BERITA MALAYSIA


October 13 , 1999 17:57PM

 

KEPUTUSAN SAMA ADA ANWAR BELA DIRI ISNIN INI

 

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan Isnin ini sama ada untuk memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk membela diri terhadap pertuduhan meliwat.

Hakim Datuk Arifin Jaka menetapkan tarikh itu hari ini selepas kedua-dua pihak selesai berhujah di akhir kes pendakwaan pada hari ke-60 perbicaraan kes liwat itu.

Peguam Christopher Fernando dan Karpal Singh berhujah bagi pihak Anwar, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo bagi pihak Sukma manakala Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah dan Timbalan Kanan Pendawa Raya Datuk Abdul Gani Patail bagi pihak pendakwaan.

Anwar, 52, dan Sukma, 38, didakwa meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini pada 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan bekas timbalan perdana menteri itu untuk meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di tempat dan pada masa yang sama.

Semasa perbicaraan hari ini bermula, Karpal Singh yang menyambung penghujahannya berkata mahkamah perlu menimbang kenapa Mohtar tidak menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 145 Kanun Acara Jenayah untuk menggugurkan tuduhan terhadap Anwar dan Sukma, sebaliknya meminda tuduhan sebanyak dua kali.

Katanya mahkamah perlu juga menimbang kenapa polis masih membuat tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh itu tanpa menentukan kewujudan tempat kejadian.

Karpal Singh berkata mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini mungkin hasil konspirasi di peringkat tertinggi dan terdapat niat jahat di pihak pendakwaan.

"Niat jahatnya ialah kenapa Azizan tidak didakwa? Orang ini boleh berbohong kepada polis dan terlepas daripada tindakan. Tidak ada siapa yang berani menyentuhnya kecuali Mahkamah Syariah," kata peguam itu sambil memuji Mahkamah Syariah kerana tindakannya menghukum Azizan.

Karpal Singh berkata dia melakukan kesilapan kerana tidak mendesak supaya Azizan menjalani pemeriksaan doktor semasa Azizan menemuinya berhubung tuduhan terhadap Anwar.

"Saya menyuruhnya berjumpa Perdana Menteri kerana saya tidak mempercayainya," katanya. Karpal Singh berkata bahawa pada mulanya Perdana Menteri juga tidak percaya lalu membuat kenyataan bahawa terdapat pihak yang mahu menjatuhkan Anwar.

Beliau berkata bahawa semasa perbicaraan, pegawai penyiasat SAC I Musa Hassan memberitahu mahkamah bahawa beliau sanggup menyiasat alasan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dalam kes itu tetapi dia dilarang oleh Mohtar.

"Jadi, ada pihak di atas, dan bukannya Tuhan, yang mahu kes ini mempunyai pensabitan," katanya.

Karpal Singah berkata bahawa berdasarkan keterangan di mahkamah itu dan pensabitan kesalahan Azizan di Mahkamah syariah Alor Gajah di Melaka, mahkamah perlu membebaskan dan melepaskan Anwar dan Sukma kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu tanpa sebarang keraguan munasabah.

Gobind Singh pula berhujah bahawa siasatan polis dalam kes itu tidak kemas dan ini menunjukkan dengan jelas bahawa kes pendakwaan begitu terdesak.

Katanya tidak terdapat bukti menunjukkan bahawa anak guamnya, Sukma, bersubahat dengan Anwar bagi meliwat Azizan. Gobind Singh berkata Mohtar tidak peduli sama ada Azizan mengingati tarikh kesalahan itu dilakukan.

"Azizan seorang yang pandai menutup tembelangnya dan dia sanggup berselindung. Dia tidak jujur seperti yang cuba digambarkannya dan sanggup berbohong untuk kepentingan diri," katanya.

Abdul Gani berhujah bahawa tidak disebut dalam undang-undang bahawa seseorang yang telah disabitkan kesalahan seperti Azizan, tidak boleh dipercayai.

"Hakikat bahawa Azizan telah didapati bersalah di Mahkamah Syariah Alor Gajah mengikut hukum syarak bukannya satu alasan untuk menolak keterangannya atau untuk tidak mempercayainya," katanya.

Abdul Gani berkata mahkamah perlu yakin bahawa saksi itu bercakap benar dan apa juga yang berlaku sebelum atau selepas kes itu tidak ada kaitannya.

"Keterangan Azizan tidak boleh dicampak dan diketepikan semata-mata kerana dia disabit kesalahan di Mahkamah Syariah. Kesalahan di Mahkamah Syariah itu tidak ada kaitan langsung dengan tuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh," katanya.

Abdul Gani berkata pensabitan kesalahan Azizan bermakna mahkamah akan benar-benar meneliti keterangannya tetapi ia tidak bermakna mahkamah perlu menolak keterangan itu.

"Azizan tidak pernah mendakwa dia malaikat atau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang warak," katanya. -- BERNAMA

blue.gif

bernamasmall.gif

Kirim email ke