*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM Sahabatku saudara/I yang dikasihi, disayangi, diingati dan
dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.
Saya pernah ditanya secara peribadi oleh dua orang rakan netters kita,
jama'ah manakah yang harus mereka ikuti dan mentaatinya?
Dan pertanyaan itu sudah pun dijawab by personnel juga.
Cuma di sini saya salurkan sedikit daripada maklumat tambahan untuk kita
sama-sama menilai ke mana arah visi perjuangan yang sebenarnya untuk kita
memartabatkan Daulah Islamiyyah seperti di zaman Rasulullah SAW.
Semoga ianya dapat membantu. InsyaAllah!
Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.
Menjawab soalan mad'u (orang yang diseru): Jama'ah manakah yang patut ia
masuki untuk berusaha dan beramal untuk Islam? Marhalah (peringkat) ini
adalah penting tetapi sensitif. Ia memerlukan hikmah (kebijaksanaan),
penerangan yang jitu dan memuaskan. Di dalam bidang ini kedapatan
berbagai-bagai jemaah yang bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda
memasukinya. Masing-masing membawa label Islam. Tiap-tiap jama'ah mempunyai
lambang-lambang dan cara-cara yang tersendiri untuk menarik para pemuda
kepadanya.
Satu perkara yang perlu difahami oleh setiap pemuda muslim ialah bahawa
urusan amal Islami adalah urusan yang menentukan dan asasi. Jadi dia
mestilah pandai memilih jalan mana yang patut dilalui. Juga dapat memastikan
tentang keselamatannya. Tidak perlu ia tergesa-gesa dalam memilih sesuatu
jama'ah untuk dimasukinya lantas bekerjasama dengannya di dalam melaksanakan
prinsip-prinsip Islam. Dia mestilah sentiasa ingat bahawa ia hanya mempunyai
satu umur dan satu jiwa. Jadi janganlah dipertaruhkan hidup yang hanya
sekali itu kepada satu jemaah yang belum diyakini kebenarannya. Sebaliknya
dia mestilah terlebih dahulu mengkaji dan menimbangnya dengan
semasak-masaknya sehingga nyata kepadanya bahawa jemaah yang hendak
dimasukinya itu adalah jemaah Islam yang benar. Itu lebih baik daripada
memilih jalan lain yang tidak benar dan memasukinya tanpa selidik dan
periksa terlebih dahulu.
Patutlah disebutkan di sini bahawa untuk merealisasikan segala tuntutan
Islam hendaklah melalui jalan Rasulullah SAW. Sebelum baginda membangunkan
Ad Daulah Al Islamiah yang pertama itu, baginda menekankan dan mementingkan
persoalan sekitar penegakan akidah Islam di dalam jiwa mukminin. Kemudian
mendidik mereka di rumah Al Arqam (Darul Arqam) dengan hidangan Al-Qur'an di
Madrasah Rasulullah SAW. Dari Madrasah itu, terbentuklah para lelaki akidah
(rijalul akidah).
Akidah ini menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa mereka malah menjadi asas
di dalam kehidupan mereka. Mereka mengorbankan waktu mereka, usaha mereka,
kesihatan mereka, fikiran, harta, malah nyawa mereka untuk akidah Islam.
Mereka tetap berpegang teguh kepadanya dan rela menanggung segala gangguan
dan penindasan. Mereka tidak pernah berundur, walaupun apa akan terjadi pada
diri mereka. Mereka terus menyebarkan dakwah Islam, mempertahankan dan
berjihad pada jalannya dengan harta dan jiwa
mereka. Mereka itulah yang menjadi tiang dan teras yang kuat di dalam asas
Ad Daulah Al Islamiah yang pertama.
Kemudian Rasulullah (s.a.w) mempersaudarakan dan menyusun mereka. Rasulullah
SAW mengikat janji dan sumpah setia dengan mereka untuk sama-sama membela
agama ini dengan segala apa yang ada pada mereka. Akhirnya kemenangan dan
kekuasaan di muka bumi berada di tangan mereka.
Demikianlah, Rasulullah (s.a.w) telah berjaya membuktikan bahawa kekuatan
akidah datang dahulu, kemudian diikuti pula oleh kekuatan kesatuan, dan
akhirnya kekuatan tangan dan senjata. Apabila dasar dan asas yang kuat dan
pejal telah terbentuk, mereka mampu menghadapi musuh-musuh Allah SWT dan
mampu pula membalas segala bentuk percerobohan dengan kekuatan.
Firman Allah Ta'ala, bermaksud :
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana
sesungguhnya mereka telah dianiaya Dan sesungguhnya Allah SWT benar-benar
berkuasa menolong mereka."
[Al-Haj : 39]
Dalam proses pembentukan dasar dan asas yang kuat di kalangan mukmin yang
masih sedikit bilangannya, Rasulullah SAW mewasiatkan mereka supaya bersabar
menanggung segala penderitaan dan azab sengsara dan berpegang teguh kepada
al Haq (kebenaran) yang telah mereka imani dan terus menerus menyampaikan
dakwah kepada orang lain. Mereka tidak dituntut untuk menghadapi kebatilan
dengan kekuatan (sama ada kekuatan tangan atau senjata).
Jadi jemaah yang mesti dipilih dan dimasuki oleh para pemuda Islam ialah
jama'ah yang berjalan di atas jalan Rasulullah SAW. Mana-mana jemaah yang
tidak mengutamakan sudut-sudut tarbiah (pendidikan) dan penyatuan tetapi
mempergunakan kekuatan, maka itu adalah satu jama'ah yang memperjudikan
nasib dan usahanya. Ini membahayakan amal Islami (usaha dan perjuangan
Islam). Jadi, segala usaha ke arah pemerintahan dengan jalan kekerasan atau
kekuatan tanpa tarbiah dan perpaduan atau dengan jalan melalui parti-parti
politik yang mengabaikan tarbiah, merupakan pertaruhan bahkan satu kerugian
terhadap amal Islami. Walaupun ia berkembang dan membesar menurut tabi'i
sebelum dasar dan asas menjadi kuat, namun ia tidak mantap dan tiada
kesungguhan untuk berjalan terus menerus.
Jadi mestilah terlebih dahulu dibentuk dasar yang kuat dan pejal. Dengan
demikian ia redha kepada hukum-hukum Islam, melindunginya, membelanya dan
tidak berkompromi dengan hukum yang lain darinya. Demikianlah, pembinaan itu
mestilah didahului dari asas bukan dari puncak. Apabila sesuatu bangunan
yang hendak dibina itu besar dan tinggi, maka asasnya mestilah luas dan
dalam pula. Samalah keadaannya dengan bangunan yang hendak kita bangunkan
ini adalah bangunan yang paling besar dan paling tinggi iaitu 'Ad Daulah
Islamiah Alamiah' (negara Islam sejagat) kerana dakwah kita adalah alamiah
(antarabangsa) demikian juga musuh-musuh kita adalah alamiah juga. Jangka
masa yang digunakan di dalam medan ini diukur dengan umur dakwah bukan
diukur dengan umur individu.
Dengan rahmat kurnia Allah SWT, kita dapati Al Imam Hassan Al Banna telah
mengambil jalan ini dari seerah Rasulullah SAW. Beliau menegaskan betapa
perlunya dipersiapkan al fardi muslim (individu muslim) sebagai lelaki
akidah (rijalul akidah), pentingnya didirikan keluarga muslim (usrah
muslimah) dan akhirnya masyarakat muslim (mujtama muslim). Di atas asas-asas
yang kuat inilah, kelak terdirinya Ad-Daulah-Islamiah dan seterusnya
Al-khilafah Islamiah, InsyaAllah.
Wallahu ta'ala a'lam.......
Wassalamu.......
Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>