|
Ucapan Abdul Muluk Daud, Timbalan Setiausaha Agung DAP, dalam
ceramah anjuran Parti Keadilan Nasional di Simpang Durian, Jelabu, Negeri
Sembilan pada 7 November 1999
Belanjawan 2000 Dan Defisit Bagi Pemulihan Ekonomi Menjelang Alaf Baru Adalah Belanjawan “Ali Baba Bujang Lapok” Belanjawan 2000 yang sedang dibahaskan di Parlimen sekarang menghadapi defisit lebih RM 18B berdasarkan anggaran perbelanjaan RM 78b berbanding dengan pendapatan negara RM 60b. Di samping hutang luar negara berjumlah RM 18b, maka kekurangan yng ditampung meningkat hampir RM 36b. Apabila Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin membentangkan anggaran belanjawan ini di Parlimen, beliau tidak menjelaskan sebarang langkah mengatasi defisit ini. Justeru anggaran belanjawan yang tidak menggariskan langkah-langkah mengatasi defisit adalah menjuruskan kepada belanjawan ‘Ali Baba Bujang Lapok’ yang mengharapkan gua harta 40 penyamun bagi menampung kekurangan dalam belanjawan berkenaan. Gua harta yang menjadi sasaran kemungkinan besar adalah sejumlah RM 158b dari KWSP dengan 9.3 juta pencarum atau RM 99b dari Petronas. Maknanya wang rakyat akan dijadikan sandaran bagi membolehkan Ali Baba Bujang Lapok memunggah harta yang dikumpulkan oleh 40 orang penyamun. Belanjawan yang dianggap mesra rakyat ini wajar menggariskan langkah-langkah positif bagi mengatasi defisit RM 18b ini, dengan tidak menyalahgunakan wang dari KWSP atau Petronas. Ini disebabkan wang berkenaan tidak sama dengan gua harta 40 penyamun, sebaliknya satu amanah yang perlu ditadbirkan secara beradab. Memang sudah menjadi lumrah pula setiap kali belanjawan dibentangkan di Parlimen, maka pujian yang diterima Menteri Kewangan lebih sudu daripada kuah. Tradisi begini sudah diterima oleh bekas Menteri Kewangan Datuk seri Anwar Ibrahim, setiap kali beliau membentangkan belanjawan di Parlimen. Barisan wajah yang sama memuji-muji belanjawan Datuk Seri Anwar di masa lalu, kembali menghiasi kaca TV untuk memuji-muji belanjawan Tun Daim. Trend begini sepatutnya diubah supaya kritikan dibenarkan secara terbuka bagi membolehkan kebebasan intelektual mengisi slot wawancara belanjawan di TV. Belanjawan 2000 Juga Wajar Memberi Peruntukan Kepada Bekas Menteri Kewangan Mendapatkan Rawatan Keluar Negeri Say difahamkan Datin Seri Azizah tidak hadir malam ini disebabkan tidak berapa sihat, dan tempatnya digantikan oleh puteri reformasi Sdri Nurul Izzah, namun kita masih boleh berbangga “patah tumbuh hilang berganti, gemuk berpupuk segar bersiram, dianjak layu dicabut mati” bahawa puteri reformasi masih mampu melakar nama sebaris dengan pejuang-pejuang keadilan bagi memastikan “adat berdunsanak dunsanak pertahankan, adat bersaudara saudara pertahankan, adat bernegeri negeri pertahankan, sanar menyandar bak aur dengan tebing”! Sebelum ini saya diberitahu Sdra Anwar Ibrahim perintah mahkamah supaya diberi rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur disebabkan kesihatannya yang kritikal. Kerajaan tidak boleh berbangga denga belanjawan mesra rakyat, jika bekas Menteri Kewangan, malah bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi masalah kesihatan semasa di dalam tahanan. Jika keadaan Sdra Anwar dalam keadaan kritikal, maka kerajaan tidak perlu menyembunyikan daripada pengetahuan orang ramai. Justetu bagi memastikan kerajaan berlaku adil, selaras dengan belanjawan mesra rakyat, maka Sdra Anwar wajar diberi peluang mendapatkan rawatan di luar negeri serta merta bagi membebaskan daripada keraguan dengan rawatan yang diterimanya di dalam negeri selama ini. Rakyat di Simpang Durian, Jelabu adalah menjadi saksi apabila saya menyeru kerajaan menghantar Sdra Anwar mendapatkan rawatan ke luar negeri adalah secara ikhlas untuk keadilan, kebebasan, demokrasi dan kerajaan yang bertanggungjawab. Malam gelap berdentum guruh Baik-baik melakar jahitan |
