Isu keracunan Anwar marakkan lagi api politik M'sia

TENGKARAH politik kian membara di Malaysia berkaitan kesihatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendakwa menjadi mangsa keracunan arsenik sewaktu di penjara.

Ini menyusuli tersiarnya laporan perubatan minggu lalu yang merumuskan tiada bukti keracunan pada diri Datuk Seri Anwar sebagaimana beliau dedahkan pada 10 September lalu sehingga menangguhkan sementara perbicaraannya atas tuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Isu itu menyalakan perbalahan sengit antara Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dan peguambela Datuk Seri Anwar.

Masing-masing saling mengancam tindakan undang-undang terhadap satu sama lain.

Dr Mahathir memberi amaran kerajaan akan mengkaji sama ada terdapat bukti kukuh untuk mengambil saman malu.

Namun, kalangan penyokong Datuk Seri Anwar tetap mencurigai laporan perubatan tersebut kerana banyak tanda tanya tidak terjawab.

Keengganan mereka untuk menamatkan episod keracunan itu mencerminkan betapa keretakan politik semakin mendalam di Malaysia sejak kegawatan ekonomi serantau meletus dalam 1997.

Mengikut laporan perubatan berkenaan, ujian yang dijalankan oleh makmal di Kuala Lumpur, London dan Perth, Australia, mendapati Daatuk Seri Anwar mempunyai tahap arsenik, raksa dan thallium yang sederhana.

Laporan itu sekaligus dilihat menandakan keme nangan bagi Dr Mahathir yang menyangkal dakwaan keracunan Datuk Seri Anwar sebagai helah 'jahat' dengan sengaja bertujuan mengapi-apikan bantahan antikerajaan menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi.

Anehnya, tiada penjelasan segera diberikan mengenai jurang perbezaan antara laporan perubatan dengan hasil ujian awal yang diperolehi secara rahsia dari makmal di Melbourne dalam Ogos lalu.

Ujian di Melbourne ke atas contoh air kencing beliau mengesahkan kandungan tahap arsenik 70 peratus lebih tinggi.

Sejak mula-mula lagi, dakwaan keracunan Datuk Seri Anwar memang menimbulkan pelbagai teka- teki.

Kerajaan mempertikai jarak tempoh sehingga tiga minggu antara waktu ujian air kencing beliau diseludupkan ke Melbourne dengan hasilnya didedahkan.

Isteri Datuk Seri Anwar mempertahankan alasan bahawa ujian tersebut mengambil masa yang agak lama.

Kerajaan juga mempersoal mengapa ujian air kencing berkenaan menggunakan nama samaran seorang pesakit lain, Subramaniam, 59 tahun.

Peguam Datuk Seri Anwar sebaliknya pula berhujah bahawa langkah sedemikian terpaksa diambil untuk melindungi beliau.

Media utama Malaysia yang prokerajaan turut menimbulkan kemungkinan Hospital Universiti Kebangsaan yang merawat Datuk Seri Anwar bersikap berat-sebelah dan memihak beliau. Tetapi, pihak hospital menafikannya.

Prasangka antara pembangkang dengan kerajaan terus mendalam.

Sewaktu mula-mula ditahan dan Datuk Seri Anwar cedera dengan lebam di matanya, Dr Mahathir ragu-ragu dengan membayangkan kemungkinan mantan timbalannya itu sengaja mencederakan diri sendiri.

Selang lima bulan kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, akhirinya mengaku setelah dijalankan siasatan suruhanjaya bebas bahawa beliaulah yangmemukul Datuk Seri Anwar. Tan Sri Rahim dijadual dibicarakan Mac depan.

Kali ini, pembangkang mendesak supaya dibentuk suruhanjaya siasatan diraja demi memastikan kes keracunan arsenik Datuk Seri Anwar tidak menjadi misteri politik terbesar tanpa terhurai dalam abad ini.

Walaupun laporan perubatan tersebut mungkin sedikit sebanyak menjejas kewibawaan Datuk Seri Anwar, kesannya tidak dijangka menyuramkan peluang pembangkang dalam pilihanraya.

"Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan media utama kini begitu rendah," ujar seorang diplomat Barat di Kuala Lumpur.

Kalangan pengamat politik mengakui kesihatan Datuk Seri Anwar bermasalah memandangkan berat badan beliau yang semakin susut dan rambutnya gugur.

Sehingga jawapan sebenar diperolehi, dakwaan keracunan Datuk Seri Anwar ternyata telah membuka lembaran terbaru dalam satu-satunya kes yang dianggap mengaibkan umat Islam Malaysia yang sekian lama menjadi teras sokongan politik Dr Mahathir dan Umno.

Kirim email ke