|
KUALA TERENGGANU, 14 Okt (Bernama) --
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat sedang
menyiapkan kertas kerja berhubung golongan melarat, pengemis dan
anak-anak yang diperalatkan oleh sindiket bagi tujuan mengemis,
supaya dapat diberi perlindungan dan bantuan sewajarnya.
Menteri berkenaan Datin Paduka Zaleha Ismail berkata,
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memulakan kajian itu awal tahun
ini dan laporannya dijangka siap akhir bulan depan untuk dikemukakan
kepada Kabinet.
Kajian itu meliputi pengumpulan semua
maklumat dan ulasan jabatan dan kementerian yang berkaitan serta
badan-badan sukarela, katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Pusat Harian Kanak-kanak Istimewa di Batu Rakit hari ini.
Zaleha berkata, dalam kajian itu golongan berkenaan akan
diklasifikasikan mengikut keadaan mereka seperti golongan melarat,
terabai, pengemis, orang tua, anak-anak yang diperalatkan untuk
tujuan mengemis, penagih dadah, mereka yang cacat mental, miskin dan
kurang upaya.
Menurutnya, kajian itu penting kerana
kementerian menghadapi masalah untuk merujuk mereka daripada
golongan ini yang ditangkap dalam operasi kepada pihak-pihak
berkuasa yang berkaitan.
Beliau berharap Kabinet akan
mempertimbangkan cadangan kementerian itu kelak supaya ada satu
usaha bersepadu menangani isu golongan itu. Katanya, langkah itu
perlu bagi menjaga imej negara kerana perbuatan golongan itu yang
tidur di kaki lima, stesen bus, mengemis, merempat dan menyuruh
anak-anak mengemis di tepi jalan boleh memberi gambaran negatif
kepada pelancongan asing.
Zaleha berkata, langkah itu juga
akan dapat membantu kementerian mengatasi masalah sindiket
memperalatkan kanak-kanak untuk tujuan mengemis.
Menurutnya,
kementerian memandang serius perkara itu dan sedang menyiasat untuk
mengenal pasti sindiket itu.
Beliau menasihati ibu bapa
rakyat tempatan supaya berwaspada agar tidak terlibat dengan gejala
itu kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh mengambil anak-anak
mereka yang digunakan itu untuk dihantar ke rumah kebajikan
kanak-kanak manakala anak-anak pendatang asing akan dihantar pulang.
Zaleha juga berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan
Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemungkinan
membina infrastruktur bagi kemudahan pelajar kurang upaya di
sekolah-sekolah.
Menurutnya, kebanyakan sekolah belum
menyediakan kemudahan asas untuk pelajar kurang upaya seperti di
tandas dan laluan ke bilik darjah.
Beliau juga kurang
berpuas hati dengan sikap pemaju perumahan dan bangunan yang masih
kurang menyediakan kemudahan asas untuk orang kurang upaya dalam
projek yang mereka laksanakan.
Katanya, Kabinet baru-baru
ini telah meluluskan cadangan supaya 10 peratus daripada kemudahan
dalam setiap projek swasta dan kerajaan perlu menyediakan kemudahan
asas untuk orang kurang upaya seperti kemudahan lif, bilik air dan
laluan bergerak ke dalam bangunan.
Beliau berkata, setiap
pihak berkuasa tempatan perlu memastikan semua pelan projek yang
dihantar oleh pemaju memenuhi syarat itu sebelum diproses dan diberi
kelulusan.
``Keputusan Kabinet itu secara langsung telah
dapat mengurangkan kos pemaju kerana kemudahan itu telah termasuk
dalam pelan sebelum projek mereka dilaksanakan,'' katanya. --
BERNAMA |