Karpal minta penjelasan kelayakan Anwar
GEORGETOWN: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, segera menjelaskan kelayakan anak guamnya untuk bertanding dalam pilihan raya umum kali ini sebelum hari penamaan calon. "Jika timbul percanggahan pandangan berhubung isu itu, kami boleh menggunakan alasan darurat (certificate of emergency) dan memohon pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi sebelum hari penamaan calon. "Perkara ini memerlukan tindakan segera dan Peguam Negara wajar menjelaskan pendiriannya sebelum Sabtu depan," katanya di sini, semalam. Hadir dalam sidang akhbar itu seorang lagi peguam Anwar, Jagdeep Singh Deo. Karpal berkata, penjelasan muktamad daripada Mohtar, sama ada Anwar boleh dicalonkan perlu dibuat memandangkan pelbagai spekulasi beberapa pihak berhubung perkara itu. "Anwar hanya berada di tahap pertama rayuannya. "Saya tidak nampak bagaimana beliau boleh dikatakan tidak layak kerana jika rayuannya diluluskan, adalah tidak adil jika pencalonannya ini ditolak," katanya. Berhubung kes bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng, Karpal berkata, hak Guan Eng sebagai Ahli Parlimen akan dibatalkan hanya selepas semua laluan untuk membantah hukuman serta rayuannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Melaka, ditolak. |
