Bantahan jemaah ganggu khutbah

KUALA LUMPUR -- Khutbah Jumaat di Masjid Negara di sini terganggu buat seketika semalam apabila sebilangan jemaah bersorak membantah kandungannya yang antara lain mendakwa pihak-pihak asing tidak senang dengan kemajuan yang dicapai Malaysia.

Dalam siaran secara langsung melalui televisyen RTM pada 1 tengah hari semalam, khatib yang menyampaikan khutbah itu, Brigedier-Jeneral (Bersara) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, menyatakan ada pihak luar yang tidak senang dengan pembangunan pesat yang dihasilkan oleh pemerintah (Barisan Nasional -- BN) di Malaysia.

"Mereka tidak senang dengan bangunan-bangunan tinggi yang kita bina, mereka tidak senang dengan lapangan terbang terbesar yang kita bina, mereka tidak senang dengan kemampuan kita mentadbir mengikut keperluan kita..," kata BG Datuk Abdul Hamid.

Ketika beliau mahu meneruskan khutbah tersebut, terdengar suara orang ramai bersorak riuh dari barisan (saf) belakang.

Bagaimanapun, kumpulan orang yang bersorak tidak dapat dilihat kerana gambar yang ditunjukkan melalui kaca televisyen hanya tertumpu kepada khatib.

Ketika solat Jumaat, beliau kelihatan tergesa-gesa membaca surah Al-Fatihah dan surah selanjutnya dan selepas solat beliau segera diiringi keluar dari masjid. -- Oleh Jabbar Hanief.

Kirim email ke