|
Hujan dan ribut taufan yang sedang menggila ini telah membawa bencana kepada penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan lembah atau berhampiran dengan sungai. Setelah hampir sebulan hujan yang tidak berhenti-henti maka beberapa perkampungan di tebing Sungai Perak seperti di Kuala Kangsar, Lenggong, Kampung Gajah, Teluk Intan dan Kati. Kawasan-kawasan perumahan di tebing Sungai Pahang juga terus dilanda. Hampir setiap hari jalan untuk memasuki Jerantut dan Bandar Jengka telah ditutup kerana ditenggelami air. Di Melaka perkampungan di tebing Sungai Linggi telah mula berpindah. Di Negeri Sembilan Kampung Chenah dan Kenaboi telah mula ditenggelami air. Di Kuala Lumpur sendiri Kampung Datuk Keramat dan Kampung Baru terus menjadi mangsa. Di Kedah banjir telah melanda Baling, Pekan Kupang, Kampung Tengah, Ceruk Sykin, Sik dan Kuala Ketil. Apa yang paling menjadikan rakyat marah ialah tidak munculnya bantuan untuk memberi sedikit keselesaan terhadap ribuan penduduk kampung yang telah berpindah ke tempat yang selamat. Ini terjadi kerana kerajaan BN telah menutup semua berita tentang banjir yang sedang melanda negara ini. Berita banjir yang sedang melanda ini sengaja diperam agar rakyat tidak tahu apa yang sedang berlaku. Akhbar dan stesen tv telah menerima puluhan panggilan telefon tetapi mereka telah mendapat arahan agar berita ini tidak disiarkan. Kerajaan BN tidak mahu dunia melihat bahawa satu malapetaka telah sampai. Sama saperti kes JE dahulu, kerajaan yang dikepalai oleh UMNO berharap masaalah ini akan selesai tanpa diketahui oleh rakyat. Keadaan banjir semakin tenat dan penutupan berita ini akan membawa bahaya besar kepada rakyat. Rakyat seharusnya diberitahu apa yang sedang berlaku agar bantuan dapat dihulurkan kepada mereka. Kerajaan BN berharap penutupan dan pemeraman berita banjir ini tidak akan merosakkan kempen Malaysia Boleh dan Formula One. Dalam masa yang sama tidak dilihat imej-imej hodoh tentang rakyat yang dalam kesejukkan. Untuk ini saban malam rakyat didodoikan dengan imej-imej kejayaan bangunan-bangunan tinggi tapi sebenarnya banyak rumah dan tanah telah runtuh rantah. WARTAWAN SIBER |
