kepada bank kecil. Nak harap umno jaga melayu? Orang melayu semakin kurang majoritinya dalam Malaysia. Nak harap umno jaga melayu? Orang melayu yg memfitnah orang melayu. Nak harap umno jaga melayu? Yg jadi pemimpin itu melayu ka? Nak harap umno jaga melayu? Yg jaga melayu tu bukan melayu. Nak harap umno jaga melayu? Mahathir itu melayu??? Jagalah Islam dan akidah Islam.

Utusan meloya menulis......

Mahu ke mana Melayu?

SETIAP umat memikul amanah untuk merencana strategi yang paling berkesan agar maruah dan identitinya terjalin unggul.

Kemajuan ilmu dan peradaban serta pencapaian yang pelbagai dalam urusan hidupnya mesti sambut-bersambut, jika umat tersebut mahu terus unggul dalam erti kata sebenarnya.

Dalam hal yang demikian, kita orang Melayu, pribumi negara bertuah ini, tidak terkecuali, jika kita benar-benar menghayati betapa perlunya kita mencontohi dan mengamalkan yang baik, yang jelas menabur benih-benih bagi melahirkan bangsa yang bijak _ bijak menyusun strategi menangani pancaroba yang semakin mengusutkan.

Fenomena masa kini dan akan datang menghendaki kita mahir menanggap, mengesan dan menyelamatkan bangsa daripada diracuni pengaruh yang hendak menjerumuskan kita kepada kehancuran. Sejak Melaka tersungkur di tangan Portugis dan seterusnya menjadi rebutan kuasa-kuasa asing _ Belanda dan Inggeris _ bangsa Melayu terus-menerus dihina, didera, dan disingkir daripada arus tamadun bangsa. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi pedagang-pedagang Melayu digeruni dan disegani oleh pedagang-pedagang dari negara China, rantau Kepulauan Melayu dan Barat.

Disebabkan mereka pintar berurus niaga, maka berbagai- bagai cara dan taktik telah dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat ketika itu. Orang Melayu disekat, dihalang daripada berurus niaga di jajahan takluk mereka termasuk Melaka dan Tanah Jawa. Orang Melayu dicerobohi di mana sahaja mereka berada di Kepulauan Melayu. Orang Melayu yang kaya-raya di Melaka menjadi bangsa pelarian, terpaksa menagih simpati kuasa-kuasa tempatan di pulau-pulau Maluku, Ambun dan sebagainya untuk hidup sebagai pedagang. Sejak tahun 1511 hinggalah sekarang kehebatan orang Melayu dalam dunia perniagaan secara merata tersepit dan dihimpit.

Sekarang ini, persepsi orang lain terhadap peniaga dan pedagang Melayu di dalam dan luar negara tidak sehebat dahulu. Tidak insafkah kita dengan perkembangan ini?

Musuh orang Melayu dan musuh Islam di kalangan yang anti-Melayu dan anti-Islam sudah mula sekali lagi menunjukkan taring dan niat jahat mereka untuk melumpuhkan kekuatan Melayu. Yang aibnya musuh tersebut disokong dan disanjung, tidak kira apa pegangan dan prinsip perjuangannya.

Misi 'membakar kelambu disebabkan seekor nyamuk' mesti disokong, tidak kira menguntungkan atau merugikan. Mereka sudah tersilap kerana yang akan musnah ialah seluruh kaum keluarga dan bangsanya sendiri. Sejarah telah merakamkan nasib bangsa Melayu yang selalu dirundung malang, bukan kerana kekuatan musuh, tetapi disebabkan ketidaktaatsetiaan dan sifat khianat sebilangan anak bangsa yang sanggup bersekongkol dengan musuh yang jelas niat jahatnya.

Kalau kita sudah tahu racun yang disajikan, mengapa dimamah? Mengapa kita sanggup membunuh diri dan menghancurkan masa depan bangsa semata-mata kerana geram dan dendam? Kita mesti sedar bahawa bangsa yang sentiasa mabuk dengan masalah akan menghabiskan masanya untuk tenggelam timbul dengan masalah.

Apa tidaknya! Mereka tidak dapat membezakan yang mana intan berlian dan yang mana batu kelikir. Memfitnah, berdengki-dengkian, 'menelanjangi' rakan seagama semakin menjadi-jadi _ seolah-olah seperti berpesta, masing-masing tuduh-menuduh membuka pekung di dada.

Sejarah untuk menghancurkan kuasa Melayu hendak diulangi sekali lagi oleh penyangak Barat dan mereka yang tidak mahu menerima ketuanan Melayu. Strategi mereka ada yang halus dan berhemah dengan kepura-puraan yang melalaikan kita. Ada yang berlaku kasar dan kurang ajar mendesak itu dan ini melalui taktik ancaman dan ugutan.

Ada yang menampakkan perpaduan, tetapi mempunyai perkiraan sendiri demi kesejahteraan kumpulan yang diwakili. Ini yang ternampak dan terlihat. Apakah orang Melayu masih dengan prinsip percaya dan jujur tanpa mengambil kira untung rugi yang menyusul? Kalau orang lain dengan akal muslihat dan akal kancilnya, apakah kita orang Melayu berpada dengan akal pendek, akal sejengkal atau pun akal tiga jengkal, merasa diri kurang daripada orang lain?

Kita berbangga kerana menjadi umat Muhammad dan orang Islam, kerana Islam adalah agama bagi yang berakal. Jika sedemikian kesedaran kita, maka kita mesti berjihad merencana yang terbaik atas semangat pengorbanan yang tinggi sehingga identiti kita kembali terserlah sebagai kaum yang mengutamakan pemikiran yang berwawasan dan proaktif serta bijaksana. Jangan sekali-kali kita membiarkan orang lain menanggap, mempersenda dan mencemuhkan nama kita sebagai bangsa yang lemah, suka meminta-minta, mudah digoda, mudah diadu-domba dan mudah berpecah-belah. Kita mesti menghasilkan kejayaan dan kesejahteraan bagi anak bangsa kita dalam jangka panjang _ zaman berzaman. Inilah amanah yang terpikul oleh kita. Generasi kita akan datang mengharapkan contoh teladan yang baik daripada kita untuk mereka jadikan ikutan supaya mereka dapat terus menjana kejayaan demi maruah dan survival bangsa di alaf baru nanti.

Atas prinsip ini kita berhadapan dengan persoalan yang getir: ''Mahu ke mana sebenarnya kita orang Melayu?'' Apakah sasaran utama misi kita? Untuk diri sendiri atau keluarga atau bangsa atau agama? Sudahkah kita 'cermin' diri kita dan sesungguhnya mengenali potensi kita _ kekuatan kita, kelemahan kita dan sebagainya? Adakah setiap daripada kita tahu bahawa kitalah sebenarnya pembawa obor harapan bangsa _ tidak kira di mana dan di kedudukan mana kita berada. Sudahkah kita melengkapkan diri kita dengan ilmu dan kemahiran sesuai dengan tuntutan era kini dan akan datang dan benar-benar seia sekata dalam jihad memperjuangkan untung nasib bangsa kita dalam masyarakat majmuk, yang di antaranya jelas lebih gigih berusaha dan berkorban atas nama kemajuan kaum masing-masing? Apakah kita benar-benar bangga dilahirkan sebagai anak Melayu? Kalau berbangga, apakah buktinya agar umum mudah mengetahui dan menyedarinya tanpa syak dan ragu?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini mempunyai erti yang tersendiri kepada kita, kerana kita dibekali dengan naluri-naluri yang tersendiri pula. Sasaran matlamat kendiri kita berbeza, begitu jugalah cita rasa dan kecenderungan strategi kita. Kata pendita, manusia terbahagi kepada tiga jenis dalam fenomena hidupnya.

* Pertama: ''Seseorang yang membuat sesuatu itu berlaku''. Insan seperti ini mempunyai semangat daya juang yang kuat. Ia menjadi penggerak kepada pembangunan yang mengutamakan kesejahteraan umat. Prioriti tindak-tanduknya ialah pengorbanan tanpa menjejas maruah dan identiti diri, bangsa dan agamanya. Sudah pasti, ia berwawasan, tegas, jujur, berdisiplin dan jelas pendiriannya dalam cara ia berfikir dan bertindak. Teras perjuangannya menegakkan kebenaran, tidak mudah luntur kepada tekanan yang merugikan bangsanya.

* Kedua: ''Seseorang yang melihat sesuatu itu berlaku''. Insan seperti ini tidak mempunyai keyakinan diri. Lebih selesa berdiam sebagai pemerhati. Ia pasif dan sama sekali tidak mengenal bakatnya sebagai penyumbang kepada kesejahteraan diri dan umat. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa ia ketandusan semangat patriotisme serta tidak taat setia kepada bangsa dan agamanya. Jelasnya orang seperti ini tidak boleh diharap dan tidak boleh diberikan kepercayaan untuk memajukan anak bangsa. Ia lebih suka disajikan keistimewaan, dan jangan diganggu.

* Ketiga: ''Seseorang yang tidak melihat sesuatu itu berlaku''. Insan seperti ini tenggelam dalam dunianya sendiri, tanpa rasa peka dan prihatin terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Tak ubah seperti orang dalam pertapaan. Ia tidak boleh dijadikan rakan kongsi dalam perjuangan membela bangsa, kerana nasibnya sendiri tidak terbela. Malah ia boleh menjadi beban yang tidak diundang. Maknanya, orang seperti ini menyusahkan masyarakat yang dianggotainya.

Soalnya, dalam kategori manakah wajarnya kita berada? Jawapannya perlu ada di diri setiap orang Melayu, sekiranya kita berbudi dan berakal, berpendidikan dan bijaksana, beriman, beramal soleh dan bertakwa serta cintakan untung nasib anak bangsa yang pelindung dan pemangkinnya adalah kita. Kalau kita sudah menikmati kemanisan hidup aman dan damai, bertolak ansur dan bekerjasama, apakah kita rela melihat anak cucu kita bergelumang dengan isu-isu yang bukan sahaja merugikan mereka, tetapi boleh memusnahkan bangsa?

Mengapa kita sanggup menggalakkan orang lain mengaibkan pemimpin yang seagama dan serumpun dengan kita di rumah suci Islam, tempat kita mohon restu Allah dan petunjuk-Nya ke arah jalan yang lurus yang diredhai-Nya, tempat di mana setiap umat yang beriman mencari ketenangan bermunajat mohon perlindungan daripada kejahatan dan kemungkaran? Salahkah kalau dikatakan bahawa kita sudah menggadaikan agama suci kita untuk diperkotak-katikkan oleh mereka yang jelas jahil dan tidak beriman?

Apakah ini yang dikatakan perjuangan memartabat dan meningkatkan maruah bangsa dan agama? Bijaksanakah namanya, sedangkan di antaranya berkelayakan tinggi, berakal dan pernah dijuak sebagai warisan bangsa yang mulia? Mengapa sampai begitu sekali rendahnya budi dan tingkah laku, sehingga pemimpin yang kasihkan bangsanya di hina dinista? Kita diajar mengenali dan memerangi nafsu jahat yang tidak memberi manfaat, tetapi kita terus rela dijerat, walaupun maruah bangsa tergugat. Inikah yang patut dijuak, disanjung dan dinobat?

Sebabnya saya berkata demikian ialah kerana kitalah yang mengawal bagaimana kita berfikir, bagaimana kita menangani perasaan kita dan bagaimana kita bertindak. Oleh yang demikian, maju mundurnya bangsa kita berpunca daripada kita, kerana setiap daripada kita adalah ibarat binaan bangunan, setiap satu saling mengukuhkan. Sumbangan setiap ahli anggota masyarakat adalah sama penting, kerana masing-masing dengan kemahirannya. Sepertimana juga kaum-kaum lain di negara kita, kita perlu senada dengan cita-cita pemimpin negara kita, agar sasaran wawasan untuk generasi kita ditangani bersama dengan tekun dan bijaksana.

Setiap daripada kita mesti bertindak sebagai pemangkin dan penyumbang, gigih berusaha menghasilkan yang terbaik, dan bukan mengekang atau menjadi penghalang kepada kemajuan umat. Dalam merealisasikan wawasan bangsa, kemungkinan besar kita akan berhadapan dengan dua situasi yang boleh mengekang usaha memajukan bangsa.

* Pertama, kemungkinan kita akan terperangkap dengan warisan nilai-nilai negatif yang telah mengongkong corak pemikiran (mind set) kita selama ini.

Nilai-nilai yang dimaksudkan ini, jika dijadikan kayu ukur, pasti akan menidakkan potensi-potensi yang boleh merobah paradigma pemikiran kita. Kita jangan lupa bahawa setiap daripada kita dianugerah oleh Allah s.w.t dengan bakat-bakat untuk meneruskan perjuangan hidup kita.

* Kedua, kemungkinan kita memandang sepi akan fenomena yang lepas, sehingga kita gagal mempelajari daripada pengalaman tersebut dalam membangun maju generasi warisan bangsa. Jika kita gagal melepaskan diri kita daripada kongkongan belenggu ini, maka apa yang wujud terus-menerus ialah sikap dan persepsi kita yang kaku dan beku, yang menafikan semangat untuk maju sejajar dengan perkembangan dan keperluan masa.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita melalui hadisnya yang bermaksud ''Jangan berkhilaf (berpecah-belah) sesama kamu, kerana umat-umat purbakala binasa mereka itu tak lain daripada berkhilaf sesama sendiri''. Selesakah kita melihat orang lain bertambah kuat dan kukuh perpaduannya, sedangkan kita masih lagi mencari-cari jawapannya?

Mereka mengiktiraf kehebatan kepimpinan orang kita dalam jentera kerajaan dan politik, baik di peringkat internasional, nasional mahupun negeri. Apakah kita rela dijulang dengan semboyan ''perjuangan orang Melayu di buminya sendiri cenderung ke arah menjaga kebaikan dan kesejahteraan orang lain?''

Kita berbangga menjadi umat kesayangan rasul dan Allah, umat yang dijamin mendapat rahmat dunia dan akhirat. Kita disedarkan oleh Nabi kesayangan kita bahawa ''orang Islam yang beriman itu saudara bagi mereka yang beriman. Oleh itu tiadalah meninggal ia akan nasihat di antara satu sama lain, walauapa pun keadaan dan caranya.''

Orang yang beriman itu ibarat cermin bagi saudaranya. Mengapa tidak kita tanya saudara kita di mana kelemahan kita. Dalam solat, kita senantiasa memohon kepada yang Maha Kuasa agar ditunjuki jalan yang lurus, tidak sesat dan disesatkan. Kalaulah benar-benar kita berbangga dan bersyukur menjadi mukmin dan mukminat, apakah kita sudah menghayati tuntutan agama suci kita, berlaku benar, ikhlas dan jujur, takut kepada seksaan Allah dan menterjemahkan keimanan dan nilai-nilai keislaman dalam tindak-tanduk kita menangani kemelut yang semakin menjadi barah dalam masyarakat kita?

Semuanya ini tidak harus menjadi dilema kepada kita, jika kita tegas menjunjung sifat adil dan jujur dan menafikan amalan tipu daya kepada diri dan masyarakat. Ingatlah firman Allah dalam al-Quran, Surah al-Fathir, ayat 43, yang bermaksud:

''Rencana yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merencanakannya sendiri'', yakni tipu daya itu akan kembali menimpa orangnya. Marilah bersama-sama kita berpegang kepada tujuan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: ''Barangsiapa tiada bersifat rahim (penyayang) sesama manusia, tidaklah dirahmati akannya oleh Allah Taala.'' Renung dan fikirkanlah, jika kita benar-benar inginkan rahmat Allah dunia dan akhirat.

* DATUK ZAINAL ABIDIN AHMAD ialah Pengurus Besar, Institut Pengurusan Melaka (IMM).

Kirim email ke