BERITA MALAYSIA

October 14 , 1999 10:49AM

 PAS SENGAJA LUPA KEPENTINGAN PERPADUAN SEPERTI YANG DITUNTUT ISLAM

LANGKAWI, 14 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid mempersoalkan sikap pemimpin PAS kerana tidak menyentuh beberapa ayat penting Al-Quran mengenai kepentingan perpaduan dalam ceramah mereka.

"Jika pemimpin parti itu mendakwa mereka mengamalkan ajaran Islam kenapa mereka selalu lupa dengan terjemahan ayat Al-Quran yang mengajak umat Islam bersatu padu dalam ceramah mereka," katanya dalam perjumpaan dengan penduduk Kampung Bayas di sini malam tadi.

Sanusi berkata daripada pita-pita ucapan pemimpin PAS, beliau mendapati mereka tidak pernah membaca ayat Al-Quran yang bermaksud "Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara" dan "Berpegang kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah" walaupun mereka mendakwa memperjuangkan Islam.

"Hanya pemimpin Umno yang mahu melihat orang Melayu bersatu, bukan PAS. Kalau Umno anggap Pas musuh, masa depan orang Melayu akan gelap," katanya.

Sanusi, yang genap 36 tahun menganggotai Umno semalam, berkata perjuangan Umno adalah suci, jika tidak bekas Presiden PAS Datuk Asri Muda tidak akan menyertai parti itu sebelum beliau meninggal dunia.

Katanya beliau juga tidak pernah memecat mana-mana imam yang mengkritik kerajaan dalam khutbah mereka kerana tidak mahu melihat orang Melayu berpecah belah.

Berikutan itu, sekarang hanya tinggal 17 khatib yang masih mengkritik kerajaan berbanding kira-kira 200 yang berbuat demikian sebelum ini, katanya.

"Yang terima hakikat bahawa orang mukmin itu bersaudara hanya Umno kerana mereka mahu orang Melayu bersatu kerana berpendapat semua orang Melayu bersaudara," kata beliau. -- BERNAMA

Kirim email ke