BERITA MALAYSIA


October 12 , 1999 16:45PM

 

PENDUDUK MALAYSIA 33.4 JUTA ORANG PADA 2020

 

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kualiti hidup rakyat Malaysia akan terus terpelihara sungguhpun jumlah penduduk negara ini diunjurkan berjumlah 33.4 juta orang pada tahun 2020 daripada 22.7 juta orang tahun ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk G. Palanivel hari ini berkata sungguhpun jumlah penduduk negara semakin meningkat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan 2.6 peratus setahun sepanjang 1980 hingga 1991,namun dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan berjaya mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, beliau berkata tidak seperti di sesetengah negara membangun yang menghadapi masalah sosio-ekonomi akibat kepesatan penduduk, rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan lebih baik hasil pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Usaha mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat berjaya dilaksanakan menerusi pelbagai program termasuk program kesihatan, pendidikan, pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar," katanya.

Palanivel berkata kejayaan itu dapat dilihat daripada beberapa petunjuk sosio-ekonomi seperti kadar kematian bayi yang menurun daripada 34.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran pada 1970 kepada 8.3 kematian pada 1998 selain kadar kematian bayi ketika lahir yang menurun daripada 140 bagi setiap 1,000 kelahiran pada 1970 kepada 20 pada 1998.

Jangka hayat penduduk juga meningkat iaitu 69.7 tahun bagi lelaki dan 74.7 tahun bagi wanita manakala kadar kemiskinan menurun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 7.6 peratus pada 1998.

Ketua Pengarah LPPKN Dr Raj Abdul Karim pula berkata peningkatan jumlah penduduk Malaysia pada 2020 tidak akan menjadikan negara ini mengalami masalah lebihan penduduk.

Beliau berkata kadar pertumbuhan penduduk pada alaf akan datang dijangka menurun kesan daripada tahap pendidikan lebih tinggi di kalangan wanita selain kesedaran di kalangan pasangan suami isteri terhadap hak mereka menentukan jumlah anak masing-masing.

Katanya dalam menghadapi keadaan itu perancangan telah dibuat ke arah penduduk yang optimum dan pencapaian hidup yang lebih berkualiti melalui pembangunan yang mapan bagi menentukan 33.4 juta orang penduduk yang dijangkakan itu merupakan jumlah yang mampu ditampung oleh negara.

"Apa yang perlu ditekankan ialah terhadap isu-isu terbaru yang semakin menyerlah seperti kesihatan dan hak reproduktif, keganasan rumah tangga, keibubapaan, mempertingkatkan tangggungjawab lelaki, pembangunan dan alam sekitar dan keperluan warga tua serta kanak-kanak," katanya.

Sempena perisytiharan antarabangsa hari ini mengenai penduduk dunia yang kini mencapai 6 bilion, antara aktiviti yang akan dilaksanakan di Malaysia ialah pelancaran buku Profil Penduduk Malaysia dan Profil Keluarga Malaysia, penggubalan Pelan Strategik Kependudukan dan Pembangunan serta Pelan Strategik Keibubapaan bagi tempoh 2000 hingga 2015, pertandingan melukis serta pameran. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke