KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Datuk
Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini
bahawa beliau tidak menyangka bahawa "ketegangan hubungannya dengan
Perdana Menteri" menyebabkan tindakan drastik diambil terhadapnya.
Anwar berkata beliau telah dimaklumkan oleh Tun
Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Pertama, bahawa beliau akan didakwa
di mahkamah dengan segera terhadap pelbagai tuduhan termasuk rasuah
dan salahlaku seks.
"Walaupun saya menjangka masalah akan
berbangkit akibat ketegangan hubungan saya dengan Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, saya tidak terfikir ada
kemungkinan mereka tergamak mengambil tindakan sedrastik itu,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada hari pertama beliau
membela diri terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas
pemandu peribadi isterinya pada perbicaraan yang masuk hari ke-62
hari ini.
Anwar dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept 1998.
Anwar, 52,
dan adik angkatnya Sukma, 38, menghadapi tuduhan bersama meliwat
Azizan, 39, di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di sini
pada suatu malam antara Januari dan Mac 1993.
Sukma, ahli
perniagaan, menghadapi satu lagi tuduhan iaitu bersubahat dengan
Anwar untuk meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.
Sebelum itu, ketika diminta mengingati mengenai peristiwa
yang relevan sehingga pemecatannya, Anwar berkata ia bermula dengan
Daim memaklumkannya pada 12 Ogos 1998 bahawa beliau akan didakwa di
mahkamah.
Anwar berkata beliau perlu merujuk kepada buku
catatan hariannya bagi mengesahkan tarikh itu, bagaimanapun, buku
itu tidak dapat dikemukakan kerana kini berada dengan pihak polis.
Peguam utama Anwar, Christopher Fernando memberitahu
mahkamah bahawa notis berhubung perkara itu telah diserahkan kepada
pendakwaan semalam tetapi Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul
Gani Patail menafikannya, sebaliknya menyatakan bahawa mereka hanya
menerima notis itu pagi tadi.
Hakim berkata, perkara itu
harus diselesaikan untuk memudahkan perjalanan perbicaraan kes itu.
Anwar berkata beliau mengingati tarikh berkenaan sebagai
hari Rabu sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung apabila Daim
memaklumkannya bahawa Mohtar telah berbincang berkaitan tindakan
yang akan diambil terhadapnya.
Katanya, Mohtar memberitahu
Daim bahawa beliau (Anwar) akan didakwa dengan segera dan Daim
mengusulkan kepadanya supaya meletakkan jawatan bagi mengelakkan
"keaiban terhadap saya dan keluarga".
Anwar berkata beliau
memberitahu Daim dengan nada yang keras bahawa beliau terkejut
dengan tindakan Mohtar yang memilih beliau (Daim) untuk
membincangkan perkara itu, dan berkata "saya tidak gentar pada
ugutan", sebelum terus ke pejabat Perdana Menteri.
"Saya
memaklumkan kepada Perdana Menteri apa yang diberitahu oleh Tun Daim
kepada saya dan saya membantah kerana Tun Daim tidak mempunyai hak
atau peranan atau tanggungjawab menguasai atau memberi telunjuk
kepada Peguam Negara," katanya.
Anwar berkata Dr Mahathir
telah menelefon Mohtar dan beliau dapat mendengar perbualan mereka
yang antara lain Perdana Menteri membenarkan Peguam Negara
meneruskan pendakwaan terhadap Datuk S. Nallakaruppan (rakan tenis
Anwar) dan Khalid Jafri, penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak
Boleh Jadi PM," dan berkata "tunggu arahan saya selanjutnya mengenai
Datuk Seri Anwar".
Mesyuarat Kabinet telah tertangguh
sehingga jam 10 pagi setelah beliau meminta penjelasan Dr Mahathir
mengenai sebab beliau akan didakwa berdasarkan maklumat yang
disampaikan oleh Daim iaitu rasuah dan salahlaku seks, Akta Rahsia
Rasmi dan kemungkinan kerana kesalahan mengkhianati negara.
Beliau berkata bagaimanapun, perdana menteri tidak
mengesahkannya. "Setelah perdana menteri meletakkan telefon, saya
menyatakan semata-mata kerana saya berbeza pendapat dalam beberapa
isu termasuk kes-kes rasuah yang besar yang melibatkan
pemimpin-pemimpin termasuk kes "bail out" perniagaan yang melibatkan
anaknya, Mirzan, dan lain-lain, beliau tidak patut mengambil
tindakan untuk merekacipta pertuduhan dan berkonspirasi terhadap
saya," kata Anwar.
Beliau berkata isu konspirasi sering
dibincangkan antara beliau dan Dr Mahathir berminggu-minggu sebelum
kejadian itu dan perbincangan yang agak tegang kerap berlaku semasa
pertemuan mereka setiap hari yang bermula antara pukul 8.10 dan 8.15
pagi dan berakhir antara 8.45 dan 9 pagi.
Perbicaraan
disambung Isnin ini walaupun sebelum ini mahkamah telah menetapkan
esok untuk Anwar meneruskan keterangannya. Keputusan itu dibuat
setelah mahkamah diberitahu yang Anwar perlu ke Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk pemeriksaan lanjutan.
Anwar
berkata pemeriksaan itu sepatutnya dilakukan pada 27 Okt tetapi
pihak penjara telah meminta supaya ia dilakukan pada hujung minggu
bagi memastikan perjalanan perbicaraan kes itu tidak terganggu.
Perbicaraan ditangguhkan pada pukul 12 tengah hari bagi
membolehkan Anwar menunaikan solat Jumaat di penjara Sungai Buloh.
Anwar kini menjalani hukuman penjara enam tahun di penjara
itu kerana kesalahan rasuah. "Kadang-kadang teringin juga nak
sembahyang di Masjid Negara," kata Anwar menyebabkan mereka yang ada
di mahkamah ketawa. --
BERNAMA |